Isnin, 19 Mei 2014

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Bisnes karas

Posted: 18 May 2014 11:46 PM PDT

Mohd Suri Lateh (kiri) memeriksa keadaan anak pokok karas bersama Mohd Zambri Othman di Sungai Tekala, Hulu Langat, Selangor.

Pengalamannya pernah bertugas di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memberi kelebihan kepada Mohd Suri Lateh, 62, mengutip gaharu daripada hutan. Dia dan beberapa pekerja biasanya memasuki hutan di sekitar Hulu Langat mencari anak pokok karas yang kecilnya bagaikan sebilah jarum atau anak mancis.

Kalau musimnya telah tiba biasanya kami berempat mengutip tidak kurang 10,000 anak pokok karas di dalam hutan, katanya sambil memberitahu musim pokok karas banyak terdapat dalam hutan pada bulan September setiap tahun.

Menurut Mohd. Suri yang berasal dari Selama, Kedah, pencarian anak pokok karas biasanya dilakukan beramai-ramai dan perlu dibuat segera bagi mengelakkannya daripada mati jika tidak diikuti dengan segera.

Berkongsi cerita lebih lanjut Mohd. Suri berkata, ekoran minat dan pengalaman mengenai pokok karas, dia cuba membuka nurseri atau pusat pembiak baka anak pokok pada 1992.

Ketika itu dia masih berkhidmat dengan JPSM dan berjinak-jinak dengan pokok hutan dan membawanya ke nurseri tersebut.

Pada 2007 selepas tamat perkhidmatan, dia nekad menceburi bidang pertanian dengan meneruskan usaha yang telah dijalankan lebih awal dengan melabur hanya RM300 untuk menyediakan kemudahan asas.

Sebuah tapak yang disewa daripada sebuah syarikat swasta berkeluasan 1.2 hektar (ha) di Sungai Tekala Semenyih bagi menempatkan anak pokok yang dikutip daripada hutan.

Lama-kelamaan daripada pokok hutan saya juga menanam herba seperti tongkat ali dan juga kacip fatimah dan kini memberi fokus kepada anak pokok karas, katanya.

Anak pokok karas yang diperoleh daripada hutan dan kebun getah kadang kala sukar dikenal pasti kerana pada saiz tersebut ia menyerupai spesies lain.

Bagaimanapun, dengan pengalaman dan kepakaran semasa berkhidmat sebelum ini , masalah tersebut dapat diatasi.

Melihat kepada potensi pokok karas yang sentiasa mendapat sambutan, dia mahu menambah anak pokok sedia ada yang kini berjumlah 35,000 pokok dalam polibeg di nurseri tersebut

Tumpuannya kepada anak pokok karas berbaloi kerana harganya agak memuaskan dan dia mampu menjual RM10 sepokok.

Pasaran bergantung kepada pelanggan yang datang ke nurseri," katanya.

Dengan dibantu dua pekerja, dia kini berhasrat mengembangkan nurseri tersebut dengan menjual pokok buah-buahan selain anak pokok karas.

Menurutnya, usaha tersebut akan dibantu oleh seorang anak saudaranya Mohd. Zambri Othman yang banyak membantu di nurseri tersebut sehingga kini.

Saya mahu mengembangkan nurseri ini dengan pokok pokok landskap dan buah buahan sebagai tambahan kepada pokok karas sedia ada, ujarnya.

Mengulas mengenai usahanya yang tidak mengenal penat lelah sejak beberapa tahun tanpa bantuan, Mohd. Suri menjelaskan, dia berharap kerajaan dapat membantu pengusaha sepertinya bagi mengembangkan industri gaharu.

Bantuan tersebut boleh datang dalam bentuk subsidi, khidmat nasihat dan juga kewangan.

Ini kerana katanya, pengusaha gaharu biasanya orang kampung yang mempunyai kemampuan terhad.

Ketika ditanya sama ada benar, pokok karas mempunyai `penunggu' makhluk halus, Mohd. Suri menafikan ada mendengar mengenainya.

Daftar mudahkan import, eksport

Posted: 18 May 2014 11:46 PM PDT

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
agro@utusan.com.my

Mohd. Zamakhsyary menunjukkan contoh pokok karas yang mengandungi gaharu di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Produk daripada gaharu (Aquilaria spp.), bermula daripada kayu, minyak serta produk sampingan sememangnya menerima permintaan yang amat memberangsangkan.

Antara yang konsisten mengimport produk gaharu daripada Malaysia adalah negara-negara Asia Tengah sehingga menyebabkan pokok gaharu liar di habitat asalnya kini diancam kepupusan.

Permintaan produk gaharu tidak terhad kepada negara-negara yang kaya dengan minyak, malah China sebagai sebuah negara besar dengan jumlah penduduk yang mencecah 1.5 bilion turut mengimport produk tersebut.

Jika dahulu, gaharu dituai dari dalam hutan dengan cara ditebang dan dibiarkan beberapa bulan sehingga berlakunya pembentukan gaharu (sejenis damar) dalam kayu terasnya.

Kemudian teras yang memiliki damar tersebut diambil dan diproses untuk dijadikan pati minyak wangi dan dijual ke pasaran.

Kini, industri tersebut semakin berkembang dan pengusaha tidak lagi tertumpu kepada hasil pati minyak gaharu semata-mata kerana buat masa ini apa jua bahagian daripada pokok gaharu amat bernilai.

Menurut Penolong Pengarah Perladangan Hutan, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mohd. Zamakhsyari Mustafa, gaharu kini boleh dijual dalam pelbagai bentuk dan tidak lagi perlu diproses.

Atas sebab permintaan yang tinggi ini juga menyebabkan tumbuhan ini diburu manusia sehingga menyebabkannya semakin pupus.

Kini bermula daripada daun sehinggalah keseluruhan batang dijual pada kadar harga yang tinggi. Oleh itu bagi mengelakkan pokok ini terus diancam kepupusan kaedah perladangan hutan telah diperkenalkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Mohd. Zamakhsyari, pokok gaharu kini tidak lagi dijual dalam bentuk minyak semata-mata seperti dahulu.

Terdapat enam klasifikasi produk gaharu yang telah dikenalpasti bermula daripada pengelasan aroma, blok kayu, bentuk klasik, serbuk, ekstrak dan juga pati minyak wangi," katanya.

Gaharu telah disenaraikan di bawah Appendix II (berpotensi diancam kepupusan) oleh CITES (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora) sejak tahun 1995.

Justeru, pengeluaran produk gaharu kini telah dihadkan sebanyak 200,000 kilogram (kg) maksimum untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala Sarawak sebanyak 5,000 kg dalam jangka masa setahun.

Kuota tersebut adalah bagi memelihara gaharu liar agar tidak dieksploitasi sewenang-wenangnya oleh pengusaha.

Namun, menurut Mohd. Zamakhsyari, pengeluaran gaharu secara haram masih berleluasa, terutamanya oleh penceroboh dari negara-negara jiran.

Bagi mengawal keadaan tersebut, kerajaan menerusi MTIB telah mengeluarkan permit CITES khas bagi pengeksportan gaharu.

Pengeluaran permit tersebut katanya selari dengan pemberian kuota bagi setiap pengusaha gaharu yang berdaftar dengan MTIB.

Bagi mereka yang tidak mendaftar kemungkinan produk gaharu akan ditahan pihak berkuasa tempatan dan luar negara amat tinggi dan perkara tersebut akan merencatkan industri gaharu di negara ini.

Masih ramai pengusaha gaharu yang tidak memahami betapa pentingnya mendaftar dengan MTIB untuk tujuan memasarkan gaharu ke luar negara," katanya.

Selain untuk pemeliharaan dan pemuliharaan pokok gaharu, pendaftaran juga membolehkan pengusaha gaharu menyalurkan segala masalah mereka kepada pihak berkuasa.

Hal demikian dapat membantu mengembangkan industri gaharu tempatan dengan lebih pesat apabila segala masalah berkaitan diketahui dan ditangani dengan kadar segera.

Berbeza dengan pengusaha ladang, tiada kuota diperuntukkan untuk mereka bagi memasarkan produk gaharu.

Namun pengusaha tersebut perlu mendaftarkan ladang mereka dengan MTIB bagi membezakan produk gaharu liar dan yang ditanam.

Apabila mereka (pengusaha ladang gaharu) mendaftar, MTIB akan mengeluarkan sijil khas sebagai rujukan pihak berkuasa untuk membezakan produk gaharu liar dan yang ditanam.

Jika tidak mendaftar, produk gaharu mereka (pengusaha ladang) akan dikategorikan sebagai gaharu liar dan mereka tertakluk kepada kuota untuk tujuan eksport," ujarnya.

Jika tanpa kuota, pengusaha ladang gaharu dapat mengeksport seberapa banyak gaharu yang dimiliki.

Tambahnya, rata-rata pengusaha tidak mengambil peduli kepentingan mendaftar kerana beranggapan proses tersebut merumitkan dan memerlukan bayaran pada kadar tertentu.

Bagaimanapun, tujuan sebenar pendaftaran adalah bagi memastikan kelangsungan industri gaharu dapat terus maju dan kesan positif akan diterima oleh mereka yang terlibat di dalam industri tersebut.

Sehingga kini hanya 49 pengusaha ladang gaharu yang memiliki keluasan tanah sebanyak 900 hektar dengan kadar 1.1 juta pokok yang mendaftar manakala selebihnya masih belum mengemukakan permohonan.

Sehingga tahun lepas, nilai eksport gaharu mencecah RM23.32 juta dan dijangka terus meningkat apabila China kini mula menunjukkan minat terhadap produk berasaskan gaharu.

Di China, kayu gaharu tidak hanya diproses untuk menghasilkan pati minyak wangi (minyak gaharu) namun dijadikan produk sampingan seperti manik untuk dijadikan tasbih, ukiran bentuk-bentuk tertentu serta teh serta biskut daripada daun gaharu," katanya.

Industri produk gaharu kini memasuki fasa baharu dan dijangka akan terus berkembang sejajar dengan permintaan yang tinggi terhadap produk tersebut di seluruh dunia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved