Utusan Online - Pahang |
- 16 Mei tarikh keramat buat guru
- Terkenang biji getah jadi bahan pembelajaran Matematik
- Ahli digesa rapatkan barisan UMNO
16 Mei tarikh keramat buat guru Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT Oleh HARIS FADILAH AHMAD Guru Besar SK Tempoyang, Norizan Yusof (lima dari kanan) bersama-sama guru dan ahli jawatankuasa PIBG memotong kek sempena sambutan Hari Guru di Kuala Lipis, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD JERANTUT 19 Mei - Tanggal 16 Mei merupakan hari keramat bagi guru di negara ini kerana tarikh itu merupakan sambutan Hari Guru sebagai penghargaan kepada insan yang bergelar pendidik yang juga watak penting dalam pembangunan modal insan negara. Tarikh itu dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari yang sama pada 1956, Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pendidikan bagi negara. Sambutan Hari Guru yang bermula pada 1972 dan sehingga tahun ini menjangkau tahun ke-44 dimeriahkan seramai 421,393 orang guru dan hampir 5.1 juta pelajar melibatkan 10,119 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Pelbagai tema sambutan sebelum ini mencerminkan falsafah keguruan, wacana pendidikan, sarana masyarakat, integriti, jati diri, wawasan, budaya ilmu dan beberapa kewajipan lain yang mengangkat martabat guru dalam hierarki penjawat awam. Tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi sangat signifikan dalam konteks untuk memacu aspirasi pendidikan negara kerana kumpulan pendidik menggalas tanggungjawab tersebut dengan komited bagi memastikan kelangsungan anak-anak bangsa. Berasaskan tema berkenaan, pihak sekolah telah merencana pelbagai kegiatan membabitkan penyertaan guru, kakitangan pengurusan dan murid untuk memeriahkan sambutan pada setiap tahun. Lazimnya, sambutan pada sebelah pagi dimulakan dengan membaca perutusan Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pelajaran, menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia dan kemudiannya acara penyampaian hadiah daripada guru kepada murid termasuk dalam kalangan guru sendiri. Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Tempoyang, Kuala Lipis, sambutan tahun ini disemarakkan dengan kegiatan bacaan Yaasin dan tahlil serta kemudiannya melibatkan bacaan perutusan, memotong kek, persembahan guru dan murid serta penyampaian hadiah. Tahun ini, sambutan kami secara kerjasama membabitkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang hadir memeriahkan Hari Guru dengan acara penyampaian cenderamata sesama warga pendidik dan ahli persatuan berkenaan," kata Guru Besar SK Tempoyang, Norizan Yusof semalam. Katanya, sebagai sekolah kluster, sambutan berkenaan lebih tersusun dan bersifat akademik selain melibatkan kerjasama erat antara guru dan ahli jawatankuasa PIBG. Di Kuantan, sambutan Hari Guru juga disambut meriah dengan acara murid memberi hadiah kepada guru mereka di Sekolah Kebangsaan Sungai Soi dan kira-kira 400 orang murid termasuk guru mengadakan solat hajat dan doa selamat di Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau sempena menyambut Hari Guru pada 16 Mei lalu. Berlainan pula dengan SK Bandar, Jerantut, bukan sahaja Hari Guru disambut pada 16 Mei malahan majlis besar-besaran juga dibuat lebih awal, iaitu pada 14 Mei lepas sempena majlis persaraan Guru Besar, Nasruddin Ramli. Menurut Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu, Salmani Othman, warga sekolah berasa sedih apabila Guru Besar bersara dua hari lebih awal daripada tarikh sambutan Hari Guru dan majlis perpisahan besar-besaran disambut dengan tema Raja dan Alam Melayu. Berselang dua hari, iaitu pada 16 Mei, sekali lagi guru, kakitangan pengurusan dan murid sekolah ini menyempurnakan sambutan Hari Guru dengan memeriahkan pelbagai acara walaupun tanpa Guru Besar yang baharu mengetuk pintu persaraan," katanya. Menurut Salmani, antara acara yang disusun tahun ini melibatkan penyertaan guru dan murid ialah mengupas dan mengukur kelapa, memasak puding, kuih dan acara pentas melibatkan persembahan murid dan penyampaian hadiah. Sementara itu, Guru Besar SK Felda Kota Gelanggi 2, A Rahman A Majid, berkata, majlis sambutan dimeriahkan dengan membaca perutusan, nyanyian lagu Kami Guru Malaysia dan penyampaian hadiah dalam kalangan murid dan guru. Jawatankuasa perayaan juga mengadakan acara sukaneka, iaitu pertandingan menghias pengantin menggunakan pakaian kertas, melontar pundi kacang ke dalam bakul dan menghantar belon berisi air," katanya. Kegiatan berkenaan menurutnya, lebih bermanfaat untuk mengeratkan hubungan sesama guru dan juga murid malahan dapat mewujudkan suasana yang kondusif sebagai institusi ilmu di kawasan Felda. Sementara itu, seorang guru di Pekan Benta, Kuala Lipis, Azhari Rose, 41, berkata, tarikh 16 Mei setiap tahun menjadi hari yang sangat istimewa buat para guru kerana merupakan waktu khusus melahirkan rasa penghargaan dan penghormatan atas segala jasa bakti yang dicurahkan. Sambutan ini relevan untuk merangsang guru melaksanakan kewajipan dengan penuh dedikasi dan integriti untuk menjayakan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012 - 2025 antara acuan bagi pembentukan modal insan," katanya. Sesuai dengan tema tahun ini, Azhari meminta pelajar komited terhadap pembelajaran dan cenderung melakukan inovasi bidang baharu berasaskan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada guru. |
Terkenang biji getah jadi bahan pembelajaran Matematik Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT Nasruddin Ramli dan isterinya, Azizah Alias diarak masuk ke pentas sempena majlis persaraannya dua hari sebelum Hari Guru di Jerantut, baru-baru ini. JERANTUT 19 Mei - Saya bersama rakan lain tertanya-tanya kenapa semasa kelas Matematik hari tersebut, Cikgu Hashim Abdul Rahman mengarahkan kami keluar dan berkumpul di bawah pokok getah berdekatan bilik darjah," kata bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut, Nasruddin Ramli, 58. Mengimbau kenangan itu, beliau berkata, rakan-rakan sekelasnya waktu itu hairan mengapa guru yang terkenal dengan sikap garang mengarahkan kesemua mereka keluar dan duduk di bawah pokok getah. Mula-mula kena cari dua biji getah dan tunjuk kepadanya, kemudian cari tiga biji lagi dan campurkan biji getah itu serta kira berapa jumlahnya," katanya tersenyum mengingatkan peristiwa kira-kira separuh abad itu. Nasruddin berkata, Cikgu Hashim akan mengulang-ulang soalan dengan menggantikan angka lain sehingga murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tinggi, Jerantut benar-benar faham konsep berkenaan. Katanya, pengajaran berulang kali di bawah pokok itu menimbulkan minatnya bersama rakan lain mempelajari Matematik sekali gus berjaya memahami konsep tambah, tolak, bahagi dan darab. Nyata sekali, pendekatan mengajar di luar kelas oleh Cikgu Hashim menimbulkan minat murid untuk belajar Matematik malahan rajin pula ke sekolah selepas itu walaupun guru berkenaan terkenal dengan ketegasannya dan suka memberikan denda yang berat," katanya sambil tersenyum. Bersara pada 14 Mei lalu, dia berkata, pendekatan pedagogi dalam subjek Matematik oleh Cikgu Hashim memberi impak terhadap pembelajaran berkenaan hingga ke hari ini, malah dia berterima kasih kepada guru berkenaan yang mencetus minatnya menjadi pendidik. Selepas menjadi Guru Besar di empat buah sekolah di daerah Raub dan Jerantut, tugas terakhir Nasruddin adalah di SK Bandar Jerantut sejak 2008 sehinggalah dia menghampiri garisan persaraan menjelang Hari Guru 16 Mei lalu. Mengulas lanjut, katanya, pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dirintis oleh guru pada era 60-an dan 70-an, walaupun bersifat konservatif adalah antara mekanisme terbaik. Malah, sehingga kini, cara itu masih diterima pakai dengan diubah suai berasaskan keadaan semasa sambil dibantu dengan bantuan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). |
Ahli digesa rapatkan barisan UMNO Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF Abdul Manan Ismail (dua kiri) beramah mesra dengan ahli UMNO pada majlis Malam Sumbangsih Paya Besar sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68 di Kuantan, baru-baru ini. - UTUSAN/MAHATHIR ALI KUANTAN 19 Mei - Semua pemimpin dan ahli UMNO di setiap peringkat digesa merapatkan barisan dan bersatu padu dalam mengukuhkan parti itu terutama di kawasan Paya Besar di sini. Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, gesaan itu dibuat bagi memastikan UMNO sentiasa membela masa depan rakyat khususnya orang Melayu yang tidak berbelah bahagi menyokong parti itu dan Barisan Nasional (BN). Saya berharap semua pihak termasuk bekas pemimpin yang pernah menerajui UMNO bahagian ini bersatu atas nama parti ini. Jangan ada lagi pergeseran sesama kita dan bersatulah demi memastikan masa depan anak cucu kita terjamin pada masa depan," katanya. Beliau berucap dalam majlis Malam Sumbangsih Paya Besar sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68 di sini Jumaat lalu. Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah; ADUN Lepar, Datuk Mohd. Sohaimi Jusoh.; ADUN Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar dan pemimpin-pemimpin sayap UMNO Bahagian Paya Besar. Abdul Manan berkata, bagi merapatkan hubungan di semua peringkat, beberapa program telah dirangka supaya hubungan yang telah lama terjalin terus dipereratkan. Menurutnya, pemimpin terdahulu dalam UMNO yang telah melaksanakan pelbagai program dan pembangunan telah berjaya membangunkan Parlimen Paya Besar sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat. Saya sebagai Ketua UMNO Bahagian baharu akan melaksanakan apa yang masih belum dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemimpin lama kerana telah banyak melakukan pembangunan sehingga landskap Parlimen Paya Besar berubah wajah," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan