Isnin, 19 Mei 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Banteras penyelewengan diesel bersubsidi

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar

Penguat Kuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan merampas sebuah lori dan van yang membawa diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM36,000 dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

APABILA akhbar ini mendedahkan mengenai penglibatan sesetengah anggota agensi penguat kuasa dalam penyelewengan diesel bersubsidi dengan menerima rasuah daripada sindiket, seorang pengarah di salah sebuah agensi berkenaan mengamuk.

Beliau mendakwa, pendedahan itu menjejaskan Ops Titik yang digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak 15 Mei lalu dan memaparkan sikap tidak jujur akhbar ini dalam membanteras perbuatan jahat berkenaan.

Sebenarnya, sikap yang ditunjukkan oleh pengarah itu bukanlah satu kejutan sebaliknya sudah diduga kerana sudah menjadi adat bagi sesetengah ketua dalam sesebuah agensi kerajaan begitu takut untuk mengakui kelemahan dalam pentadbiran mereka atau berasa bimbang akan dituduh tidak buat kerja.

Timbul juga persoalan kenapakah perlu ada perasaan lemah semangat dalam sesetengah agensi penguat kuasa apabila pendedahan itu dibuat.

Sepatutnya mereka lebih bersemangat kerana pendedahan tersebut akan membantu mereka meningkatkan lagi penguatkuasaan.

Namun begitu apa yang lebih penting sekarang adalah membincangkan bagaimana hendak menghapuskan penyelewengan diesel bersubsidi dengan memastikan semua pihak yang terlibat benar-benar bersikap jujur dan amanah dalam menjalankan tugas masing-masing.

Dalam pertemuan dengan penulis, satu sumber memberitahu, jika penyelewengan diesel bersubsidi tidak dibanteras habis-habisan ia boleh mendatangkan bahaya kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mewujudkan dasar yang baik untuk membantu rakyat tetapi ia terbantut kerana di peringkat bawah ada ketirisan. Keadaan inilah yang memungkinkan imej kerajaan terjejas," kata sumber itu.

Sememangnya, dalam memperkatakan soal untuk memastikan dasar kerajaan mencapai matlamat, kejujuran memainkan peranan paling penting. Tetapi malangnya dalam kalangan anggota agensi yang diamanahkan wujudnya kelompok yang tamak dan mahu hidup mewah, biarpun terpaksa menjamah wang haram.

Kelemahan inilah yang dieksploitasikan oleh sindiket untuk menjalankan kegiatan haram mereka seperti mana berlaku dalam isu penyelewengan diesel bersubsidi ini.

Bayangkanlah, berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh penulis, hampir di semua agensi penguat kuasa ada anggota yang bersedia menjadi balaci kepada sindiket kerana diberikan rasuah yang lumayan.

Sebagai contoh, dalam isu penyelewengan diesel bersubsidi, seorang anggota agensi penguat kuasa dibayar 1 sen untuk setiap satu liter bahan bakar itu yang diseleweng. Dan kebiasaannya sebuah lori 12 tan boleh mengangkut 40,000 liter diesel sehari, maknanya dalam kiraan mudah, anggota itu mendapat RM400, kalau ia berterusan sebulan, berapa banyak yang dia dapat?," kata sumber itu lagi.

Sebab itulah, penghargaan harus diberikan kepada KPDNKK yang melalui Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek dalam reaksi segeranya berikutan pendedahan akhbar ini meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat amalan rasuah yang berlaku dalam kalangan agensi penguat kuasa.

Begitu juga dengan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Alias Ahmad yang menegaskan, kementerian tersebut tidak akan melindungi mana-mana kakitangan kementerian yang terlibat dalam perbuatan menyalahi undang-undang termasuklah dalam isu penyelewengan diesel bersubsidi ini.

Sememangnya itulah sikap yang diharus ditunjukkan oleh agensi-agensi penguat kuasa lain. Penyelewengan diesel bersubsidi harus dibanteras kerana ia ancaman kepada ekonomi negara dan bukannya soal hendak menjaga imej mana-mana agensi.

Persoalan ini ditimbulkan kerana berdasarkan satu sumber, jika kegiatan sindiket penyelewengan itu dikaji, sudah pasti kita akan mendapati sesuatu perilaku yang tidak munasabah berlaku.

Ini termasuklah bagaimana tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa di sebuah syarikat yang terletak hanya bersebelahan pejabat sebuah agensi penguatkuasaan. Jawapan yang diberikan apabila ditanya ialah mereka tidak ambil tahu," kata sumber itu.

Justeru sudah tiba masanya kerajaan memikirkan satu mekanisme bagi memastikan penyelewengan diesel bersubsidi ini dihapuskan sama sekali. Sementara penghargaan harus diberikan kepada KPDNKK kerana melancarkan Ops Titik, hakikatnya banyak lagi langkah yang lebih tegas perlu dilaksanakan.

Ini kerana penyelewengan diesel bersubsidi bukanlah isu kecil atau ditangani secara bermusim sebaliknya perlu dicari satu mekanisme kekal dan tegas supaya perbuatan mensabotaj ekonomi negara tersebut dapat dihapuskan.

Dan apa yang lebih penting, satu operasi pembersihan perlu dilaksanakan sama ada melibatkan agensi penguat kuasa, pengusaha stesen minyak, penerima diesel bersubsidi dan peniaga.

Kesemua kelompok ini bertanggungjawab dan ada antaranya terlibat dalam usaha meraih keuntungan secara haram tanpa memikirkan kesannya kepada ekonomi negara," kata satu sumber.

Sebenarnya, untuk membanteras penyelewengan diesel bersubsidi ini tidaklah susah jika anggota agensi penguat kuasa benar-benar jujur tetapi malangnya ada dalam kalangan mereka seolah-olah tidak gemar untuk menyuapkan anak isteri atau keluarga mereka dengan rezeki halal. Mereka mahu hidup mewah dengan cara mudah dan sikap itulah yang memungkinkan penyelewengan itu tidak dapat dibanteras.

Oleh itu adalah diharapkan kerajaan akan memandang serius gejala penyelewengan diesel bersubsidi ini kerana jika mengikut maklumat yang diperolehi ia sudah berada di tahap yang cukup parah.

Sebelum terlambat bertindaklah sebelum sindiket penyelewengan bahan bakar itu menjadi sebuah kartel yang sukar dihapuskan sehingga akhirnya meruntuhkan ekonomi negara.

Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT

Dari Jendela Tok Ki

UCAPAN Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kuantan, Pahang baru-baru ini mengenai humanrightisme menerima pandangan pro-kontra oleh beberapa pihak.

Pada hemat penulis, pendirian Perdana Menteri terhadap fahaman hak asasi itu adalah jelas dan berani. Di tengah-tengah kemelut isu hak asasi yang cuba diperkenalkan oleh Barat, Najib tampil menyatakan sikap kritisnya terhadap acuan hak asasi cara Barat.

Penulis tidak fikir beliau mengkritik keperluan dan kepentingan hak asasi tetapi hak asasi yang mengikut acuan Barat seperti yang diperjuangkan oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) umpamanya sangat bahaya dalam konteks iklim sosiobudaya Malaysia. Perlembagaan tidak dihormati, peruntukan agama diremehkan, menyantuni kelompok yang memerlukan pembelaan dianggap sebagai bercanggah dengan hak asasi.

Ada latar yang mendukung humanrightisme cara Barat ini. Barat sedang menampilkan hak asasi manusia yang terlepas daripada pertimbangan agama dan etika. Dalam situasi fahaman pasca modenisme berkembang, hak asasi Barat berdiri atas asas rasionaliti semata-mata.

Fahaman pasca modenisme yang cuba mengambil tempat mengatasi modenisme cuba membentuk pola sosial berasaskan kapitalisme melampau, fahaman individualistik dan hedonistik yang bercanggah dengan Islam.

Ada kecenderungan yang nyata bagaimana fahaman ini ingin dipaksakan kepada umat Islam supaya berlaku hegemoni (penguasaan) the supremacy of the west" atau keagungan Barat terhadap pihak lain.

Fahaman ini bercanggah dengan tradisi hak asasi dalam Islam. Islam amat mementingkan kualiti kemanusiaan tetapi asas akhlak menjadi dukungan utama. Kehidupan yang bebas tanpa ikatan keagamaan menyebabkan lahirnya tradisi perilaku songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang didukung oleh negara-negara Barat.

Pasca modenisme dari suatu sisi membenarkan ini terjadi. Analisis terhadap fahaman ini adalah penolakan terhadap hierarki, autoriti dan menghasilkan anarki.

Dalam sistem berkeluarga Islam hierarki kekeluargaan contohnya amat penting. Ia asas kepada pembangunan masyarakat atau pun umat.

Apabila LGBT mengambil tempat institusi keluarga bakal rosak. Krisis genetik akan mengambil tempat dan generasi test-tube bakal berkembang. Ia bercanggah dengan fitrah Islami.

Di Barat, suatu ketika dulu faktor agama Kristian dianggap penting sebagai sumber autoriti kepercayaan dan rujukan. Pengaruh gereja amat kuat. Hari ini gereja dan Cathederal menjadi sumber permuziuman. Penolakan Barat terhadap autoriti ini menjadikan mereka hanya menggunakan beberapa bahagian etika Kristian dalam kehidupan harian tidak seluruh konsep mengenai Kristianiti kerana agama dianggap sesuatu yang peribadi.

Dalam tradisi Islam, masjid, al-Quran dan tradisi Kenabian (Nubuwwah) tetap menjadi sumber autoriti umat hatta di Barat sekali pun. Ia menghasilkan Islamofobia di Barat dan dalam beberapa hal Islam dilihat sebagai ekstremis, fundamentalis dan teroris. Peristiwa 11 September di Amerika Syarikat banyak membuka mata orang Barat mengenai Islam sebenarnya.

Budaya baru yang berkembang di Barat atas nama hak asasi manusia ialah kecenderungan ke arah anarki (disorderly). Sikap menolak agama dan tradisi yang dianggap dogmatik atau berlawanan dengan tradisi sains kuat berkembang di Barat.

Anarki juga menampilkan sikap baru dalam pemikiran, budaya dan pola hidup dan penentangan terjadi terhadap pemikiran, fikrah, pola hidup yang berasaskan agama dan etika.

Perjuangan Comango dalam konteks Malaysia mempunyai pengaruh ini. Kecenderungan ke arah LGBT yang sedang memperlihatkan tandanya adalah bukti lain. Ia amat bercanggah dengan pola sosial Islam dan agama-agama yang ada di Malaysia.

Justeru penegasan Perdana Menteri ini adalah kena pada masanya. Humanrightisme mengikut acuan Barat amat bercanggah dengan tradisi orang beragama dan beradab.

Islam meletakkan pembangunan rijal atau manusia sesuatu yang amat utama supaya kualiti manusiawi terserlah bukannya pola haiwani yang menolak agama dan etika.

Kualiti manusia dalam konteks hak asasi Islami menjadikan agama, akhlak dan etika sesuatu yang amat penting kerana tanpanya kezaliman dan kerosakan fitrah kehidupan boleh terjadi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved