Utusan Online - Sukan |
Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan DHIYA'ZULHILMI DAUD M.Saravanan (lima dari kanan) bersama Mohd. Nasir Ali (empat dari Kanan) dan Ahmad Zaki Zahid (lima kiri) serta wakil penganjur dan penaja pada majlis pelancaran Kejohanan Sepaktakraw KFC-Utusan 2013 di Pusat Beli belah AEON AU2 Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR KUALA LUMPUR - Sekalipun hanya tertumpu kepada satu zon saringan dan peringkat akhir berbanding empat zon pada dua edisi sebelumnya, namun Kejohanan Sepaktakraw KFC-Utusan 2013 tetap mendapat sambutan hangat kerana memiliki peminat setia yang tegar. Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali menjangkakan perubahan format pertandingan tidak langsung mematahkan semangat penggemar sukan tradisi ini untuk menjayakan dan memeriahkan kejohanan. Edisi keempat kejohanan bakal berlangsung di Seremban dan Klang dari 26 hingga 29 September ini selepas dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, semalam. "Dengan syarat pertandingan yang hanya membenarkan seorang pemain negeri atau kebangsaan mewakili sesebuah regu, selain ganjaran lumayan yang ditawarkan, penggemar sepaktakraw tetap datang untuk beraksi. "Tahun lalu, lebih 500 regu bertanding di keempat-empat zon dan saya yakin, angka itu tidak langsung berkurangan kali ini," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancarannya di AEON AU2, Taman Setiawangsa di sini semalam. Turut hadir pada pelancaran semalam adalah Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings (pengendali Kentucky Fried Chicken - KFC Malaysia), Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Ketua Pengarang dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Datuk Othman Mohamad. Empat kategori dipertandingkan iaitu Terbuka-Institusi Pengajian Tinggi, Bawah 20 Tahun, Bawah 16 Tahun dan Bawah 12 Tahun dengan ganjaran hampir RM70,000 yang ditawarkan di Kompleks Sukan Negeri Sembilan, Seremban dan AEON Bukit Raja, Klang itu turut mengatasi mana-mana hadiah pertandingan peringkat negeri atau kebangsaan. Kata Mohd. Nasir, sepaktakraw negara sebenarnya tidak ketandusan bakat mahupun pemain handalan apabila baru-baru ini, seorang pemain kita, Mohd. Hanafiah Dolah turut membantu juara lapan kali, Nakhon Pathom bangkit daripada kedudukan tercorot untuk menduduki tempat keenam Liga Sepaktakraw Thailand 2013. "Kejohanan kali ini turut diharap dapat menarik minat kaum lain kerana selain Thailand, sudah banyak negara bukan Melayu atau luar Nusantara seperti China, Korea Selatan, Myanmar dan Vietnam malah Eropah yang menguasainya. "Malah kami merancang untuk meluaskan ke peringkat Asia Tenggara pada masa akan datang," katanya. Sementara itu kata Aziz, Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi kejohanan akan terus memainkan peranan menyokong usaha menjadikan sepaktakraw sebagai gaya hidup penting masyarakat Malaysia. |
Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT Oleh ZAZALI JAMIAN Pemain Pakistan, Waseem Ahmad berjaya melepasi tiga pemain negara pada saingan Piala Asia di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh semalam. - uTUSAN/Hafiz Johari IPOH - Malaysia tiada pilihan selain perlu sekurang-kurangnya seri ke atas Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A hoki Piala Asia, esok sekiranya mahu meneruskan impian memburu gelaran selepas tewas 1-4 kepada Pakistan, semalam. Kekalahan skuad kebangsaan pada aksi kedua peringkat kumpulan itu menyebabkan Malaysia yang berada pada ranking ke-13 dunia terlepas peluang mudah untuk ke separuh akhir, Jumaat ini. Dalam kejohanan yang menggunakan format liga satu pusingan itu, hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke separuh akhir untuk merebut tempat ke final. Ketika ini hanya Jepun yang meraih kemenangan 5-1 ke atas Taiwan bakal menjadi penghalang Malaysia terus kekal di kedudukan kedua kumpulan. Jurulatih kebangsaan, Paul Revington mengakui aksi menentang Jepun bakal menjadi perlawanan penting buat Malaysia. "Mereka bermain dengan baik hari ini (semalam). "Kitar harus sedar, menentang Pakistan memang amat mencabar. Corak permainan serangan balas membawa mereka meraih kemenangan," kata Revington. Malaysia memulakan aksi meyakinkan apabila mendahului menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim minit ke-26, namun tujuh minit selepas itu Pakistan berjaya menyamakan kedudukan hasil gol padang Muhammad Zubair dan bermula babak kedua, Pakistan mula mendominasi saingan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan