Utusan Online - Pahang |
- Op Payung cukup berkesan
- Tahap pematuhan penggunaan tanda harga masih kurang
- Cegah jenayah perlu bermula dari sekolah
Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN MOHD. Jasmani Yusof (berdiri, kiri) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri IPD Kuantan di Pahang, semalam. KUANTAN 25 Ogos - Polis akan meneruskan operasi Op Payung bagi menangani kes-kes jenayah samun, ragut dan pecah rumah yang berlaku di sekitar daerah ini. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, sebelum ini operasi tersebut hanya diadakan pada musim perayaan sahaja dan kini diteruskan pada hari-hari biasa. Menurut beliau, tempoh lapan bulan tahun ini mencatatkan penurunan kes jenayah sebanyak 13 peratus dan perkara itu merupakan tanda positif dalam menangani jenayah. "Operasi itu akan diteruskan bagi memastikan rakyat tidak perlu bimbang dan takut berikutan jenayah yang berlaku di tempat mereka. "Sebagai contoh kekerapan sekatan jalan raya yang dilaksanakan mampu mengurangkan kadar jenayah yang sering berlaku sebelum ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini. Dalam majlis itu, Mohd. Jasmani beramah mesra dengan para anggota dan pegawai dan menyampaikan sumbangan kepada balu polis, warga emas, fakir miskin serta ibu tunggal. Katanya, kerjasama orang ramai juga turut membantu mengurangkan kadar jenayah tersebut dan diharap perkara berkenaan dapat diteruskan. |
Tahap pematuhan penggunaan tanda harga masih kurang Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT MOHD. A. Aruwan Ab. Aziz (berdiri, kiri) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPDNKK di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. KUANTAN 25 Ogos - Tahap pematuhan penggunaan tanda harga khas merah jambu dalam kalangan peniaga di negeri ini sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini masih kurang memuaskan. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, para peniaga mematuhi peraturan kerajaan terhadap penjualan 19 barangan terkawal sepanjang musim perayaan itu. Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang, Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz berkata, sepanjang pelaksanaan skim itu selama 17 hari bermula 26 Julai hingga 11 Ogos lalu, pihaknya melakukan sebanyak 10,219 pemeriksaan membabitkan 251 premis borong dan 9,968 premis runcit di seluruh negeri ini. Menurutnya, hasil pemeriksaan itu, sebanyak 47 kes kesalahan dikesan iaitu 44 kes membabitkan peniaga runcit dan tiga kes melibatkan peniaga borong. "Daripada jumlah kes direkodkan, hanya satu kes kesalahan menjual barangan terkawal melebihi harga kawalan manakala selebihnya membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga merah jambu. "Hasil tindakan terhadap peniaga ingkar itu, kita mengeluarkan kompaun kepada 47 premis terlibat dengan jumlah keseluruhan RM5,300 manakala nilai rampasan mencecah RM3,556.95," katanya kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPDNKK di sini baru-baru ini. Aruwan berkata, pihaknya turut mengeluarkan amaran terhadap tujuh peniaga yang gagal menggunakan tanda harga merah jambu terhadap barangan harga terkawal yang dijual. "Secara pecahannya, Kuantan dan Raub mencatatkan jumlah kes tertinggi masing-masing 14 kes dengan nilai kompaun keseluruhan RM2,000 manakala nilai rampasan barangan pula adalah RM2,389. "Jerantut, lapan kes dengan dikenakan kompaun RM1,100 manakala nilai rampasan RM394 diikuti Rompin, lima kes membabitkan kompaun RM500 dan nilai rampasan RM183,"katanya. Dalam pada itu, katanya, Temerloh dan Bera masing-masing mencatatkan tiga kes dengan nilai kompaun keseluruhan bagi dua daerah itu RM600 dan nilai rampasan RM859. "Bagi daerah lain termasuk Maran, Pekan, Lipis dan Bentong tiada sebarang kes direkodkan sepanjang tempoh itu," katanya. |
Cegah jenayah perlu bermula dari sekolah Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT ERWAN Mohd. Tahir (tengah) bersama pengetua, guru dan pelajar yang menyertai Seminar Mahkota Bahasa Isytihar Perang Terhadap Jenayah Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 di Kuantan, Pahang, semalam. KUANTAN 25 Ogos - Pencegahan jenayah perlu dilaksana bermula di peringkat sekolah supaya dapat membentuk jati diri golongan muda daripada terjebak ke dalam aktiviti jenayah. Naib Pengerusi 1 Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd. Tahir berkata, generasi muda adalah penentu perpaduan dan keharmonian pada masa hadapan dan bergantung kepada tahap kesedaran serta pengetahuan mereka terhadap negara. "MCPF akan merencana pelbagai program untuk pelajar bagi mencegah jenayah dari peringkat bawah lagi. "Kita berperanan membentuk remaja supaya mempunyai kesedaran tinggi terhadap pencegahan jenayah," katanya ketika ditemui selepas Seminar Mahkota Bahasa Isytihar Perang Terhadap Jenayah sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 di sini hari ini. Menurut beliau, pelajar perlu mengambil peluang menyertai program-program yang akan dilaksana MCPF Pahang bagi memastikan mereka mengetahui bahayanya jenayah. Sementara itu, katanya, kira-kira 400 pelajar daripada 12 buah sekolah menengah di daerah ini menyertai program penulisan karangan tersebut. "Dalam program ini kita telah mengadakan bengkel penulisan dan pertandingan menulis karangan yang bertemakan pencegahan jenayah. "Program ini bertujuan mendidik pelajar menjauhi jenayah selain dapat membantu mereka menulis karangan dengan baik," katanya. Katanya, MCPF Pahang akan melaksanakan program seperti ini setiap bulan bagi membantu polis mencegah jenayah di peringkat sekolah. "Mungkin selepas ini kita akan adakan juga program di kawasan luar bandar kerana pada masa kini jenayah bukan sahaja di bandar tetapi di kawasan-kawasan kampung," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan