Utusan Online - Johor |
Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED BATU PAHAT 24 Ogos - Semua ahli UMNO negeri ini digesa mengutamakan perpaduan antara mereka daripada berpecah akibat pertembungan sesama sendiri bagi merebut jawatan di peringkat bahagian dalam pemilihan parti kali ini. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu penting diambil kira oleh semua ahli UMNO kerana kekuatan sesebuah parti terletak kepada perpaduan dalam kalangan ahli. Beliau yang juga Menteri Besar berkata, ahli perlu sedar bahawa pemilihan peringkat bahagian merupakan platform untuk memilih pemimpin, bukan 'gelanggang pertembungan'. "Kesemua 26 bahagian diingatkan supaya mementingkan perpaduan semasa pemilihan pemimpin di peringkat bahagian kerana dilihat dan dinilai oleh masyarakat atau pengundi. "Oleh itu, elaklah bertembung sesama sendiri sehingga meretakkan perpaduan yang wujud dalam parti ketika kita bekerjasama secara erat dan padu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu," katanya dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama penduduk daerah ini di sini malam semalam. Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohamad Aziz serta barisan Exco negeri, selain pemimpin UMNO Bahagian Batu Pahat, Sri Gading dan Parit Sulong. Mohamed Khaled berkata, perpaduan atau kerjasama yang ditunjukkan oleh tiga UMNO bahagian di daerah ini dalam menjayakan majlis sambutan Aidilfitri itu perlu dicontohi. "Kalau nak dianjurkan majlis sama di setiap bahagian, ini memerlukan kos yang tinggi dan pencarian kawasan terutamanya dewan yang boleh memuatkan orang ramai. "Tapi dalam kerjasama tiga UMNO bahagian ini, satu majlis telah dianjurkan secara kerjasama dan alhamdulillah cukup meriah dan berjaya membawa tetamu daripada ketiga-tiga bahagian," katanya. Beliau berharap perpaduan seperti itu dapat diteruskan dan dicontohi oleh ahli, khususnya dalam pemilihan pemimpin peringkat bahagian kelak. |
Pelantikan Ali suntikan baharu kepada PUNB Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT YUSOF Abu Bakar (tengah) bersama para tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka beliau di Bukit Pasir, Muar, Johor, semalam. PAGOH 24 Ogos - Pelantikan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam selaku Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) yang baharu diyakini akan membawa perubahan dalam melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera yang dinamik, berdaya tahan dan progresif. Pengerusi Persatuan Usahawan Bumiputera Muar, Datuk Yusof Abu Bakar berkata, kemampuan Mohd. Ali yang menggantikan Khairy Jamaluddin berkuatkuasa 1 Ogos lalu, dinilai melalui kepimpinannya sebelum ini yang menyaksikan banyak usaha meningkatkan pendapatan usahawan bumiputera. "Dengan adanya pengaruh beliau sebelum ini kita percaya PUNB akan terus menjadi nadi penggerak untuk membangun usahawan bumiputera yang penglibatan dan sumbangan mereka penting kepada pembangunan ekonomi negara," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di pekan Bukit Pasir di sini hari ini. Mohd. Ali dilantik menggantikan Khairy yang kini menjadi Menteri Belia dan Sukan berdasarkan pengalaman dalam memajukan ekonomi Melaka semasa menjadi Ketua Menteri di negeri itu selama 12 tahun. Mengulas lanjut Yusof berkata, Mohd. Ali akan memberi suntikan baharu dan lebih segar terhadap PUNB selain memberi sumbangan tersendiri dalam membangunkan perbadanan tersebut dalam usaha memperkasa ekonomi bumiputera ke tahap yang lebih baik. Sementara itu, beliau yang mengumumkan hasratnya pada 23 Julai lalu untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh pada pemilihan parti pada Oktober ini, berharap mendapat sokongan daripada ahli-ahli. "Penjelasan sudah diberikan tentang hala tuju baharu Pemuda UMNO Pagoh dalam bidang ekonomi, agama dan sosial. "Saya yakin ramai akan menyokong idea-idea besar ini namun pada masa sama saya menafikan pertandingan merebut jawatan ini akan membawa perpecahan kerana ahli bijak menilai calon yang mempunyai visi dan misi," katanya yang juga Penasihat Majlis Belia Daerah Muar. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan