Utusan Online - Pemotoran |
Citroen DS4 seakan-akan SUV mini Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT Oleh FAIRUS KASSIM Rekaan DS4 sangat unik dan seakan-akan gabungan segmen hatcback dengan utiliti sukan. Jenama Citroen sedikit malap sebelum ini di pasaran tempatan namun kembali menyinar bermula Februari lalu apabila pengedar baharu , Naza Euro Motors Sdn. Bhd. melancarkan model terbaharu iaitu DS4 dan DS5. Pengenalan dua model ini dilihat memberi nafas baharu kepada jenama dari Perancis berkenaan untuk bangkit semula. Baru-baru ini penulis berpeluang menguji model DS4 yang sekali pandang mempunyai gabungan konsep kereta sedan hatcback dan utiliti sukan (SUV) mini. Paling menarik perhatian adalah badan model ini kelihatan agak tinggi sehingga jelas terdapat jurang yang ketara antara tayar kereta dengan badan sehingga menyebabkan rim bersaiz 18 inci tampak kecil. Reka bentuk luarannya sangat sporty dan rekaan jeriji eksklusif Citroen dengan kemasan perak di bumper hadapan yang cukup menonjol serta logo DS di hujung hood selain dilengkapi lampu LED siang di bahagian lampu kabus. Dari tepi, bentuknya hampir separa bulat manakala saiz tingkap yang kecil berbanding badannya untuk mencerminkan ciri-ciri seakan-akan SUV mini mewah dan yang peliknya langsung tidak kelihatan pembuka pintu penumpang belakang dan apabila diperiksa pembuka tersebut tersorok di bahagian hujung tingkap. Ahli keluarga penulis yang pertama kali menumpang kenderaan ini juga terpinga-pinga apabila hendak masuk ke dalam kereta. Rasa seronok pula melihat situasi berkenaan, seperti DS4 bergurau dengan mereka. Bahagian belakang merupakan antara faktor penarik utama DS4 berikutan reka bentuk lampu belakang yang unik, spoiler dan kemasan perak di bahagian bumper menyerupai ekzos berkembar. Puas membelek luarannya yang cukup memuaskan, penulis terus membuka pintu untuk meninjau kabin dan perkara pertama yang mencuri anak mata adalah rekaan kerusi bercorak ketupat daripada kulit jenis Havana Club. Papan pemuka agak ringkas namun tetap mewah tetapi agak pelik kerana tidak dilengkapi skrin paparan sesentuh yang biasanya terdapat pada kereta mewah. Stereng pula kelihatan gemuk dan dilengkapi butang kawalan yang mudah dicapai. Bahagian hujung bumbung juga boleh dilaras ke belakang untuk membesarkan saiz cermin hadapan tetapi mungkin tidak sesuai ketika waktu panas kerana kaki pemandu akan terasa bahang matahari. Bergerak ke kerusi penumpang di bahagian belakang, bukaan pintunya agak kecil dan apabila anda telah duduk, terasa dinding di bahagian bahu yang sedikit mengganggu ketika mahu keluar. Secara keseluruhannya, ruang kabin agak luas dan selesa. Papan pemuka kelihatan cukup menarik walaupun tanpa kehadiran skrin sesentuh. Mengulas mengenai prestasi DS4, penulis sangat kagum dengan keupayaan pecutannya dan mampu mencapai kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) pada gear empat (mod sports) dalam tempoh yang singkat dan ditambah pula dengan deruman enjin yang mengancam. Kereta ini agak tinggi dan sistem penyerap hentak agak keras apabila memandu berseorangan. DS4 dilengkapi dengan enjin berkapasiti 1.6 liter turbo dengan menyalurkan 160 kuasa kuda dan hanya memerlukan 9.3 saat untuk memecut antara tahap pegun hingga 100 km/j, manakala kelajuan maksimum boleh mencecah 212 km/j. Bagi mereka yang menggemarkan pemanduan manual, DS4 dilengkapi pedal shift dan juga tombol gear yang boleh dilaraskan ke mod manual. Terdapat satu sistem unik pada model ini iaitu sistem pengesan saiz tempat letak kereta di kiri atau kanan sama ada bersesuaian dengan saiz DS4. Ini dapat menjimatkan masa pemandu meletakkan kenderaan. Selain itu, bagi mereka yang menggemarkan kualiti pencahayaan dalam kabin ketika memandu, model ini membolehkan pemandu melaras warna dan kadar keterangan cahaya pada paparan meter kelajuan. Secara keseluruhannya, DS4 menawarkan sedikit kelainan berbanding kereta segmen B hatcback yang terdapat di pasaran dan buat masa ini jika anda yang terawal memilikinya pasti anda menjadi tumpuan ramai. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan