Utusan Online - Dalam Negeri |
- Waythamoorthy perlu faham tanggungjawab bersama
- Indeks kesejahteraan rakyat antara fokus Bajet 2014
- Najib terima kunjungan Setiausaha Pertahanan AS
Waythamoorthy perlu faham tanggungjawab bersama Posted: 25 Aug 2013 02:21 AM PDT KUALA LUMPUR 25 Ogos - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy seharusnya memahami tentang tanggungjawab bersama yang digalas oleh setiap menteri Kabinet di negara ini. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada pihak yang boleh meletakkan kepentingan politik mereka melebihi tanggungjawab bersama itu. Beliau turut menyifatkan tindakan yang bersandarkan kepada emosi dalam sesuatu keadaan tidak menunjukkan kepimpinan yang waras. "Saya dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mesti ada pandangan peribadi. "Kalau saya beremosi dalam membuat keputusan berhubung tragedi di Genting Highlands, mungkin hari ini saya hentikan semua perkhidmatan bas di kawasan itu," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan sebelum itu mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel. - UTUSAN ONLINE |
Indeks kesejahteraan rakyat antara fokus Bajet 2014 Posted: 25 Aug 2013 01:02 AM PDT KUALA LUMPUR 25 Ogos - Indeks kesejahteraan rakyat turut menjadi fokus utama baharu dalam Bajet 2014 yang dilihat akan memberi manfaat kepada rakyat secara holistik dan menyeluruh. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, indeks itu diberikan tumpuan oleh kerajaan adalah bagi membantu rakyat untuk mengurangkan pelbagai tekanan sama ada ekonomi dan juga berkaitan isu kehidupan. Tegas beliau, isu seperti penurunan dan pengawalan harga rumah, barang keperluan harian, keselamatan serta kesesakan jalan raya dilihat penting dalam meningkatkan indeks tersebut. "Bajet kali ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk mengagihkan nikmat serta limpahan ekonomi kepada semua pihak tanpa ada terkecuali. "Diharapkan, rakyat dapat bersama-sama memberi cadangan serta komen dalam usaha kerajaan meningkatkan indeks kesejahteraan agar bajet kali ini akan memberi manfaat kepada semua,"katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kongsi Raya anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti Bandar Sri Permaisuri di Masjid An-Najihin di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
Najib terima kunjungan Setiausaha Pertahanan AS Posted: 25 Aug 2013 12:47 AM PDT NAJIB Razak bersalaman dengan Chuck Hagel ketika mengadakan pertemuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini. Hagel mengadakan lawatan tiga hari hingga Isnin ini dan lawatan itu merupakan sebahagian daripada program kunjungan beliau keempat negara di Asia Tenggara. - BERNAMA KUALA LUMPUR 25 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan hormat Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel di sini hari ini. Hagel, diiringi Ketua Staf Mark Lippert dan Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat, Lee McClenney meluangkan masa kira-kira 45 minit bersama Najib. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. Hagel yang tiba di negara ini semalam dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia, sebagai sebahagian daripada program kunjungannya ke empat negara di Asia Tenggara. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan