Ahad, 25 Ogos 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


ADaP

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh Norizan Abdul Muhid
pendidikan@utusan.com.my

ZAWAWI Karim menerangkan tentang bentuk soalan yang terdapat dalam sisipan ADaP kepada murid-muridnya di Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sisipan pendidikan Utusan Malaysia, ADaP menjadi pilihan Pusat Tuisyen Faiza Jaya untuk membantu melonjakkan prestasi akademik murid-muridnya.

Pengetuanya, Mohd. Lokman Mohamad berkata, sisipan ADaP adalah alternatif terbaik bagi membantu murid-murid mempelajari teknik menjawab peperiksaan selain buku rujukan dan sumber pembelajaran melalui internet.

Menurutnya, penggunaan ADaP turut membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) kerana soalan serta latihan yang terdapat di dalam sisipan itu disediakan oleh pakar-pakar akademik.

"Hakikatnya, guru dan murid pada masa ini mempunyai banyak pilihan dalam memilih bahan pembelajaran atau rujukan untuk P&P mereka sendiri.

"Namun, pada saya, sisipan ADaP mempunyai keistimewaannya tersendiri dan paling utama, sisipan ini mampu membantu murid dalam kemahiran menjawab soalan mata pelajaran tertentu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pusat Tuisyen Faiza Jaya di Jalan Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn mula beroperasi tahun 2005 dan memiliki 500 murid tahun satu hingga tingkatan lima.

Sepanjang lapan tahun penubuhannya, pusat tersebut kini mempunyai empat cawangan iaitu di Seksyen 9 Shah Alam, Taman Tun Dr. Ismail dan Alam Damai, Cheras.

Mohd. Lokman menambah, selain nota dan kemahiran menjawab soalan yang berkesan, kandungan ADaP juga menarik kerana terdapat ilustrasi berwarna-warni serta grafik yang mampu mencuri tumpuan murid.

"Ilustrasi berwarna mampu menarik murid untuk menelaah dan akhirnya mencuba slot-slot soalan yang disediakan dalam ADaP.

"Malah soalan yang disediakan juga ringkas dan tidak mengelirukan, kalau soalan panjang murid cepat bosan," katanya.

Bagi salah seorang tenaga pengajar Pusat Tuisyen Faiza Jaya, Zawawi Karim, sisipan ADaP terbukti berkesan dalam membantu guru dalam P&P kerana kandungannya disediakan oleh guru-guru pakar mata pelajaran.

"Saya sering membuat latihan secara dalam talian dan lebih gemar memilih laman ADaP untuk meningkatkan kemahiran menyelesaikan soalan," jelasnya.

Sementara itu, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, Muhammad Airil Ikmal Mustafa Kamal memberitahu, dia berminat menggunakan sisipan ADaP kerana memperoleh banyak pengetahuan baharu.

Rakannya, Fakhri Haziq Baharuddin berpendapat, nota yang disediakan amat membantunya menjawab soalan peperiksaan nanti.

Sekolah Amanah galak kaedah pengajaran kreatif

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

GURU sekolah yang terlibat dalam Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR telah mencapai kemajuan besar menggunakan kaedah pengajaran baharu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kreatif dan berasaskan kerjasama di bilik darjah sekolah awam di Malaysia.

Pengerusi Yayasan AMIR, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (gambar) berkata, Program Sekolah Amanah telah berjaya menjadi pemangkin transformasi yang terbukti daripada peningkatan pencapaian akademik dan juga kemahiran sosial murid.

"Transformasi pendidikan akan membuahkan hasil jika prinsip dan metodologi yang betul diguna pakai," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Berdasarkan pemerhatian pembelajaran yang dijalankan oleh program ini pada April dan Mei lalu mendapati beberapa kemahiran penting guru meningkat.

Antara pencapaian cemerlang itu termasuklah perancangan pengajian (89 peratus), penggunaan strategi soalan yang mendorong murid berfikir (65 peratus), memenuhi keperluan murid dengan tahap keupayaan dan gaya pembelajaran berbeza (101 peratus) dan menggunakan teknik pembelajaran kerjasama dan muafakat dalam bilik darjah (83 peratus).

Peningkatan tersebut dicapai berbanding ukuran asas yang dijalankan pada bulan September 2011.

Yayasan AMIR merupakan sebuah pertubuhan yang diwujudkan bukan berasaskan keuntungan oleh Khazanah Nasional Berhad, selaku penaja pengasas bagi Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR.

Program Sekolah Amanah dimulakan oleh Kementerian Pendidikan bagi menjalankan program transformasi dalam persekitaran pembelajaran di sekolah awam melalui kerjasama bijak antara sektor awam dan swasta.

Setakat ini, Yayasan AMIR merupakan satu-satunya penaja sulung Program Sekolah Amanah dan melantik LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd Services), sebuah penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan yang diasaskan di Malaysia.

Program perintis bermula dengan 10 buah sekolah di Johor dan Sarawak pada 2011 dengan tumpuan menambah baik pengajaran.

Tiga buah sekolah baharu di Lembah Klang dimasukkan ke dalam Program Sekolah Amanah bermula tahun ini.

Setiap Sekolah Amanah Yayasan AMIR dibantu sepasukan Rakan Pendidik yang berganding bahu dengan kakitangan sekolah untuk menambah baik amalan kepimpinan dan juga kemahiran pengajaran.

Sementara itu, Pengerusi LeapEd Services, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, program itu dirangka dengan tumpuan mengubah peranan guru dalam bilik darjah dan mentakrif semula konsep kerja rumah dan aktiviti bilik darjah.

"Dalam senario ini, murid cemerlang dicabar untuk meningkatkan prestasi manakala yang kurang berwibawa pula belajar untuk meneliti dan memahami pelajaran untuk memastikan mereka tidak ketinggalan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved