Utusan Online - Jenayah |
6 ditahan, 2 senapang dirampas Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN MAZLAN Lazim menunjukkan senjata dan peluru hasil kejayaan Op Cantas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kelantan, semalam. KOTA BHARU 25 Ogos - Polis Kelantan menahan enam suspek jenayah rakyat tempatan dan merampas dua laras senapang buatan sendiri termasuk 134 butir peluru hidup pelbagai jenis dalam Op Cantas Khas yang dijalankan di tiga lokasi di negeri ini baru-baru ini. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 4.30 pagi pada Rabu lalu di Guchil 2 Kuala Krai, pihaknya menahan dua lelaki selepas menemukan selaras senapang sepanjang 95 sentimeter di dalam kereta Proton Iswara dinaiki suspek. Menurut beliau, senapang tersebut yang dipercayai dibeli dari negara jiran pada harga antara RM180 hingga RM200, disembunyikan di bawah tempat letak kaki penumpang belakang kereta itu untuk mengelak daripada ditemui. Katanya, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai yang melakukan operasi kemudian menjalankan pemeriksaan susulan dan menemukan 36 butir peluru hidup yang disimpan dalam satu beg kecil. "Kedua-dua suspek yang berusia 20 dan 27 tahun kini direman sehingga esok (26 Ogos) bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru. "Kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini. Beliau berkata, dalam serbuan berasingan pada hari yang sama di Tumpat kira-kira pukul 9.30 pagi, polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dan anaknya serta merampas 80 butir peluru hidup. Menurut Mazlan, serbuan dibuat di sebuah rumah bernombor Lot 557 di Kampung Air Dingin dan polis turut menemukan 556 kelongsong peluru pelbagai jenis dan beberapa barang lain seperti set sarung pistol, kotak simpanan pistol dan kelopak kosong pistol. "Suspek yang ditahan adalah wanita berusia 55 tahun dan anak lelakinya berumur 22 tahun serta seorang lagi lelaki berumur 41 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. "Peluru yang dirampas pula turut membabitkan peluru bagi senjata api berat iaitu sembilan butir bersaiz 5.56mm, tujuh butir .38mm dan 10 butir 7.62mm," katanya. Beliau berkata, kesemua suspek bagaimanapun telah dibebaskan hari ini atas jaminan polis dan pihaknya sedang memburu seorang lelaki yang juga suami wanita tersebut dikenali sebagai Mokhtar Gan Abdullah, 55, bagi membantu siasatan. Sementara itu, Mazlan memberitahu, serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli di sebuah rumah di Kampung Salor, Batu Melintang pada pukul 9 malam Rabu lalu menemukan selaras senapang buatan sendiri dan menahan seorang lelaki berumur 40 tahun. "Lelaki itu ditahan di rumahnya dan hasil siasatan dia membawa polis ke sebuah lokasi berhampiran yang menjadi tempat senapang yang dibeli dari negara jiran dengan harga RM200 itu disimpan. "Suspek direman sehingga Rabu ini dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata kerana memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen," kata beliau. Pada sidang akhbar sama, Mazlan turut memaklumkan Op Cantas yang bermula 17 Ogos lalu di seluruh Kelantan telah membawa kepada penahanan 28 suspek membabitkan kesalahan jenayah dan pihaknya telah mengeluarkan 152 saman terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas. |
Skuad khas: Polis KL sedia bantu Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT Oleh ILAH HAFIZ AZIZ KUALA LUMPUR 25 Ogos - Polis Kuala Lumpur sedia membantu menguatkan operasi dua skuad khas yang ditubuhkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memerangi jenayah berat dan dadah di seluruh negara. Ketuanya, Datuk Mohmad Salleh berkata, penubuhan skuad itu akan memberi impak yang lebih berkesan selain menyelesaikan pelbagai kes jenayah yang berlaku di ibu negara. "Penubuhan skuad khas seperti yang diumumkan kerajaan semalam adalah bertepatan dan wajar pada masa kini, malah kita yakin skuad ini juga membantu setiap usaha yang kita lakukan selama ini. "Polis Kuala Lumpur akan sentiasa memberi kerjasama yang erat dari segi informasi dan operasi agar mereka yang melakukan perkara membelakangi undang-undang dapat diambil tindakan," katanya ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Segambut hari ini. Yang turut hadir Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan penubuhan dua skuad khas dengan kekuatan 200 polis cawangan narkotik dan 200 polis bahagian jenayah berat ditubuhkan untuk memerangi masalah jenayah berat dan dadah di negara ini. Skuad itu akan beroperasi dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan tidak akan melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD). Dalam perkembangan lain, Mohmad berkata, Op Cantas Khas yang dimulakan sejak minggu lalu mencapai kejayaan memberangsangkan di ibu negara. "Op Cantas yang dilancarkan di ibu negara dilihat memberi kesan yang amat positif dalam aktiviti pembanterasan jenayah. "Polis Kuala Lumpur tidak menumpukan di beberapa lokasi sahaja sebaliknya di setiap kawasan termasuk di sekitar Putrajaya. Detektif-detektif polis di setiap daerah juga saya boleh katakan sentiasa bersedia terutama sekali pada waktu malam bagi menjayakan operasi ini," katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan individu atau kumpulan yang mencurigakan supaya menyalurkan segera maklumat itu kepada pihak polis. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan