Utusan Online - Sukan |
Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Junior ELDSTAL KUALA LUMPUR - Harimau Muda A mendapat suntikan semangat menjelang Pestabola Merdeka di Kuantan pada 7 hingga 14 September ini apabila pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal membuat pusingan-U dengan membenarkan Junior Eldstal dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim menyertai skuad Ong Kim Swee. Keputusan itu dicapai selepas Rajagobal yang menemui Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, bersetuju melepaskan kedua-dua pemain itu demi kepentingan negara. Keputusan memberikan semula kedua-dua pemain tersebut kepada Kim Swee juga disebabkan skuad kebangsaan hanya akan menghadapi satu perlawanan persahabatan berkelas A menentang China di Shanghai 10 September nanti. Jelas Hamidin, tiada isu yang perlu dibangkitkan ekoran keputusan tersebut dan berharap kedua-dua jurulatih berpuas hati dengan keputusan yang telah dicapai serta kembali fokus kepada tugasan masing-masing. Dalam pertemuan dengan saya hari ini (semalam), Rajagobal bersetuju memberikan dua pemain itu kepada Kim Swee untuk menghadapi Pestabola Merdeka kerana Harimau Malaya cuma berdepan satu perlawanan sahaja menentang China di Shanghai pada 10 September depan. Rajagobal sedia menggunakan beberapa pemain muda (saingan Liga Super) yang lain sebagai pengganti Junior dan Nik Shahrul, jadi tiada masalah dalam soal ini. Keputusan melepaskan kedua-dua pemain tersebut tidak dipaksa oleh sesiapa, ia dibuat secara suka rela oleh Rajagobal demi kepentingan Harimau Muda A pada Pestabola," katanya ketika dihubungi, semalam. Rabu lalu, Kim Swee mendedahkan melalui perbincangan dengan Rajagobal, hanya dua pemain iaitu Junior dan Nik Shahrul akan diserap dalam skuad Harimau Malaya. Pemain lain seperti Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohd. Fadhli Shas boleh mewakili Malaysia dalam Pestabola dan perkara itu disambut baik olehnya. Sementara itu, Kim Swee menyambut baik kesediaan Rajagobal melepaskan kedua-dua pemain tersebut. Dia menyifatkan keputusan itu membolehkannya membuat persiapan sempurna untuk Sukan SEA kerana buat pertama kali dia dapat menggunakan semua pemain terbaik untuk beraksi dalam kejohanan kompetitif. Selepas mendapat makluman mengenai perkara ini, saya rasa cukup teruja kerana dapat menggunakan dua pemain ini terutamanya Junior yang belum pernah beraksi bersama Harimau Muda A. Inilah peluang terbaik saya mengumpulkan semua pemain terbaik yang saya ada di dalam satu skuad dan melihat sejauh mana kemampuan mereka berdua beraksi dengan pemain lain, ini satu persediaan yang baik sebelum kita ke Sukan SEA, " katanya. Hamidin juga memberitahu, skuad kebangsaan Bangladesh yang dalam rangka menghadapi persiapan kejohanan Persekutuan Bola Sepak Piala Asia Selatan (SAFF) akan menguji pasukan Harimau Muda A di Stadium Darul Makmur, 22 Ogos ini pada pukul 5.30 petang. Kedatangan mereka di sini sebenarnya mahu menguji pasukan kebangsaan kita namun tarikh yang diminta pada 22 Ogos itu, tetapi tidak boleh kerana Piala Malaysia telah bermula. Jadi, FAM bersetuju memberikan ruang ini kepada Harimau Muda untuk menguji mereka dan berharap mereka boleh mengambil kesempatan berkenaan," katanya. |
Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Afandi Hamzah PETALING JAYA - Buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2011 perlawanan akhir Piala Malaysia akan dilangsungkan di Stadium Shah Alam selepas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju memberikan laluan kepada kerja-kerja pembaikan padang Stadium Nasional Bukit Jalil lebih awal. Menurut Pengerusi JKPT FAM, Datuk Afandi Hamzah, keputusan itu dibuat ekoran gesaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengarahkan Stadium Nasional ditutup secepat mungkin bagi kerja penggantian rumput baru ekoran kontroversi yang melibatkan keengganan Barcelona beraksi di sana baru-baru ini. Di samping itu, Afandi membayangkan gelanggang aksi kelayakan Piala Asia 2015 yang melibatkan pertemuan Harimau Malaya dengan Bahrain pada 15 Oktober nanti juga akan dilangsungkan di Stadium Shah Alam. "Mengikut jadual asal gelanggang perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung pada 3 November di Stadium Nasional Bukit Jalil namun ekoran perkembangan terkini, JKPT FAM telah berbincang dengan PSM bagi mendapatkan penjelasan mengenai soal padang. "KBS telah mengeluarkan arahan Stadium Nasional ditutup serta merta supaya kerja-kerja pembaikan agar segera dijalankan malahan proses pelantikan kontraktor sedang berlangsung. "Kerja-kerja pembaikan ini akan mengikut perancangan akan bermula pada penghujung Oktober atau seawal November dan akan ditutup selama enam bulan, kemungkinan boleh digunakan pada bulan Jun 2014. "Setelah berbincang, kami mencapai keputusan yang perlawanan akhir Piala Malaysia kekal pada tarikh yang sama cuma akan ke beralih ke Stadium Shah Alam dan kemungkinan besar juga melibatkan aksi kelayakan Piala Asia 2015 melibatkan pertemuan dengan Bahrain (15 Oktober) dan Qatar(19 November) akan dimainkan di Shah Alam, " katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat JKPT FAM di Wisma FAM, semalam. Walaupun KBS membuat perancangan awal untuk menutup Stadium Nasional sebelum ini, insiden penukaran stadium perlawanan antara Malaysia dan Barcelona F.C pada 9 Ogos lalu dalam tempoh kurang 24 jam telah mencemarkan imej negara dan kurang profesional. Dalam perkembangan lain, Afandi mengumumkan peraturan baru melibatkan perlawanan yang ditangguh ekoran masalah cuaca dan tiada lagi permulaan perlawanan semula selepas menerima surat daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). "Mengikut peraturan ini, jika perlawanan itu tertangguh disebabkan cuaca atau faktor-faktor yang lain, perlawanan itu akan disambung pada keesokkan harinya mengikut baki permainan yang tinggal dengan jaringan yang dibawa pada hari semalam akan kekal. "Kedua-dua pasukan perlu menurunkan pemain yang sama dan kad yang dikutip akan diambil kira bagi menghabiskan jumlah minit yang belum selesai, " katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan