Utusan Online - Kota |
- Kampung 50 tahun tiada air paip
- Mangsa kebakaran perlu pindah ke Bukit Jalil
- JP Klang anjur program masyarakat sempena hari kemerdekaan
Kampung 50 tahun tiada air paip Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Paip yang telah siap dipasang tetapi tiada meter air di Kampung Kemensah Hulu di Hulu Klang, Selangor. - UTUSAN/Rabbani Jamian KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sebanyak 13 keluarga di kawasan setinggan Kampung Kemensah Hulu di Hulu Klang berharap isu ketiadaan bekalan air bersih ke kediaman mereka diselesaikan segera oleh pihak berkenaan. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memasang paip ke rumah mereka di bawah program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) 2011 yang siap pada tahun lalu, namun sehingga kini air paip belum dibekalkan ke rumah mereka dan meter belum dipasang. Penduduk mendakwa, pihak kontraktor yang memasang paip itu memberitahu bahawa sambungan meter hanya boleh dilakukan jika mendapat kelulusan daripada Bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB), Pejabat Daerah Gombak. Ini menyebabkan penduduk terpaksa terus menggunakan air dari bukit berhampiran untuk kegunaan harian mereka, rutin yang mereka ulangi sejak kewujudan penempatan tersebut kira-kira 50 tahun lalu. Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu baru-baru ini mendapati, kesemua rumah penduduk terbabit telah mempunyai paip besi tetapi tiada meter yang menyambungkannya dengan paip komunikasi di dalam rumah. Seorang penduduk, Zaher Abu Bakar, 45, berkata, apa yang diharapkan oleh penduduk adalah untuk mendapatkan bekalan air bersih sahaja. Bayangkan generasi dahulu yang mendiami penempatan ini hingga generasi sekarang hanya menikmati air dari bukit. Setiap kali waktu hujan, keadaan air bertukar menjadi keruh, membuatkan kami bimbang dengan tahap kesihatan kami. Saya menetap di sini sejak kira-kira 22 tahun lalu, bila lagi kami mahu menikmati bekalan air bersih seperti orang lain walaupun kami berstatus penduduk setinggan. Kami telah membangkitkan isu ini dan memohon bekalan air sejak 2008 kepada wakil rakyat di sini. Akhirnya, pihak kementerian berkenaan telah menyediakan paip utama ke sini pada tahun lalu. Pihak kontraktor menyuruh kami tunggu sehingga mendapat kelulusan PLB bagi permohonan pemasangan meter," katanya ketika ditemui. Jirannya, Subki Mad Piah, 48, berkata pihak berwajib perlu segera menyelesaikan isu itu demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk terlibat. Tanah yang kami diami ini merupakan tanah kerajaan. Jika dahulu, kami tidak tahu saluran untuk mengadukan permasalahan ini kerana ketika itu tiada paip air utama disediakan," jelasnya. Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Wak Saimi, 78, juga berharap dapat merasai bekalan air bersih kerana telah berpuluh tahun menggunakan air dari bukit. Pakcik mahu merasai bekalan air bersih. Di sini, telah disediakan bekalan elektrik tetapi bagaimana pula dengan bekalan air? Ia adalah keperluan utama manusia, itu lebih penting," ujarnya. |
Mangsa kebakaran perlu pindah ke Bukit Jalil Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Kamariah Zihin (tiga dari kiri) dan keluarganya ketika melawat mangsa kebakaran Kampung Puah Bahagia yang kini berada di Pusat Komuniti Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kementerian Wilayah Persekutuan berjanji akan menempatkan 42 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Puah Bahagia dan Kampung Chubadak, Sentul di Projek Perumahan Rakyat (PPR) terdekat dengan rumah asal mereka jika terdapat kekosongan. Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, untuk sementara waktu semua mangsa, yang kini ditempatkan di Dewan Komuniti Taman Ibu Kota perlu berpindah ke PPR Bukit Jalil untuk memberi laluan kepada majlis perkahwinan yang akan diadakan di dewan itu esok. "Buat masa ini memang tiada rumah PPR berdekatan yang kosong untuk menempatkan mangsa. Ada pihak tertentu yang cucuk jarum dengan mengatakan masih terdapat kekosongan di PPR Batu Muda. "Sebenarnya itu untuk perpindahan penduduk setinggan yang terlibat dengan projek pelebaran jalan di Jalan Lingkaran Tengah II (JLT11) yang telah dijanjikan oleh kerajaan sejak sekian lama," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran rumah panjang Bandar Baru Sentul di Dewan Komuniti Taman Ibu Kota hari ini. Pada 12 Ogos lalu, sebanyak 37 buah rumah, termasuk dua buah yang dihuni rakyat asing, musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 1250 pagi di Kampung Puah. Kejadian itu berlaku hanya sehari selepas tujuh buah rumah hangus dalam kejadian di Kampung Chubadak yang terletak kira-kira 500 meter dari situ. Sementara itu, rata-rata mangsa kebakaran yang ditemui berterima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak berkaitan kerana bertungkus-lumus membantu mereka. Mereka turut berharap agar dipindahkan semula ke kawasan berdekatan memandangkan tiada kemudahan pengangkutan untuk mereka menjalankan aktiviti harian. Che Senah Che Wil, 57, bagaimanapun berkata, dia menolak untuk dipindahkan ke PPR Bukit Jalil atas sebab kukuh. "Makcik mempunyai masalah kesihatan yang serius dan perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur setiap minggu, dan jika berpindah ke sana (PPR Bukit Jalil) makcik tidak mempunyai kenderaan untuk berulang-alik ke hospital. "Bagaimana pun makcik faham DBKL dan kementerian telah berusaha mencari penempatan untuk kami. Namun buat sementara waktu ini biarlah makcik tinggal di rumah anak sehingga dimaklumkan jika terdapat kekosongan di kawasan sekitar," ujarnya. S. Ravi, 52, pula berkata, dia dan isteri berharap supaya kerajaan menempatkan mereka di kawasan yang lebih dekat. "Anak-anak bersekolah di Sentul, isteri pula bekerja sebagai tukang cuci, dan saya pula mengalami kecederaan di kaki yang memerlukan saya kerap berjumpa dengan doktor. Memang kami akan mempunyai masalah besar jika lama tinggal di PPR Bukit Jalil. "Saya harap pihak berkaitan bantu kami dan cari alternatif untuk menempatkan kami di kawasan berhampiran agar kami dapat menjalankan aktiviti harian dengan selesa," katanya. Dalam pada itu, Tengku Adnan turut memberi sumbangan peribadi sebanyak RM500 kepada 42 keluarga mangsa tersebut. |
JP Klang anjur program masyarakat sempena hari kemerdekaan Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT Johnson Tee (enam dari kanan) bergambar bersama wakil penaja selepas sidang akhbar mengenai tiga program yang akan dijalankan oleh JP Daerah Klang sempena sambutan kemerdekaan negara di Klang, Selangor, semalam. KLANG 16 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Jaksa Pendamai (JP) Daerah Klang akan menganjurkan beberapa program kemasyarakatan sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-56, dengan kerjasama syarikat korporat ACMAR International. Menurut Presiden JP Daerah Klang, Johnson Tee, antara program yang akan diadakan adalah pertandingan badminton, kempen derma darah dan meraikan sambutan hari kemerdekaan yang turut melibatkan Klang Executive Club (KEC) selaku pengelola. "Kesemua program yang bakal diadakan sebenarnya merupakan acara tahunan yang dikelolakan oleh KEC sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka. "Namun tahun ini pihak KEC sudi mengadakan program-program tersebut dengan kerjasama JP Daerah Klang dan ACMAR International," katanya kepada pemberita di pejabat KEC di sini hari ini. Mengulas lanjut Johnson berkata, pertandingan badminton akan diadakan pada 24 dan 25 Ogos ini di dewan badminton Sekolah Sri ACMAR, Bandar Baru Klang dan di KEC sendiri. Katanya lagi, pertandingan tersebut melibatkan remaja bawah 18 tahun dan golongan dewasa dengan bayaran yuran penyertaan masing-masing RM40 dan RM50. "Di samping acara sukan badminton, kami juga akan mengadakan kempen derma darah pada 25 Ogos dari pukul 9 pagi hingga 2 petang di KEC. "Acara terakhir adalah sambutan kemerdekaan pada 30 Ogos bermula pukul 8.30 pagi yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan