Jumaat, 16 Ogos 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Akhirnya Guan Eng hentikan 'drama'

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL dan KASTHURI JEEVENDRAN
pengarang@utusan.com.my

Lim Guan Eng berlalu meninggalkan wartawan yang ingin mendapatkan reaksi beliau sejurus mesyuarat tergempar DAP dipercayai berhubung pemilihan jawatankuasa CEC di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KEPUTUSAN DAP kelmarin yang memutuskan supaya pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti diadakan, dipercayai ada kaitan dengan desakan satu kumpulan dalam parti itu yang tidak menyokong Dinasti Lim.

Kumpulan ini sudah tidak mahu lagi DAP dipergunakan atas kepentingan peribadi. Dan tidak rela imej parti terus tercemar dari hari ke hari, bulan ke bulan.

Lagi pun Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Setiausaha Agung Lim Guan Eng sudah mengakui berlaku kesilapan pengiraan undi dalam pemilihan CEC 15 Disember lalu. Tetapi yang peliknya selama lapan bulan ini masih enggan melakukan pembetulan dan pemilihan semula.

Selain itu, DAP mahu mengelakkan persepsi rakyat terutama penyokong kuat kaum Cina mereka bahawa DAP adalah milik 'syarikat Sdn Bhd' anak beranak Kit Siang.

DAP tidak pernah lupa sejarah bagaimana sekitar akhir 1990-an selepas Guan Eng dipenjara kerana satu kes mahkamah, bapanya, Kit Siang telah menggunakan seluruh parti itu untuk membela nasib dan kebebasan anaknya. Ketika itu, Kit Siang dikatakan telah menguar-uarkan kononnya anaknya itu dipenjara kerana mempertahankan hak seorang gadis.

Dan apabila Kit Siang cuba mempergunakan DAP, ada kumpulan lain dalam parti itu yang tidak puas hati dan kecewa dengan caranya, telah cuba menggulingkan Kit Siang dan kroninya secara 'gerakan bawah tanah'.

Waktu itu DAP berpecah dua dengan Kit Siang terpaksa berdepan dengan kumpulan yang dikenali 'Knock Out Kit Siang (KOKS). Karpal Singh waktu itu berpihak kepada kumpulan Kit Siang.

Berikutan insiden itu, seorang pemimpin DAP, Teoh Teik Huat yang merupakan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan menganggotai kumpulan KOKS dibuang dengan cara kuku besi. Selain itu, jawatankuasa disiplin DAP turut bertindak ke atas pemimpin DAP lain yang tidak puas hati dengan Kit Siang seperti Wee Chee Keong, Gooi Hock Seng dan Teik Huat. Mereka bersama para penyokong masing-masing dipaksa untuk berhenti atau dipecat.

Masa itulah dikatakan bermulanya era Dinasti Lim.

Dan itulah punca mengapa Kit Siang dan Karpal Singh tewas untuk kali pertama masing-masing di kawasan Parlimen Bukit Bendera dan Jelutong pada pilihan raya umum 1999.

Mereka dikatakan dihukum oleh ahli parti dan pengundi berikutan krisis dalaman DAP waktu itu.

Dan terbaharu, malam kelmarin, sejarah seakan-akan berulang apabila penyokong dan akar umbi DAP kembali menolak cara Kit Siang dan Guan Eng yang didakwa mempergunakan parti untuk kepentingan mereka. Mereka tidak mahu agenda DAP menjadi agenda keluarga Kit Siang.

"Malam tadi (kelmarin) juga ada kumpulan yang memaksa Guan Eng mengadakan pemilihan semula CEC. Mereka mengatakan parti akan hancur jika ROS batalkan pendaftaran DAP.

"Mereka mahu Guan Eng hentikan drama ini sebab rakyat dah tahu apa yang DAP buat. Selama lapan bulan ini hanya Kit Siang dan Guan Eng sahaja yang enggan buat pemilihan semula. Kami pelik juga sebab setiap kali sebarang pemilihan diadakan sejak 47 tahun ini, mesti ada kalangan anak beranak mereka di ranking atas," kata seorang pemimpin kanan DAP kepada Utusan Malaysia kelmarin.

Memang, hakikatnya DAP tidak boleh lari daripada mengadakan pemilihan semula CEC. Bukti begitu kuat mengatakan wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian. Antara dakwaan itu adalah DAP gagal memberikan notis kepada 753 anggota delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada pemilihan CEC ketika Kongres Kebangsaan DAP Ke-16 di Pulau Pinang pada 15 Disember itu.

Siasatan ROS dijalankan setelah ahli DAP berterusan mendesak parti itu mengadakan pemilihan semula CEC kerana mendakwa wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian.

Dakwaan lain adalah wujud 547 perwakilan 'haram' yang kebanyakannya dari Pulau Pinang yang telah diarah mengundi enam nama iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Chong Chieng Jin, Anthony Loke Siew Fook dan Vincent Wu Him Ven.

Sebelum itu atau lebih tepat lagi kira-kira tiga minggu selepas pemilihan tersebut berlangsung, DAP mengumumkan terdapat kesilapan teknikal dalam pengiraan undi pemilihan itu. Ekoran kesilapan itu, wakil Melayu, Zairil Khir Johari yang juga Setiausaha Politik Guan Eng berjaya menduduki kedudukan terakhir senarai CEC yang dipilih dengan 803 undi. Zairil yang sebelum itu hanya berada di tempat ke-39 melonjak ke tangga 20 menggantikan Vincent Wu yang sebelum itu berada di tangga keenam selepas undinya tersalah kira sehingga berjumlah 1,202.

Apa yang menimbulkan persoalan adalah kenapa kesilapan itu diumumkan hanya setelah pelbagai pihak menyifatkan parti itu telah menunjukkan wajah sebenar mereka yang cauvinis dan perkauman setelah tiada seorang pun daripada lapan calon Melayu yang bertanding berjaya merebut 20 jawatan CEC.

DAP cukup sedar bahawa mereka tidak boleh terlepas daripada tuduhan tidak telus dan tidak cekap ini.

Sebenarnya, sejak dari awal lagi, Guan Eng membuat kenyataan berdolak-dalik bagi mengelak daripada mengadakan pemilihan semula CEC.

Beliau mengenakan dua syarat jika mahu pemilihan itu diadakan iaitu pertama, ROS perlu mengemukakan alasan munasabah kenapa tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan DAP berhubung pemilihan CEC. Syarat kedua, DAP mahu ROS menyatakan apakah peruntukan yang diguna pakai oleh pertubuhan tersebut dalam mengeluarkan arahannya.

Namun, semua maklum itu cuma retorik Guan Eng. Kelmarin, Karpal akur bahawa DAP terpaksa beralah. Ini demi menyelamatkan parti itu daripada tindakan pembatalan pendaftaran oleh ROS.

Ambil iktibar daripada tragedi yang melanda Mesir

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh Azman Anuar

KRISIS politik di Mesir memuncak pada Rabu lalu apabila kira-kira 2,200 orang maut selepas polis dan tentera menggempur lokasi ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong bekas Presiden Muhammad Mursi di Kaherah. Kekejaman pasukan keselamatan Mesir itu membangkitkan kecaman dan kutukan daripada pemimpin dan masyarakat dunia.

Walaupun jauh beribu kilometer dari Kaherah, tetapi kita dapat melihat kesan dan iktibar apabila rebutan kuasa politik akhirnya boleh memudaratkan kehidupan rakyat.

Paling membimbangkan jika perang saudara antara kumpulan penyokong Mursi dengan pihak anti-Mursi tercetus.

Sentimen balas dendam bakal menjadi faktor utama dalam pergolakan di Mesir selepas ini, mungkin sama dengan apa yang berlaku kepada Iraq dan Syria sekarang.

Dalam situasi ini, bagaimana nasib lebih 3,000 rakyat dan pelajar Malaysia di sana?

Ketika pergolakan menjatuhkan Hosni Mubarak pada 2011, atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Kerajaan Malaysia menyediakan pengangkutan udara untuk membawa pelajar dan rakyat kita pulang ke tanah air. Syukur, hampir semua pelajar kita yang pulang terselamat daripada tindakan perusuh ketika itu.

Kita tidak lupa bagaimana tindakan sesetengah pihak dan suara-suara sumbang daripada kalangan pemimpin pembangkang yang mempertikaikan bantuan kerajaan itu.

Kali ini, jika operasi menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir dilakukan, utamakan mereka yang sedia menerima bantuan sahaja. Jangan dipaksa ahli dan penyokong parti pembangkang yang berada di Mesir untuk turut serta.

Bukalah mata dan fikiran kita seluas-luasnya. Apa yang berlaku di Syria untuk menjatuhkan Presiden Bashar Assad sejak dua tahun lalu menyebabkan rakyat negara itu hilang rasa selamat. Sekarang rakyat Mesir sedang melalui apa yang dirasai oleh rakyat Iraq dan Syria. Keamanan dan kemakmuran negara mereka sudah diragut oleh dua kumpulan yang saling bermusuhan dan berbunuhan.

Apakah yang berlaku di Mesir, Syria, Iraq dan negara Islam lain hendak dibiarkan berlaku di Malaysia? Rusuhan, demonstrasi dan menentang undang-undang negara adalah suasana yang digemari oleh penyokong Anwar Ibrahim dan pakatan pembangkang.

Bersyukurlah kita kerana pasukan polis dan tentera Malaysia tidak sekejam pasukan keselamatan negara lain yang telah kita saksikan cara mereka menyelesaikan penentang kerajaan.

Bersyukur juga kita kerana bermacam-macam strategi dan perhimpunan haram yang diatur oleh hulubalang parti pembangkang berkesudahan dengan kegagalan.

Beberapa kali usaha dan gerakan menghimpunkan ratusan ribu rakyat negara ini seperti yang berlaku di negara Asia Barat tidak berjaya malah ditolak oleh rakyat Malaysia yang mengutamakan keamanan dan kestabilan politik daripada kepentingan peribadi pemimpin pembangkang.

Sungguhpun begitu, puak-puak pembangkang tidak pernah putus asa meracuni pemikiran rakyat. Oleh itu, kerajaan Barisan Nasional yang terus diberi mandat kali ke-13 untuk mentadbir kerajaan Malaysia diharap - jangan berlembut dan terlalu beri muka kepada mana-mana pihak terutama dalam soal keselamatan negara.

Kita yakin, jika dibuat pungutan suara sekalipun, rakyat tidak tergamak untuk bersekongkol meletakkan Malaysia dalam keadaan huru-hara seperti di Mesir atau negara Arab yang bergolak.

Namun ada kegusaran bermain dalam minda rakyat. Selama ini pembunuh paling tinggi di Malaysia antaranya ialah kemalangan maut jalan raya. Tempat itu mungkin diambil alih tidak lama lagi jika kawalan dan pencegahan jenayah pembunuhan tidak dibendung.

Sebelum ini kita cuma tertanya-tanya tentang insiden tembak yang membunuh orang awam di Amerika Syarikat. Tetapi sejak April lalu, kes pembunuhan bagaikan sudah menular ke negara kita pula. Mangsa yang dibunuh pula bukan sahaja berprofil tinggi malah orang biasa seperti guru dan peniaga kecil.

Rakyat amat-amat mengharapkan penyelesaian kes-kes tembak ini dengan segera. Polis kena kuatkan kerja-kerja risikan dan siasatan.

Iktibar daripada tragedi di Mesir dan kes tembak di negara kita, maka kerajaan perlu undang-undang yang lebih tegas untuk menjaga keselamatan diri dan nyawa rakyat Malaysia.

Kerajaan bukan tidak pernah menarik balik undang-undang demi memenuhi kehendak rakyat dan pemimpin pembangkang. Oleh itu, atas faktor utama keselamatan dalam segala aspek maka eloklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) diperkenalkan semula.

Tak usah kerajaan berasa malu kerana bersikap buruk siku. Matlamat utama adalah untuk menyelesaikan krisis jenayah pembunuhan bersenjata api dan membendung jenayah dan gerakan yang menggugat keselamatan awam.

Undang-undang itu sebelum dimansuhkan, bukan bersifat zalim atau disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu. Kita tahu kebaikannya dan kini kita sedar keburukannya apabila ia ditiadakan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved