Utusan Online - Johor |
MDP harap penduduk lebih positif Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Oleh MUHAMMAD ZIKRI PONTIAN 15 Ogos - Cadangan pembangunan sebuah tapak pelupusan sisa pepejal sanitari bernilai RM20 juta perlu diterima secara positif oleh penduduk bagi memastikan daerah ini tidak berhadapan dengan krisis sampah pada masa akan datang. Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunus, tapak cadangan seluas 10.66 hektar di Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja itu akan menggantikan tapak pelupusan sampah sedia ada di Jalan Sawah, Pekan Nanas yang tidak lagi mampu beroperasi dalam tempoh dua tahun dari sekarang. "Ia dijangka dapat menampung kira-kira 160 tan bahan buangan yang diterima dari seluruh Pontian pada masa tersebut. Tapak cadangan pelupusan baru di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara penting memandangkan ketika ini sebanyak 120 tan sampah diterima oleh pusat pelupusan Jalan Sawah. "Kami berharap cadangan ini dapat diterima oleh penduduk memandangkan jumlah sampah yang meningkat pada setiap hari memerlukan sistem pengurusan yang baik ditambah dengan pengunaan teknologi terkini," katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis dialog bersama penduduk kampung mengenai kajian penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari di Balai Raya Kampung Ulu Pulai, di sini semalam. Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar; ADUN Pekan Nanas daripada DAP, Yeo Tung Siong; Perunding Projek Asia Pacific Environmental (ASPEC), Datin Zaharah Mahmud dan Ketua Kampung Ulu Pulai, Abd. Aziz Layong. Tambah Miswan, cadangan tapak pelupusan tersebut tidak akan menjejaskan penduduk berhampiran seperti di Ulu Choh, Kampung Ulu Pulai, Taman Mas Merah, Kampung Batu 26 dan Kampung Jeram Batu. Bagaimanapun, kira-kira 100 penduduk yang menghadiri dialog tersebut menolak cadangan berkenaan kerana bimbang lokasinya yang dirasakan terlalu hampir dengan kawasan kampung sekali gus berisiko menjejaskan kehidupan seharian serta kualiti hidup 1,500 penghuninya. Abd. Aziz menegaskan, penduduk tidak mahu melalui hari-hari yang diselubungi bau sampah walaupun pihak perunding memberi jaminan masalah tersebut tidak berlaku memandangkan tapak tersebut akan beroperasi selama 20 tahun. "Kami akan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi memastikan tapak pelupusan itu tidak dibina berhampiran Kampung Ulu Pulai dan bercadang membawanya kepada pengetahuan Menteri Besar Johor," ujarnya. |
Kempen kesedaran kesihatan Regency-Handal Indah Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Sebahagian daripada kakitangan Regency Specialist Hospital dan Handal Indah bergambar kenangan selepas pelancaran bas kempen kesedaran untuk penduduk Johor Bahru dan Singapura di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 15 Ogos - Hospital Pakar Regency baru-baru ini menjalin kerjasama dengan Handal Indah Sdn. Bhd. untuk melancarkan bas yang dihiasi dengan tema hospital tersebut dengan tujuan meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan yang disediakan di negeri ini dan seberang Tambak Johor. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chin Wei Jia berkata, bas yang diberi nama Regency Specialist Hospital Causeway Link Bus itu dipenuhi dengan imej para doktor, jururawat dan bangunan hospital tersebut dengan elemen warna jingga dan hijau untuk menarik perhatian ramai. "Bermula Ogos, Regency akan terpapar di 10 buah bas yang melalui jalan tempatan Johor Bahru serta ke sebarang tambak di Woodlands. "Kita menyasarkan rakyat tempatan yang bekerja atau tinggal berdekatan pusat bandar serta ratusan penduduk tetap Singapura yang menggunakan Tambak Johor setiap hari," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Menurutnya, moto Your Health, Our Passion yang ditulis di bahagian atas bas dapat menyematkan ingatan orang ramai terhadap Regency, selain menjadi inspirasi kepada kakitangan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit. Sementara itu, Pengurus Operasi dan Pemasaran Handal Indah, Fang Lim berkata, kerjasama dengan Regency adalah salah satu usaha untuk menterjemah maklumat penjagaan kesihatan kepada masyarakat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan