Utusan Online - Selatan |
- 'Saya Ketua Menteri untuk semua'
- Infrastruktur, hartanah perlu dibangunkan
- Melaka MITS Matta 2013 sasar RM20 juta
'Saya Ketua Menteri untuk semua' Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Oleh AMRAN MULUP Idris Haron (tengah) memotong kek pada Majlis Meraikan Genap 100 Hari Dilantik Sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 di pejabat Seri Negeri, Air Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/Azli Ahad MELAKA 15 Ogos - Ketua Menteri, Datuk Idris Haron menafikan beliau hanya mengutamakan orang Melayu sejak memegang tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada 7 Mei lalu. Tegasnya, beliau tidak bersikap rasis terhadap kaum lain sebaliknya orang Cina, India, Chetty, Portugis dan lain-lain tidak pernah diabaikan, sebaliknya diberikan layanan sama rata. ''Dakwaan yang mengatakan saya hanya menjaga kepentingan orang Melayu dan bersikap rasis terhadap kaum lain di negeri ini adalah tidak benar sama sekali. ''Saya adalah Ketua Menteri untuk semua kaum, bukan hanya untuk satu kaum iaitu untuk orang Melayu atau Cina tetapi untuk semua kaum termasuk India, Portugis, Chetty dan sebagainya," katanya pada Majlis Meraikan Genap 100 Hari Dilantik Sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 Menggantikan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini. Pada majlis serba ringkas itu, beliau memotong kek yang disumbangkan kakitangan Jabatan Ketua Menteri. Yang turut hadir Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Datuk Latipah Omar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar. Mengulas mengenai genap 100 hari beliau menjadi Ketua Menteri, Idris berkata, beliau mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak yang tidak sangsi dengan kepimpinannya. ''Signifikannya genap 100 hari saya menjadi Ketua Menteri ialah untuk melihat saya berjaya melepasi tahap ini dengan sempurna. ''Alhamdulillah, dari hari pertama mengangkat sumpah seterusnya melantik Exco kemudian mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri serta agensi, menguruskan masa serta berdepan isu seperti Jonker Walk dan sebagainya," katanya. Beliau berkata, sokongan padu daripada ahli mesyuarat kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan serta agensi lain banyak membantunya melaksanakan pentadbiran negeri tanpa sebarang masalah. ''Kalau nak diikutkan siapa Idris, berapa lama dia main politik, tetapi hari ini sudah duduk sebagai Ketua Menteri dan kerusi Perhubungan UMNO negeri tetapi ini adalah sokongan daripada abang dan kakak saya seperti Ahmad (Hamzah), Othman (Mohamad), Latipah (Omar) dan ramai lagi," katanya. Justeru, beliau mengharapkan sokongan padu daripada semua pihak termasuk rakyat untuk mengemudi Melaka ke mercu yang lebih tinggi pada masa akan datang. |
Infrastruktur, hartanah perlu dibangunkan Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT SEREMBAN 15 Ogos - Merancang pembangunan infrastruktur turut sama penting supaya ia tidak menyekat sebarang usaha pembangunan hartanah yang kini sedang rancak dalam pembinaan. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha yang komited itu tidak boleh dibuat sambil lewa kerana kedua-dua pembangunan itu hendaklah jalan seiring. "Kalau kita tidak rancang dengan betul pembangunan infrastruktur ini, ia akan menjejaskan minat pemaju atau pelabur untuk membangunkan hartanah dan kilang mereka. Ia perlulah ada akses jalan raya yang baik," katanya di sini hari ini. Tambah Mohamad, hal itu perlukan ketelitian dan kesungguhan merancang, kerana ia adalah aset jangka masa panjang, yang bukan sahaja menyaksikan pembangunan sekitarnya tetapi turut menempatkan kawasan perumahan baharu di pesisirnya. "Sebab itu dalam waktu terdekat ini, kerajaan akan menyambung beberapa fasa lagi projek Jalan Lingkaran Tengah Seremban (MRRS), di mana ketika ini sedang dalam pembangunan melibatkan beberapa kawasan di Labu. "Kita juga telah di peringkat akhir dan bersetuju untuk membina satu lebuh raya baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)-Seremban dan disambung ke Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas). "Selain itu juga, beberapa lagi jajaran jalan baharu juga akan dibina iaitu menghubungkan Seremban-Sendayan-LBJ-KLIA," katanya. Justeru beliau optimis, dengan pembukaan jalan baharu itu kelak, Seremban akan menerima limpahan pembangunan dalam sebuah kawasan Lembah Klang yang besar. "Ini akan memuncakkan lagi ekonomi negeri ini pada angka yang lebih selesa selepas merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2012 sebanyak 6.2 peratus," ujarnya. Dalam masa yang sama, Mohamad akan meneruskan semua usaha mensejahterakan rakyat dan ia bukanlah projek yang boleh terhenti walaupun sedetik. "Jika kita hentikan projek mensejahterakan rakyat ini, ia akan memusnahkan masa hadapan baik mereka. Ini akan dibuat berterusan, tanpa mengira tempoh 100 hari atau selebihnya. Ia adalah kerja yang patut dibuat setiap hari dan setiap detik waktu," katanya. |
Melaka MITS Matta 2013 sasar RM20 juta Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT MELAKA 15 Ogos - Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan perolehan sebanyak RM20 juta menerusi pameran Melaka MITS Matta Fair 2013 Ke-10 yang bermula 23 Ogos ini. Timbalan Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad berkata, sasaran itu dapat dicapai berikutan kedatangan 40,000 pengunjung yang dijangka hadir pada pameran yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini. Menurutnya, pada pameran yang sama tahun lalu hasil jualan yang diperoleh daripada pameran tersebut sebanyak RM12 juta. "Objektif utama Melaka MITS Matta Fair 2013 adalah untuk menyediakan platform bagi 50 pempamer dari dalam dan luar negara termasuk organisasi pelancongan mempromosikan pakej serta produk masing-masing. "Pameran kali ini mendapat sokongan penuh pelbagai pihak termasuk pengendali kapal persiaran, taman tema, pengusaha hotel, bank, syarikat insurans dan telekomunikasi," katanya dalam sidang akhbar sempena pameran Melaka Mits Matta Fair 2013 di bilik Mesyuarat Rumah Media Melaka, Ayer Keroh dekat sini, hari ini. Hadir sama Pengarah Tourism Melaysia Melaka, Jefri Munir; Pengerusi MATTA Melaka, Amanda Yau dan Penasihat MATTA Melaka, Goh Hock Jin. Menurut Ghazale, pameran yang akan berlangsung selama tiga hari itu akan dihadiri Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ketua Menteri, Datuk Idris Haron. "Daripada 150 gerai pameran yang mengambil bahagian, 16 daripadanya merupakan gerai jualan milik Tourism Malaysia serta beberapa organisasi luar negara antaranya Macau Tourisme Office, Korea Tourisme Authority dan Taiwan Tourisme Bereau KL," katanya. Beliau menambah, pameran tersebut secara tidak langsung juga mampu mempromosi negeri Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan terunggul di rantau Asia. Sementara itu, Amanda berkata, berikutan kejayaan pameran Matta sebelum ini, penganjur juga semakin terdorong untuk memperbanyakkan lagi aktiviti bagi meningkatkan jualannya pada kali ini. "Pihak penganjur dan pempamer yang mengambil bahagian akan menawarkan pelbagai tawaran hebat termasuk aktiviti menarik sebagai tarikan kepada pengunjung. "Antaranya ialah hadiah cabutan bertuah berupa pakej penerbangan ke Eropah, kuiz pelancongan dan pertandingan mewarna yang terbuka kepada semua pengunjung sama ada mereka membeli pakej ataupun sekadar mengunjungi pameran," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan