Jumaat, 16 Ogos 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Suri rumah dituduh dera amah

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
pengarang@utusan.com.my

CHAI Eng Fong didakwa atas pertuduhan mendera pembantu rumah warga Indonesia, Maria Roberta Sian (gambar kecil) di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, semalam.

PETALING JAYA 16 Ogos - Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan memukul serta menyimbah air panas terhadap mangsa ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, Khamis lalu.

Chai Eng Fong, 40, turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu memperdagangkan seorang wanita berusia berusia 30 tahun bagi maksud eksploitasi sebagai buruh paksa dengan cara menggunakan kekerasan dan paksaan.

Ibu kepada empat anak yang berusia antara 10 dan 17 tahun itu mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Eng Fong didakwa dengan niat mendatangkan cedera parah terhadap Maria Roberta Sian dengan memukul dan menyimbah air panas sehingga menyebabkan kecederaan di muka, kepala, telinga, kedua-dua payu dara, belakang badan serta paha.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di rumah tertuduh di No. 5, Jalan U5/84, Subang Bestari, Shah Alam, dekat sini kira-kira pukul 7 petang, 8 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap mangsa, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai baju-T berwarna merah jambu dan berseluar jeans pendek dilihat tenang sepanjang prosiding. Hanya suami tertuduh dilihat hadir di galeri awam mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah yang mengendalikan pendakwaan pada mulanya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh tetapi sekiranya mahkamah cenderung membenarkannya, beliau mencadangkan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau memberitahu, jumlah tersebut tidak membebankan tertuduh kerana keluarga wanita itu mempunyai perniagaan besi.

Zhafran Rahim juga memohon agar tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Peguam T. H. Goh yang mewakili Eng Fong pula memohon agar jumlah tersebut dikurangkan dengan mengambil kira syarat tambahan yang dikemukakan oleh pendakwaan.

Hakim Rozina Ayob kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Beliau juga memerintah tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sebagai syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 September ini.

Peguam Rosal Azimin Hamad hadir selaku peguam pemerhati bagi pihak Kedutaan Indonesia.

Memetik laporan akhbar, mangsa bertindak melarikan diri dari rumah majikannya di Subang Bestari, dekat sini pada 8 Ogos lalu selepas menjadi mangsa dera sejak lapan bulan yang lalu.

Mangsa kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 7 malam pada hari yang sama dengan bantuan orang awam.

Pembantu rumah itu yang mengalami luka, lebam dan kesan parut di seluruh badan mendakwa majikan wanitanya itu memukulnya dengan menggunakan tangan, kaki dan objek seperti berus lantai.

Menurut mangsa, majikannya itu memukulnya kerana tidak berpuas hati dengan cara dia menjalankan kerja rumah.

Pemandu teksi suspek kes tembak mati pengasas AmBank didakwa

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Susulan kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AmBank), Hussain Ahmad Najadi bulan lalu, seorang pemandu teksi yang dipercayai membawa suspek meninggalkan tempat kejadian itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki pistol dan peluru tanpa lesen.

Chew Siang Chee, 45, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Lelaki itu yang berpakaian kemeja putih dan berseluar hitam didakwa memiliki sepucuk pistol Walther Model PPK/S Cal.9 mm Kurz/380 ACP bersama satu magazine Walther Cal.9 mm Kurz yang menyalahi undang-undang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Siang Chee didakwa memiliki empat butir peluru hidup jenis 9mm (short)(S&B 9mm) tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 8(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di B-15-12 Kondominium Desa Cindaimas, Jalan Sekutu Persimpangan Jalan Kuchai Lama, Brickfields di sini pada pukul 5.45 petang, 3 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 tidak membolehkan tertuduh diikat jamin.

Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Ogos ini.

Sebaik sahaja selesai prosiding, tertuduh yang diwakili peguam bela Vincent Tey dilihat memeluk anak lelaki dan isterinya sebelum dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Dalam kejadian yang berlaku pada 29 Julai lalu itu, Hussain, 75, mati manakala isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera parah apabila mereka ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di sini.

Hussain terkena dua das tembakan di dada dan mati di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta paha kanan.

Menurut laporan akhbar, pihak polis masih mengesan suspek bernama Kong Swee Kuan, 44, atau lebih dikenali sebagai Sei Ngan Chai atau Ah Chian yang dipercayai masih berada di ibu negara walaupun serbuan ke atas rumahnya dua minggu lalu mendapati dia telah menghilangkan diri.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved