Utusan Online - Selatan |
- Patuhi peraturan Arab Saudi
- Banyakkan bersabar ketika di tanah suci
- Kibar Jalur Gemilang sebagai tanda syukur
Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM IDRIS Haron (tengah) menerima cenderamata daripada Abdul Shukor Husin selepas merasmikan Kursus Perdana Haji peringkat negeri di Masjid Saidina Abu Bakar UTeM di Melaka, kelmarin. MELAKA 25 Ogos - Bakal jemaah haji diingatkan mengawal emosi ketika berada di Tanah Suci dan mengikut segala peraturan yang ditetapkan pihak Tabung Haji dan undang-undang Arab Saudi bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini. Ketua Menteri, Datuk Ir. Idris Haron berkata, ketika di Tanah Suci, para jemaah akan berdepan pelbagai ragam dan gelagat manusia dari seluruh negara dan ada ketikanya boleh berlaku konflik akibat pertembungan budaya dan cara hidup yang berbeza. Menurutnya, bagi mengelak perkara tidak diingini, jemaah haji perlu tabah dan berusaha mengawal emosi mereka serta meletakkan ibadat sebagai keutamaan melebihi urusan lain ketika mengerjakan ibadat haji. "Macam-macam boleh berlaku di sana (Mekah) jadi saya nasihatkan setiap jemaah haji agar kuat mengawal emosi, patuh segala undang-undang yang ditetapkan kerajaan negara berkenaan dan yang penting selalu berkomunikasi dengan Lembaga Tabung Haji. "Untuk mendapatkan haji yang mabrur semestinya akan berdepan dengan ujian daripada Allah, selagi para jemaah pasang niat untuk mengerjakan ibadat di samping mendengar nasihat pihak Tabung Haji saya pasti semua akan berjalan dengan lancar," katanya. Beliau berucap merasmikan Kursus Perdana Haji peringkat negeri di Masjid Saidina Abu Bakar, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini semalam. Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md. Amin dan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan. Sebanyak 677 bakal jemaah haji dari negeri ini terpilih mengikuti kursus berkenaan yang diadakan selama dua hari berakhir hari ini. Dalam majlis itu, Idris turut merakamkan ucapan tahniah kepada bakal jemaah haji yang ditawarkan untuk menunaikan ibadat berkenaan pada tahun ini. "Saya ingatkan kepada semua agar menjaga kesihatan masing-masing dan memberikan tumpuan penuh kepada kursus perdana anjuran Lembaga Tabung Haji ini dan berharap semuanya memperoleh haji mabrur," katanya. |
Banyakkan bersabar ketika di tanah suci Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT MOHAMAD Hasan (tengah) bersalaman dengan bakal jemaah haji pada Majlis Penutup Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri di Dewan Politeknik Nilai, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. SEREMBAN 25 Ogos - Para jemaah haji di negeri ini yang bakal menunaikan ibadat berkenaan pada musim ini disaran menumpukan kepada pelaksanaan ibadat itu selain berdisiplin dengan mengikut peraturan ditetapkan. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, selaku tetamu Allah SWT ke Tanah Suci, jemaah haji tidak sepatutnya mengkritik secara semberono keupayaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dalam menguruskan mereka sepanjang beberapa hari di sana. "Apa yang saya dapat lihat pengurusan Tabung Haji kali ini bertambah baik dan melihat kepada persiapan yang dilakukan tidak ada perkara yang harus diumpat keji oleh jemaah haji sejak beberapa tahun lalu berbanding dengan negara lain. "Malah, kerajaan Arab Saudi melihat pengurusan jemaah haji yang dikelolakan oleh Tabung Haji adalah yang terbaik sekali di dunia dan tidak hairanlah jika Malaysia terus diberikan lebihan kuota sebelum ini dari apa yang sepatutnya," katanya. Mohamad berucap dalam Majlis Penutup Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri di Dewan Politeknik Nilai, dekat sini hari ini. Sebanyak 839 orang jemaah haji di negeri ini menyertai kursus yang dijalankan dengan penerbangan awal dijadualkan bermula pada 7 September ini. Mohamad turut menasihati jemaah haji menjaga nama baik negara dan sentiasa berdisiplin serta mendengar arahan Tabung Haji sewaktu berada di Mekah mahupun Madinah. "Dengar betul-betul arahan, ikut kumpulan. Banyakkan bersabar dengan ketentuan Allah SWT. Apabila sampai di tanah suci, berdoalah juga untuk keamanan negara dan mohon diberkati Allah SWT," ujarnya. Beliau juga menasihatkan jemaah haji tidak membawa wang yang banyak kerana boleh dikeluarkan di pejabat Tabung Haji di Mekah. |
Kibar Jalur Gemilang sebagai tanda syukur Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT LATIFF Tamby Chik (empat dari kanan) melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri 2013 peringkat negeri di pekarangan pasar raya Mydin, Jasin, Melaka, semalam. JASIN 25 Ogos - Rakyat diseru mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan ini sebagai tanda bersyukur di atas kemakmuran dan keamanan negara yang dikecapi sehingga hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, Jalur Gemilang yang menjadi simbol negara berdaulat harus dikibarkan dengan penuh rasa bangga sebagai bukti penghargaan seluruh rakyat terhadap perjuangan menuntut kemerdekaan negara ini. Menurutnya, ketika banyak negara lain sedang menghadapi peperangan dan penindasan, rakyat negara ini hidup dalam suasana yang sejahtera. "Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa syukur dan bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmoni, aman dan sejahtera. "Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak-ansur dalam menjalin hubungan dan perpaduan kaum," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Semarak Merdeka dan Pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri 2013 peringkat negeri, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Zainudin Ismail dan Timbalan Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau, Datuk Ghazale Muhamad. Latiff berkata, kunci keamanan yang dikecapi negara hari ini adalah perpaduan kaum dan bukan pencapaian yang mudah tanpa usaha berterusan oleh kerajaan dalam memenuhi kehendak dan keperluan semua kaum di negara ini. Beliau berkata, sehubungan itu, rakyat seharusnya melihat kembali sejarah kemerdekaan negara dan perjuangan pemimpin negara terdahulu hingga masa ini supaya semangat patriotisme dalam diri masing-masing dapat disuburkan dan dizahirkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga. "Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya, kerana itu perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa dan maruah menjadi taruhan," katanya. Sementara itu, Latiff berkata Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri 2013 akan menjelajah seluruh negeri selama tiga hari bermula hari ini bagi mengedarkan Jalur Gemilang serta menyebarkan mesej perpaduan, keamanan dan semangat patriotisme kepada masyarakat. Selain itu, katanya, konvoi juga akan berkunjung ke sebanyak 63 buah rumah penduduk kurang bernasib baik untuk disampaikan bantuan dan sumbangan daripada peserta konvoi yang terdiri daripada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan