Utusan Online - Jenayah |
Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT Oleh HAKIMI ISMAIL AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersalaman dengan Eni Faleomavaega (kiri) sambil disaksikan Jamaludin Jarjis di pejabatnya, di Putrajaya, semalam. - BERNAMA PUTRAJAYA 26 Ogos - Kementerian Dalam Negeri akan mendedahkan kesemua nama kumpulan kongsi gelap di negara ini termasuk jenis jenayah yang dilakukan bagi membolehkan masyarakat menilai setiap pertubuhan yang disertai. Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bertujuan membuktikan keseriusan polis dalam membanteras kumpulan kongsi gelap yang dipercayai memonopoli kegiatan jenayah di negara ini. Beliau berkata, kementerian kini dalam proses melakukan pewartaan terhadap nama-nama pertubuhan kongsi gelap dan meminta masyarakat terus memberi kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan. "Kementerian akan dedahkan senarai kumpulan kongsi gelap melalui media massa dalam tempoh terdekat. Ini adalah langkah terbaik bagi membolehkan masyarakat mengetahui setiap pertubuhan haram yang terdapat di negara ini. "Usaha pihak polis yang bersungguh-sungguh membanteras kumpulan kongsi gelap perlu disokong semua pihak dan dalam hal ini masyarakat memainkan peranan dan perlu bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ahli Kongres Amerika Syarikat, Eni Faleomavaega di pejabatnya, di sini hari ini. Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis. Mengulas mengenai Op Cantas Khas, Ahmad Zahid berkata, operasi yang dilakukan di seluruh negara menunjukkan keberkesanan selepas seminggu dilancarkan selepas berjaya menahan suspek bagi membendung kegiatan jenayah khususnya berkaitan aktiviti kongsi gelap. "Sebelum ini ramai beranggapan Op Cantas Khas hanya dilakukan di Pulau Pinang selepas lima ahli kongsi gelap ditembak mati di negeri tersebut baru-baru ini. "Kita sentiasa berwaspada dan Op Cantas Khas ini dilaksana di semua negeri bagi membendung kegiatan jenayah," katanya. Katanya, polis juga sedang memberi perhatian khusus terhadap gejala kongsi gelap di sekitar Lembah Kelang. "Kita mempunyai rekod terdapat bekas tahanan Simpang Renggam dan Ordinan Darurat (EO) kini berada di beberapa kawasan panas di Lembah Klang, jadi polis akan mengambil langkah proaktif untuk sentiasa berwaspada dalam hal ini," katanya. Dalam pada itu, mengulas kelulusan pemasangan peranti pengawasan elektronik (EMD) ke atas penjenayah tertentu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Ahmad Zahid berkata, langkah tersebut amat tepat dalam menjamin ketenteraman awam di negara ini. "Kita tidak akan menggadaikan nasib masyarakat di negara ini hanya kerana 10,000 individu yang melakukan jenayah, tiada isu mengenai hak asasi manusia dalam hal ini tetapi adalah untuk keselamatan," katanya. |
Op Cantas: JSJN catat 1,911 tangkapan Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT Noor Rashid Ibrahim KUALA LUMPUR 26 Ogos - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mencatatkan kejayaan beberapa tangkapan dan rampasan dalam Op Cantas Khas yang dilancarkan jabatan itu di seluruh negara bermula pada Jumaat lalu. Pengarahnya, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sepanjang dua hari operasi itu dilakukan sebanyak 1,911 tangkapan dibuat termasuk 30 tangkapan melibatkan ahli kongsi gelap yang bergiat aktif di Pulau Pinang, Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Kedah. "Menerusi tangkapan itu, sebanyak 1,772 kes telah dibuka kertas siasatan, malah kami turut berpuas hati apabila beberapa ahli Geng 04, Geng 08, Geng 555, Geng Raj dan Geng 18 berjaya ditangkap kerana terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah. "Sepanjang dua hari operasi, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai puluhan ribu ringgit melalui serbuan serta sekatan jalan raya yang dijalankan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. Menurut beliau, kesemua tangkapan membabitkan suspek berusia antara 25 hingga awal 30-an. Noor Rashid berkata, pasukan khas di bawah JSJN akan terus melakukan beberapa lagi serbuan dan tangkapan dengan memberi fokus kepada sasaran yang telah dikenal pasti khususnya melibatkan kumpulan kongsi gelap yang kini dilihat semakin berani bergiat aktif melakukan jenayah. "Sejak Januari hingga Julai, polis merampas dadah pelbagai jenis yang bernilai RM185.71 juta di mana dadah jenis heroin dan syabu mencatatkan nilai rampasan tertinggi sekali gus melumpuhkan 12 sindiket pengedaran dadah terbesar di dalam negara. "Pihak kami turut menyita RM56.69 juta aset dan harta yang dimiliki daripada aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan oleh beberapa kumpulan yang bergiat aktif dalam kegiatan tersebut," katanya. Beliau menjelaskan, kebanyakan sindiket pengedaran dadah di negara ini turut dikaitkan dengan pemilikan senjata api secara haram. JSJN tambah Noor Rashid, turut merampas sebanyak 18 pucuk pistol, 734 butir peluru hidup, selaras pump gun dan sebutir bom tangan dalam serbuan dan sekatan jalan raya di seluruh negara sejak awal tahun ini. Sepanjang tempoh itu juga kata beliau, polis turut membongkar 22 makmal memproses dadah yang beroperasi secara aktif di Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Johor. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan