Isnin, 26 Ogos 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Isu hak milik diselesaikan

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Johari Abdul Ghani (kiri) bersama Astaman Abdul Aziz (dua, kiri) melihat pelan cadangan pembangunan Kampung Baru memberi penerangan kepada sebahagian penduduk Kampung Baru pada Taklimat Khas Pembangunan Hartanah Kampung Baru di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) yakin usaha membangunkan Kampung Baru dapat direalisasikan walaupun75 peratus kes masalah pewaris tanah yang berkait dengan hukum Faraid masih timbul.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Naharudin Abdullah berkata, bagi memastikan isu hak milik ini selesai perbadanan telah menawarkan khidmat perundangan tanpa kos yang tinggi kepada pewaris.

Menurutnya, isu hak milik juga adalah antara perkara yang menyebabkan pembangunan Kampung Baru gagal dilaksanakan.

Masih ada pewaris yang patut mempunyai nama tetapi tiada, oleh kerana itu kita perlu menyelesaikan isu ini terlebih dahulu supaya usaha membangunkan Kampung Baru berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada sesi Taklimat Khas Pembangunan Hartanah Kepada Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Hujung Pasir, Kampung Baru di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Pengerusi PKB, Datuk Astaman Abdul Aziz bersama-sama kira-kira 250 pemilik dan pewaris tanah Kampung Hujung Pasir.

Menurut Naharudin, secara keseluruhannya hampir 80 peratus daripada pemilik dan pewaris terbabit memberikan respons positif dalam usaha berkenaan.

Apa yang menjadi isu adalah bagaimana untuk membangunkan Kampung Baru.

Pelan induk draf pertama mengenai pembangunan tersebut dijangka siap pada akhir Oktober ini. Selain itu, sesi pendengaran awam akan dibuat bagi mendapatkan pandangan mereka sebelum pindaan dilaksanakan dan selesai sepenuhnya April tahun hadapan," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru agar tidak menjual tanah mereka sebelum ia dibangunkan

Beliau menambah, terdapat empat buah kampung lagi yang akan terlibat dalam sesi taklimat tersebut dan akan selesai pada hujung tahun ini.

Dalam perkembangan sama, beberapa pemilik dan pewaris tanah menyambut baik berhubung konsep pembangunan tersebut yang akan dilaksanakan kelak.

Wakil penduduk, Shaharuddin Nordin, 65, berkata, sebagai anak Kampung Baru, dia amat bersyukur dan cukup bertuah dengan usaha pembangunan tersebut di samping pihak kerajaan tidak mengetepikan hak mereka.

Pembangunan yang mereka cadangkan memang bagus, selain pakej yang menarik iaitu sekurang-kurangnya kita mendapat satu unit kondominium dan memiliki manfaat seperti dividen atau pulangan berpanjangan selain memberi hasil kepada generasi baharu," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Nor Hasan, 58, menyifatkan pihak PKB perlu mengambil kira segala kemahuan dan membantu menyelesaikan permasalahan para penduduk.

Tawaran yang dikemukakan oleh PKB amat bagus. Kekalkan sentimen Melayu supaya boleh berniaga dan tinggal di sini selain generasi baharu boleh kembali ke Kampung Baru," ujarnya.

Fira 2013: PSA Robust beri saingan hebat

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Hadi Khalid (kanan) bersama ahli pasukannya menguji kebolehan robot mereka menyepak bola dalam Pertandingan Fira Roboworld Cup and Congress 2013 yang berlangsung di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam. - Utusan/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM 25 Ogos - Pasukan PSA Robust daripada Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) yakin dapat menguasai empat daripada lapan tugasan dalam kategori Humanoid Robot pada pertandingan 18th Fira Roboworld Cup and Congress (Fira) 2013 yang bermula esok.

Dengan mempertaruhkan dua robotnya iaitu PSA Robust A dan PSA Robust B, pasukan ini yakin mendahului lebih 40 pasukan dalam tugasan larian pecut, sepakan penalti, marathon dan memanjat tangga dalam pertandingan itu yang berlangsung di PSA di sini.

Menurut Pengurus PSA Robust, Hadi Khalid, 33, walaupun bakal berhadapan dengan juara bertahan antaranya Kanada bagi tugasan marathon dan Singapura (larian pecut), pasukannya yakin dapat memberikan saingan hebat sekaligus mengintai peluang menjadi juara.

Ini kerana ujar beliau, pasukannya yang terbahagi kepada dua kumpulan itu telah menguji dua robot yang dipertandingkan dan setakat ini mereka mempunyai catatan masa terbaik yang menjadi pengukur untuk memenangi pertandingan ini.

Pasukan kami yang mempunyai 35 ahli terdiri daripada pensyarah dan pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PSA telah melakukan penyelidikan yang berterusan sebagai persiapan untuk pertandingan ini sejak awal tahun lagi.

Sepanjang tempoh itu, kita telah menguji robot yang dipertandingkan dan yakin catatan masa untuk tugasan larian pecut, sepakan penalti, maraton dan memanjat tangga adalah yang terbaik setakat ini," katanya ketika ditemui di PSA di sini petang ini.

Beliau dan dua ahli pasukannya, Mohd. Faizul Ramli, 21, dan N.Sugan, 20, turut menunjukkan demonstrasi PSA Robust A melakukan sepakan penalti dan menaiki tangga.

Tambah Hadi yang juga pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PSA, beliau gembira kerana sambutan Fira 2013 adalah di luar jangkaan apabila 90 pasukan telah mengesahkan penyertaan sehingga pukul 5 petang ini.

Ujar beliau, mereka terdiri daripada 40 pasukan antarabangsa dan 50 pasukan tempatan yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar politeknik serta universiti awam dan swasta di negara ini.

Pertandingan Fira telah diadakan setiap tahun sejak 1997 dan Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah kali pertama pada tahun ini dengan PSA sebagai tempat pertandingan berlangsung.

Fira 2013 ini dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Politeknik, kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Malaysia Society of Engineering and Technology (MySET).

Terdapat lima kategori dipertandingkan iaitu Humanoid Robot, Micro Robot, Android Soccer Tournament, Robo Soccer Tournament dan Simulation Robo Soccer Tournament.

Selain pertandingan, turut diadakan di PSA sempena Fira 2013 ialah pameran robotik yang disertai Malaysia dan Korea. Orang ramai boleh menyaksikan pertandingan dan pameran bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang esok sehingga 29 Ogos ini.

Fiesta Raya UiTM hidupkan nilai Melayu

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Sahol Hamid Abu Bakar (dua, kiri) disambut mesra para petugas sempena kunjungannya ke majlis Fiesta Raya UiTM yang diadakan di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSANN/Siti Rohaizah Zainal

SHAH ALAM 25 Ogos - Fiesta Raya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bertemakan Melayu Nusantara dilihat mampu menghidupkan kembali suasana budaya Melayu.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Alfina Bakar berkata, Fiesta Raya merupakan majlis tahunan dan pemilihan tema Melayu Nusantara adalah bertujuan untuk menghidupkan semula budaya melayu terutama dari segi kebudayaan sekitar abad 30-an.

Beliau berkata, pendedahan mengenai kebudayaan Melayu seperti adat resam kepada generasi masa kini dilihat kian mula diabaikan.

Kita memilih Melayu Nusantara supaya mampu memberi maklumat mengenai budaya Melayu daripada semua aspek seperti silat, tarian dan makanan tradisi seperti kuih muih yang tidak pernah dilihat oleh generasi masa kini.

Melalui Fiesta Raya juga, sebanyak 40 buah gerai makanan dibuka oleh setiap fakulti dan jabatan di UiTM yang mana setiap gerai direka khas mengikut tema Melayu Nusantara dan mampu menonjolkan reka bentuk atau budaya Melayu pada zaman dahulu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Menurut Alfina, Fiesta Raya juga dilihat dapat mengeratkan hubungan antara pendidik dan penuntut serta mereka sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Kita menjemput semua warga UiTM termasuk penuntut antarabangsa untuk menjamu makanan tradisi dan melihat sendiri keharmonian pelbagai budaya Melayu," katanya.

Kita juga mengadakan cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir. Dalam program tersebut, Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur dinobatkan sebagai pemenang gerai terbaik," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved