Isnin, 26 Ogos 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bukan perlawanan 'kalah mati'

Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT

SALAH satu tumpuan utama dalam pemilihan UMNO kali ini ialah pemilihan di peringkat Pergerakan Pemuda UMNO. Sudah menjadi kebiasaan, perebutan jawatan dalam sayap UMNO itu sering mendapat perhatian.

Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia ZULKIFLEE BAKAR, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN yang sudah lama bergelumang dalam sayap tersebut memberikan pandangan beliau.

UTUSAN : Bagaimanakah Datuk Seri melihat pemilihan sayap Pemuda UMNO kali ini?

REEZAL MERICAN: Saya berpendapat, pemilihan kepimpinan Pemuda di pelbagai peringkat kali ini akan menjadi satu yang menarik dan dinamik. Yang nyata, Pemuda mesti menjadi nadi kepada usaha transformasi.

Saya cuma mengharapkan pemilihan kali ini dapat dilaksanakan dalam keadaan yang tenang, penuh semangat setiakawan dan tidak saling menjatuh dan mengaibkan kawan-kawan yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti. Jangan kita anggap pemilihan ini sebagai perlawanan kalah mati, yang akan membenam nasib politik kawan-kawan dalam Pemuda. Saya pernah bertanding dan pernah kalah pun. Tapi selepas pemilihan, kita kembali kepada saf yang sama. Bernakhodakan ketua dan naib yang sama. Kalau prinsip ini dapat kita hargai, insya-Allah Pemuda akan tampil lebih utuh dan kuat.

Apakah kriteria yang harus menjadi panduan kepada ahli-ahli Pemuda dalam membuat keputusan?

Ahli-ahli Pemuda di pelbagai peringkat, perlu mencari kalangan pemimpin yang efektif, setia, istiqamah, berpengalaman dan mempunyai modal sosial untuk mendekati golongan muda. Apa yang dimaksudkan dengan modal sosial ini - pemimpin yang kita cari mestilah serba boleh. Holistik. Dia bukan sahaja sebagai Ketua Pemuda Cawangan, malah mungkin aktif di dalam Persatuan Ibubapa & Guru (PIBG), aktif dengan persatuan belia, menjadi jawatankuasa masjid dan surau dan sebagainya. Jika kita punya kayu ukur ini, kita akan mempunyai pemimpin Pemuda yang bukan sahaja ada pengaruh dalam parti, tapi akrab dengan rakyat.

Sama juga keadaannya di peringkat bahagian dan pusat. Kita mesti memilih pemimpin yang mencapai KPI yang jelas. Jika beliau seorang Ketua Pemuda Negeri - apakah beliau seorang pemimpin yang efektif. Apa pencapaian dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu? Yang penting bukan jumlah program yang dilaksanakan; tetapi apakah keberhasilan politik, dividen politik - yang diperolehi daripada program itu..Itu lebih perlu dinilai oleh ahli Pemuda. Sudah tentu, dalam konteks politik, keputusan PRU lalu perlu menjadi tunjang kepada sistem nilaian kepada kriteria kepimpinan.

Secara jujur bagaimana Datuk Seri melihat kedudukan Pemuda UMNO hari ini yang dianggap perlu memainkan peranan paling penting bagi menarik perhatian pengundi muda menyokong BN?

Secara jujur juga saya katakan, PRU13 memberikan kita semangat baru untuk mendekati pengundi, khususnya pengundi muda Melayu. Berdasarkan keputusan PRU yang lepas, Pemuda mencatatkan peratusan sokongan pengundi muda Melayu yang sangat baik. Johor misalnya, mencatatkan peratusan sokongan pengundi muda Melayu hampir 72 %. Melaka (64%), Negeri Sembilan (62.6%), Pahang (56.7%), Perak (56.2%) dan Pulau Pinang (52.6%). Secara purata, di peringkat nasional, kita mencatatkan peratusan sokongan 54.3%. Asas pendekatan politik kita terbukti betul dan mampu menarik minat dan sokongan pengundi muda Melayu.

Ini semua berlaku dalam suasana politik yang sangat menduga. Pembangkang benar-benar fokus kepada pengundi muda. Malahan pendekatan populis mereka memang ditujukan untuk menarik sokongan pengundi muda. Mansuh PTPTN. Turun harga kereta. Mansuh tol. Ini semua cubaan menarik minat pengundi muda. Namun, pengundi muda Melayu - masih setia bersama UMNO dan Barisan Nasional.

Dalam konteks BN, saya terpaksa mengakui bahawa dugaan sebenar adalah kepada rakan-rakan Pemuda dalam komponen. Mereka berhadapan dengan tugas yang amat sukar. Keperluan membuat political turnaround dengan peratusan sokongan pengundi muda berbangsa Cina serendah 5% (Kuala Lumpur) dan 7.5 % (Selangor), sebagai misal, memerlukan pendekatan drastik. Ini bentuk cabaran yang perlu dipikul sama oleh barisan kepimpinan Pemuda nanti.

Secara kebetulan, parti komponen juga akan melakukan pemilihan - dan kita harap pasca pemilihan nanti kita mampu membariskan kalangan pemimpin terbaik di dalam Pemuda BN. Set kepimpinan Pemuda BN yang baru, sangat penting dalam berhadapan dengan ranjau dan cabaran PRU14.

Jawatan Ketua Pemuda sering menjadi tumpuan, apakah Datuk Seri rasa perlu ada perubahan?

Saya bertemu ramai rakan-rakan di seluruh negara sepanjang meraikan Aidilfitri ini - dan maklum balas umum yang saya terima, kebanyakan mereka berpendapat Khairy Jamaludin wajar diberikan mandat penuh menerajui Pemuda untuk penggal yang akan datang ini. Kebanyakan mereka membangkitkan soal prestasi kepimpinan yang baik, keberhasilan politik (political outcomes) yang dijelmakan oleh kepimpinan beliau sepanjang penggal lalu.

Kelebihan Khairy adalah kemampuannya menarik minat dan kecenderungan kumpulan neutral untuk memahami agenda besar UMNO dan BN. Hujahnya jelas dan appealing kepada generasi muda, bukan sahaja dalam UMNO, tetapi mereka yang tidak menganggotai mana-mana parti politik.

Ini dibuktikan dengan kemampuan beliau memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan majoriti yang jauh meningkat. Malahan, ketika mana kita berhadapan dengan tsunami di tempat-tempat lain, Parlimen Rembau mencatatkan peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu. Model Politik Parlimen Rembau' ini perlu kita teliti dan perhalusi.

Bagaimana pula dengan kriteria untuk jawatan Naib Ketua?

Pemuda memerlukan seorang Naib Ketua yang mampu berfikir, bergerak dan bertindak seiring dengan kelajuan Ketua Pemuda yang ada. Jika Khairy diberikan mandat sebagai Ketua Pemuda, sudah barang tentu beliau memerlukan seorang naib yang mampu menggalas amanah untuk memastikan Pemuda berada di dalam keadaan yang terbaik. Seluruh kesungguhan tenaga, kekuatan pemikiran, kudrat kepimpinan diperlukan untuk membantu Ketua Pemuda memimpin jentera yang kuat ini.

Seorang Naib Ketua, pada pandangan saya, mestilah juga berada di dalam lingkungan umur yang dekat kepada generasi muda. Jangan ukur pada umur sekarang. Ukur umur mereka sewaktu PRU14 dilangsungkan nanti. Jika pada ketika ini mereka berumur 40 tahun; menjelang PRU14, mereka sudah menjangkau umur 45 tahun. Apakah mereka masih mampu memahami pandangan dan perspektif mereka yang berumur lingkungan 20-29 tahun misalnya? Apakah mereka bercakap dalam bahasa yang sama dengan pengundi muda pada waktu itu?

Selain itu, ahli juga perlu menilai pencapaian KPI politik mereka yang menawarkan diri. Saya bangkitkan tadi, bukan jumlah program yang dilaksana - namun kesan dan impak politik itulah yang lebih perlu dinilai sebaiknya. Saya fikir, daripada sudut pengalaman, mereka yang menawarkan diri, pastinya mempunyai pengalaman politik yang tersendiri. Pencapaian dan prestasi politik itulah yang perlu lebih dinilai.

Apa bidang tumpuan yang perlu diberikan fokus oleh Pemuda selepas daripada pemilihan ini?

Tidak dapat tidak, pelbagai isu, keinginan, aspirasi generasi muda mesti disantuni dengan bersungguh-sungguh. Pemuda perlu lihat pelbagai segmen dan rencam kumpulan generasi muda yang ada di luar sana. Pendekatan mesti menyeluruh. Dalam masa yang sama, isu-isu seperti kos sara hidup, perumahan, latihan, pendidikan, peluang kerjaya, usahaniaga, kemiskinan bandar - perlu juga dilihat secara teliti.

Jika ada satu bidang tumpuan dalaman yang mampu saya cadangkan, lihat semula proses perkaderan dan latihan kepimpinan di dalam Pemuda. Aspek ini mesti diberikan pengukuhan. Akademi Pemuda mesti diberikan nafas dan kesungguhan baru. Khairy pernah mengumumkan tentang penubuhan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) - dan pada saya ini langkah yang sangat tepat.

Najib dalam ucapan di Perhimpunan Agung UMNO 2011, bercakap mengenai membina jatidiri orang UMNO. Tiga perwatakan yang Presiden jelaskan - taat setia, cinta dan kasih kepada perjuangan parti dan sanggup berkorban. Pada saya, ciri-ciri dan karakter ini mesti disemai benihkan di kalangan ahli Pemuda pelbagai peringkat. Kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang kesetiaannya kita ragui, kasihnya kepada parti kita khuatiri dan pengorbanannya belum terbukti.

Pemuda UMNO perlu bergerak dengan penuh rasa yakin - tetapi bukan sombong. Kerja dan tugas kita tidak berakhir dengan PRU13. Gelombang PRU14 mungkin lebih menduga. Saf mesti diperkemas. Jatidiri mesti diperkukuh. Istiqamah perlu ada.

Menghayati erti kemerdekaan dengan jiwa kenegaraan

Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT

DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

MERDEKA laungan keramat yang kita dengar apabila setiap kali tibanya 31 Ogos. Namun kalau sekadar melaungkan merdeka beberapa kali adakah cukup membuktikan kita memahami erti kemerdekaan sebenar? Jika hanya meletakkan bendera Malaysia di kereta, di rumah dan di mana-mana sahaja menjelang 31 Ogos, adakah situasi ini cukup membuktikan kita bersemangat patriotik?

Isu menterbalikkan bendera Malaysia, bendera dijadikan sebagai pakaian, merosakkan lirik lagu Negaraku, tidak menghormati lagu Negaraku semasa dinyanyikan, di mana sebenarnya jati diri anak-anak Malaysia?

Anak-anak muda hari ini kurang menghayati erti kemerdekaan kerana dilahirkan dalam era baharu dengan semuanya serba canggih dengan teknologi terkini. Dengan erti kata lain, tidak pernah mengalami kesusahan dan keperitan seperti yang pernah dialami datuk dan nenek moyang kita yang jauh di sanubari mereka mencintai Malaysia sepenuh jiwa dan raga.

Seorang warga Indonesia yang ditemui memberitahu, di negaranya semasa menyambut Hari Kemerdekaan adalah berbeza di Malaysia. Semua yang hadir hanya diberi makan ubi kayu dengan merasai suasana sambutan yang diadakan seolah-olah mereka berada di zaman penjajahan kerana pemimpin mahu mereka menjiwai suasana itu sendiri. Inilah yang kurangnya pada anak-anak Malaysia sebab lahir sahaja semua kemewahan telah berada di depan mata.

Remaja kini dikatakan kurang mengenali tokoh-tokoh yang berjasa dan yang telah banyak menabur bakti kepada negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong. Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja yang sepatutnya menjadikan tokoh-tokoh tersebut sebagai idola.

Seorang graduan yang dilahirkan perlu cintakan negara begitu juga rakyatnya dan saya bersetuju supaya subjek Kenegaraan Malaysia menjadi subjek wajib dan diketengahkan untuk mendedahkan kepada anak-anak kita erti kemerdekaan dan menghargai negara. Seronok belajar sejarah kerana sejarahlah membawa kita mengenal kehidupan.

Keprihatinan ini ditunjukkan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang bertitah meminta supaya kerajaan segera memperkenalkan subjek Kenegaraan bertujuan mendidik anak bangsa mengenai Perlembagaan dan melahirkan warganegara Malaysia yang memahami aspek perpaduan dan permuafakatan.

Dalam titah baginda dalam Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013, bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional, di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan baru-baru ini, baginda menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, kanak-kanak perlu diasuh melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol negara seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau dijadikan pakaian.

'' Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati hendaklah segera diperkenalkan tanpa bertangguh dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah maktab perguruan, kolej serta institusi latihan dan diuji dalam urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam,'' titah baginda penuh amanat menyuntik semangat jiwa patriotisme yang tinggi.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan perlu dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotisme. Aktiviti-aktiviti yang bersemangat patriotisme yang harus diterapkan sepenuhnya dalam kalangan pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati.

Media masa, sama ada media cetak, elektronik atau media baharu semuanya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kehidupan manusia sangat besar sehinggakan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen dan komputer.

Sehubungan itu, media masa wajar dijadikan alternatif paling berkesan bagi menyemai semangat patriotisme. Filem-filem bercorak patriotisme perlu diberi keutamaan seperti filem Sarjan Hassan, Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Hati Malaya, Paloh dan Embun.

Kita menanti perkembangan terkini pembikinan filem bertajuk Kanang Anak Langkau sebagai mengenang jasa mendiang Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dan menjadikan contoh kepada para pegawai dan anggota tentera lain. Filem Tanda Putera pula mewujudkan pelbagai spekulasi. Rasanya, penonton-penonton filem di Malaysia sudah semakin matang dan mampu menilai mesej ikhlas dari filem berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan mereka yang menonton wayang tiga hari sebelum dan selepas 31 Ogos 2013 akan bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku sebelum tayangan filem di pawagam dan mungkin diteruskan hingga Hari Malaysia 16 September jika diluluskan nanti.

Penghayatan dalam lagu, puisi, sajak dan syair berkaitan dengan patriotisme bagi menyemai semangat cintakan negara perlu ada dalam diri anak muda. Ada segelintir remaja yang tidak memahami puisi, ketawa dan berjenaka semasa sesi mendeklamasikan sajak. Dan sedihnya, melihat situasi apabila pelajar-pelajar yang menyanyikan lagu Negaraku dengan lirik yang salah dan tidak berdiri tegak. Ibu bapa harus menjadi tunjang utama keluarga dan mengambil peranan dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan remaja khususnya cabaran ibu bapa yang masih muda.

Sajikan cerita-cerita rakyat yang berunsurkan sejarah untuk anak-anak mengenali warisan dan budaya. Semasa bercuti, bawalah mereka ke tempat-tempat bersejarah yang menarik di Malaysia. Bukankah - "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung"? Selamat Menyambut Hari Kebangsaan. Salam 1Hati.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved