Utusan Online - Agrobiz |
Posted: 25 Aug 2013 11:13 PM PDT Aplikasi bioteknologi (kriobiologi) dan genetik turut diberi perhatian dalam usaha menghasilkan serta penyimpanan baka-baka ikan yang terbaik PUSAT tersebut bukan sahaja menumpukan perhatian kepada bidang penternakan, malah mempelopori ke semua aspek penyelidikan serta penemuan dalam teknologi perikanan air tawar. Institut itu bermula pada 21 Ogos 1957 di Batu Berendam, Melaka semasa pemerintahan British dan dikenali sebagai Institut Penyelidikan Kultur Ikan Tropika (TFCRI). TFCRI yang kini dikenali sebagai FRI dipindahkan ke negeri yang terkenal dengan budaya Adat Pepatih itu berikutan pusat tersebut memerlukan kawasan yang lebih luas untuk tujuan kesinambungan penyelidikan perikanan darat dan akuakultur air tawar. Menurut Ketua Pusat FRI Glami Lemi, Jamaludin Ibrahim, pusat tersebut berpindah ke Jelebu, Negeri Sembilan pada penghujung tahun 2005. "Tugas kami di sini adalah untuk menyampaikan maklumat asas saintifik bagi pembangunan akuakultur air tawar serta eksploitasi mapan terhadap pemuliharaan sumber akuatik daratan Malaysia," katanya. Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat berkenaan FRI Glami Lemi kepada sekumpulan media yang mengikuti program Kembara Media Perikanan 2013 anjuran Jabatan Perikanan baru-baru ini. Jelas Jamaludin, pusat tersebut turut membangunkan teknologi pembiakan, asuhan serta penternakan bagi spesies bernilai komersial untuk pasaran domestik dan eksport. "Spesies ikan air tawar komersial yang dikaji adalah tilapia, keli, patin dan juga udang galah serta beberapa spesies ikan eksotik yang bernilai tinggi (ekonomi)," katanya. Dalam pada itu, FRI Glami Lemi turut membangunkan pelbagai teknologi pembiakan, asuhan dan penternakan bagi spesies ikan air tawar (sungai) yang berpotensi untuk akuakultur. Antara spesies ikan air tawar (sungai) yang diberi perhatian adalah patin tempatan (patin buah), tengalan, lampam sungai, kerai dan kelah. Pusat tersebut turut melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkenaan pembangunan teknologi penternakan berasaskan kolam, sangkar dan teknologi tinggi seperti RAS (recirculating aquaculture system). Aplikasi bioteknologi (kriobiologi) dan genetik turut diberi perhatian dalam usaha menghasilkan serta penyimpanan baka-baka ikan yang terbaik. Malah, penyelidikan di FRI itu juga meliputi usaha mencari sumber protein alternatif berasaskan bahan buangan daripada pihak industri seperti DDGs (Dried Distillers Grains with Solubles), usus ayam, hampas isirung kelapa sawit dan isi perut ikan. Terkini, FRI Glami Lemi sedang menjalankan kajian berkenaan aplikasi biokomposit nano-hibrid dalam pembangunan integrasi sangkar akuakultur melalui proses dorongan radiasi. Objektif kajian tersebut dilaksanakan adalah bagi membangunkan keupayaan tempatan bagi menghasilkan sistem sangkar akuakultur berprestasi tinggi menggunakan biokomposit dan teknologi pemprosesan sinaran. Dalam pada itu, FRI Glami Lemi berjaya menambah baik genetik ikan tilapia merah melalui proses kacukan ikan tilapia Malaysia dan Thailand. Hasilnya, Malaysia mampu mengeluarkan ikan tilapia merah yang cepat membesar, memiliki bentuk badan yang baik serta peratus daging yang lebih tinggi. Antara pencapaian lain adalah kejayaan pembiakan ikan makan, penternakan makanan hidup (Daphnia dan Moina), perumusan makanan (makanan berasaskan usus ayam) dan poultry offal meal sebagai sumber gantian kepada tepung ikan. Di sana, mesin mini membuat pelet ikan serta sistem ternakan modular padat dan ternakan ikan tanpa buangan untuk ikan tilapia juga turut dibangunkan. Pusat itu tidak hanya tertumpu kepada bidang ternakan ikan untuk dimakan sahaja malah turut melaksanakan beberapa kajian berkenaan ikan hiasan dan tumbuhan akuatik. Kajian ikan hiasan turut meliputi pembiakan spesies ikan tempatan yang endemik serta yang diancam kepupusan seperti ikan di tanah gambut, seluang, ikan pelaga serta propagasi secara kultur tisu dan aplikasi bioteknologi untuk spesies tumbuhan akuatik. Sehingga kini, FRI Glami Lemi telah berjaya mengeluarkan pelbagai benih ikan arowana dan ikan pelaga dan tumbuhan akuatik seperti Anubias sp., Cryptocoryne lucens dan Bacopa monniera. Ikan kelisa atau Scleropages formosus merupakan antara ikan yang sukar untuk dikenal pasti jantinanya semasa di peringkat juvenil. Namun, kajian menerusi kaedah pengukuran paras hormon oleh FRI Glami Lemi berjaya membezakan antara ikan betina dan jantan dengan lebih spesifik. Di peringkat juvenil jantina ikan arowana sukar untuk dibezakan melalui bentuk morfologinya, justeru penggunaan teknik biosensor untuk mengukur paras antibodi dan hormon pembiakan ikan tersebut merupakan kaedah pengenalan jantina yang terbaik. Ini kerana kelisa merupakan ikan hiasan bernilai tinggi, justeru nilai pasaran bagi ikan kelisa betina adalah lebih tinggi kerana induk ikan betina dapat menghasilkan anak yang berpotensi untuk dipasarkan. Ikan temoleh pula merupakan antara ikan yang dikaji di FRI tersebut untuk tujuan pemuliharaan bagi mengekalkan spesies itu daripada ancaman kepupusan. Sehingga kini, taburan ikan temoleh di habitat asalnya seperti di sekitar sungai Pahang dan Tasik Kenyir, Terengganu dapat dipulihkan sedikit demi sedikit sejak tahun 1996. - ASHRIQ FAHMY AHMAD |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan