Utusan Online - Pahang |
- Waspada komen dalam internet
- Misteri bekalan elektrik terputus terjawab
- Jengka Sentral di Bandar Tun Abdul Razak beroperasi Oktober ini
Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT Oleh SALEHUDIN MAT RASAD Norazman Othman (dua dari kiri) memberi duit raya kepada kanak-kanak dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri JPM di Bangunan Gunasama Temerloh, Pahang, baru-baru ini. TEMERLOH 26 Ogos - Penjawat awam diminta berhati-hati dalam membuat sebarang komen berkaitan dasar kerajaan di laman sosial kerana boleh menjejaskan integriti serta nama baik perkhidmatan awam. Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Borhan Dollah berkata, kemunculan laman sosial seperti Facebook dan Twitter digunakan segelintir golongan itu untuk membuat komen memburukkan jabatan atau agensi kerajaan. Menurutnya, JPM menerima aduan dan maklum balas mengenai pembabitan sebilangan mereka yang memberi komen negatif dan bertentangan dengan dasar kerajaan. Selaku penjawat awam, mereka wajib memelihara integriti ketika menggunakan media sosial kerana apa diluahkan itu boleh dibaca di seluruh dunia. Oleh itu, sebarang masalah atau apa juga rasa tidak puas hari perlu diselesaikan di peringkat jabatan dan tidak perlu membuka pekung di dada untuk tatapan orang luar," katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Bahagian Pengurusan Hartanah JPM di Bangunan Gunasama Persekutuan Temerloh, di sini kelmarin. Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah JPM, Norazman Othman. Borhan berkata, golongan itu perlu menjaga nama baik jabatan serta agensi kerajaan dan mengikut peraturan yang ditetapkan di samping mengelak memberi komen negatif dalam laman sosial terbabit . Dalam pada itu, katanya, majlis tersebut diadakan bukan sahaja untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga merapatkan hubungan dalam kalangan kakitangan awam Bahagian berkenaan. Katanya, cara itu memberi peluang kepada mereka mengemukakan masalah atau pendapat kepada pegawai kanan yang hadir dalam majlis tersebut. Semua permintaan atau masalah yang dikemukakan akan diberi tindakan serius oleh jabatan masing-masing selagi tidak bertentangan dasar kerajaan," katanya. |
Misteri bekalan elektrik terputus terjawab Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT Roslan Abu Kassim menunjukkan kawasan kabel elektrik yang terputus dan sudah dibaiki pihak TNB di Bukit Dedari, Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini. - utusan/HARIS FADILAH AHMAD JERANTUT 26 Ogos - Kejadian bekalan elektrik terputus di lima kampung di Hulu Tembeling di sini, sejak Selasa lalu terjawab apabila sebatang pokok balak yang ditebang secara haram tumbang lalu menghempap kabel utama elektrik di Bukit Dedari, Kuala Tahan dekat sini. Keadaan itu menyebabkan lebih 5,000 penduduk terputus bekalan elektrik melibatkan Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling. Mereka kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh masuk hutan Bukit Dedari sehingga kerap kali mengundang risiko terputus bekalan elektrik berikutan pembalakan haram di situ. Pengurus Persona Village Resort Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim, 40, berkata, perbuatan pihak terlibat menyebabkan ekosistem hutan, sungai dan kawasan tadahan air di hutan Bukit Dedari terjejas. "Apa yang saya kesalkan kegiatan pembalakan haram itu memberi impak landskap hutan bertukar menjadi gondol sehingga pokok ditebang menghempap kabel elektrik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Tahan di sini kelmarin. Penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 42, berkata, jika kegiatan itu tidak dibendung akan menjejaskan sektor pelancongan di sekitar Kuala Tahan. "Penduduk di sini berharap pihak berwajib lebih peka dan menguatkuasakan undang-undang supaya kegiatan itu wajar dihentikan dengan segera," katanya. Dalam pada itu, Pengurus Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jerantut, Redzuan Zainal Abidin berkata, selepas menerima aduan penduduk, pihaknya segera ke lokasi kejadian untuk membaik pulih bekalan elektrik di situ. "Kita terpaksa mengambil masa membaiki kerosakan memandangkan kabel berkenaan terletak di kawasan hutan tebal," ujarnya. Katanya, penduduk di Hulu Tembeling sudah menerima semula bekalan elektrik sepenuhnya pada pukul 3.05 petang kelmarin. |
Jengka Sentral di Bandar Tun Abdul Razak beroperasi Oktober ini Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT MARAN 26 Ogos - Projek Terminal Pengangkutan Bersepadu Jengka Sentral bernilai RM10 juta di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini, dijangka beroperasi pada Oktober ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, ketika ini kontraktor utama melakukan kerja-kerja terakhir sebelum menyerahkan kepada kerajaan bagi memulakan operasi terminal tersebut. Menurutnya, projek itu yang bermula 1 Ogos 2011 merupakan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan sebuah terminal pengangkutan bersepadu sempena sambutan Hari Peneroka pada 7 Julai tahun sama. "Terminal itu akan menjadi mercu tanda baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka sekali gus meningkatkan imej dan menjadi satu kebanggaan warga peneroka di sini," katanya kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Wisma Peneroka, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan ADUN Jenderak, Datuk Mohamad Jaafar. Wan Salman berkata, stesen bas dan teksi yang beroperasi sementara bandar tersebut akan ditutup sebaik sahaja Jengka Sentral beroperasi sepenuhnya. Menurutnya, pemilihan peniaga di terminal itu juga akan memberi tumpuan kepada penduduk tempatan dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah Maran. Selain itu, beliau memberitahu, satu lagi projek yang dalam pembinaan di bandar tersebut ialah kompleks sukan yang menempatkan stadium bola sepak Felda bernilai RM87.9 juta dan dijangka siap pada 2015. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan