Isnin, 26 Ogos 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Ibu dera anak didakwa membunuh

Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT

Chong Mee Chin

IPOH 26 Ogos - Ibu kepada seorang kanak-kanak malang berusia lima tahun yang dipercayai didera secara kejam, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh anak perempuannya itu.

Pendakwaan terhadap Chong Mee Chin, 30, dibuat berikutan mangsa, Ho Yan Hui yang sebelum ini berada dalam keadaan koma selama 11 hari, menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira pukul 2.40 petang semalam.

Mee Chin yang berambut panjang paras bahu dilihat hanya mengangguk-angguk kepala tanda memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa dalam bahasa Kantonis.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Mee Chin yang memakai baju lokap hijau ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Haslinda A. Raof kira-kira pukul 3.30 petang.

Mee Chin yang tidak diwakili peguam bela didakwa membunuh Yan Hui kira-kira pukul 9 pagi, 12 Ogos lalu di ruang tamu rumah nombor 19, Laluan Kledang Utara 7, Taman Wang, Menglembu di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amril Johari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohd. Amril memohon satu tarikh sebutan ditetapkan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan laporan bedah siasat dan perubatan mangsa.

Haslinda kemudian menetapkan 25 Oktober depan untuk sebutan semula kes itu.

Pada 20 Ogos lalu, Mee Chin yang merupakan seorang suri rumah turut didakwa di Mahkamah Majistret atas dua tuduhan melakukan penganiayaan dan penderaan terhadap anak perempuannya itu.

Wanita tersebut didakwa melakukan penganiayaan ke atas anaknya itu dengan cara memukul kepala dan seluruh badannya menggunakan sebatang rotan serta dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas mangsa di ruang tamu rumah mereka.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kedua-dua tuduhan tersebut.

Mee Chin juga diperintahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan dekat sini selama sebulan sehingga tarikh sebutan kes itu yang ditetapkan pada 20 September ini.

Sebutan kes dadah Benjy 11 September

Posted: 26 Aug 2013 12:00 PM PDT

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini menetapkan 11 September ini sebutan kes terhadap pelakon Benjy dan lima rakannya yang didakwa memiliki dadah, Jun lalu.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan peguam P.G. Cyril dan Farhan Read yang masing-masing memohon untuk menarik diri daripada mewakili tiga tertuduh kes itu.

Cyril menarik diri daripada mewakili pasangan suami isteri, Asmanizam Mohamed Akhir, 32, dan Norazila Arzami, 27, manakala Farhan menarik diri daripada mewakili Imran Radzi Ibrahim, 32.

Terdahulu, Cyril memberitahu mahkamah, penarikan diri itu atas alasan mereka tidak mendapat arahan lanjut daripada anak guam masing-masing.

Bagaimanapun, Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 34, masih diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Zain Amir Zainal Khairi, 37, dan Afifi Hamidi, 27, diwakili oleh Farhan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved