Utusan Online - Utara |
- Persiapan Deepavali musnah
- 1,200 keluarga kaum India di Baling terima bantuan
- Abang sulung tabah jaga tiga adik kurang upaya
Posted: Persiapan Deepavali musnahOleh A. MALEK ASLIEutusanperak@utusan.com.my SHAM Mat Sahat menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan Deepavali kepada S. Krishnansamy di Kampung Soon Lee, Bagan Serai, Perak, baru-baru ini. BAGAN SERAI 16 Okt. - Keceriaan sebuah keluarga untuk menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi bertukar duka apabila rumah mereka di Kampung Soon Lee, dekat sini musnah dalam kebakaran. Dalam kejadian pukul 3 petang Selasa lalu itu, rumah yang didiami keluarga S. Krishnansamy sejak lebih 20 tahun lalu musnah dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM80,000. Krishnansamy, 50, memberitahu, kejadian itu disedari seorang cucunya yang melihat api di bahagian hadapan rumah sebelum memaklumkan kepada isterinya, P. Muniamah, 48, yang berada di dapur. "Duit simpanan kira-kira RM30,000 yang sepatutnya digunakan untuk sambutan Deepavali turut musnah, tidak sangka kejadian malang ini berlaku ketika kami mula sibuk menjalankan persediaan meraikan Deepavali," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini. Menurut Krishnansamy, rumah itu didudukinya bersama Muniamah dan anak mereka, Lachumi, 32, serta tiga cucu yang berusia antara empat dan 15 tahun. Dia yang bekerja di sebuah ladang di sini memberitahu, keluarganya baru sahaja selesai menjalankan kerja-kerja menggantikan bumbung rumah tersebut yang menelan kos kira-kira RM20,000. Nasib keluarga malang itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat yang menghulurkan sumbangan peribadi selain bantuan Tabung Bencana Alam Daerah Kerian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Penghulu Mukim Bagan Serai. Dalam lawatan ke tempat kejadian, Sham turut menghulurkan bantuan berupa peralatan dapur, tilam dan katil kepada keluarga tersebut selain sumbangan makanan dari JKM dan wang tunai RM1,000 daripada Tabung Bencana Alam Daerah Kerian. Sham berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) supaya keluarga itu diberi bantuan bagi membina semula rumah mereka itu. Full content generated by Get Full RSS. |
1,200 keluarga kaum India di Baling terima bantuan Posted: 1,200 keluarga kaum India di Baling terima bantuanBALING 16 Okt. - Sambutan Deepavali bagi 1,200 keluarga kaum India seluruh kawasan Parlimen Baling menjadi lebih bermakna kali ini apabila mereka menerima pelbagai sumbangan sempena perayaan berkenaan. Sumbangan berupa barangan keperluan dapur meliputi beras, gula, minyak, susu dan rempah-ratus itu diagihkan kepada keluarga terbabit oleh Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, semalam. Abdul Azeez berkata, sumbangan itu sebagai penghargaan dan juga usaha meringankan beban mereka yang bakal menyambut Deepavali tidak lama lagi. Katanya, sumbangan itu disampaikan kepada mereka yang tinggal di kawasan kampung dan taman perumahan tanpa mengambil kira fahaman politik. "Kita telah mengagihkan sumbangan makanan kepada 1,200 keluarga kaum India untuk sambutan Deepavali bagi Parlimen Baling ini," katanya. Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling berkata, sumbangan itu adalah satu lagi tanda bahawa semangat 1Malaysia akan terus menjadi sandaran pihaknya dalam menghargai rakyat tanpa mengambil kira batasan dan fahaman asalkan mereka rakyat negara ini. Semalam, Abdul Azeez meneruskan usaha menghantar sumbangan tersebut dari rumah ke rumah sehingga pukul 12 tengah malam tadi. Tambahnya, sumbangan yang menjadi program tahunan itu diberikan kepada kaum India dan akan diteruskan lagi untuk kaum lain pada masa akan datang. "Apa yang penting setiap sumbangan yang diberikan itu dapat mengurangkan beban yang ditanggung setiap keluarga yang susah dan sama-sama bergembira pada perayaan itu nanti," ujarnya. Antara yang mendapat manfaat termasuk penduduk di Ladang Kupang Sungai Tawar, Taman Desa Bidara, Ladang Banedoch, Ladang Pelam dan beberapa yang kesemuanya melibatkan kaum India. Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Baling, Mohd. Khairul Azhar Abdullah, Penyelaras DUN Kupang, Ishak Mat dan Ketua Puteri UMNO, Suriati Che Mid serta pemimpin masyarakat India. Full content generated by Get Full RSS. |
Abang sulung tabah jaga tiga adik kurang upaya Posted: Abang sulung tabah jaga tiga adik kurang upayaNORAZMAN Ramli (kanan) melihat keadaan Saiful Izaham yang menderita sakit sejak dilahirkan sambil diperhatikan abangnya, Shahrul Nizam di rumah mereka di kampung Siput Bongor, Baling, semalam. BALING 16 Okt. - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu situasi yang dihadapi seorang tukang cat kenderaan, Shahrul Nizam Abd. Rahman, 31, yang tabah menjaga empat adiknya termasuk berstatus orang kurang upaya. Adiknya, Saiful Izaham, 30, terlantar sejak dilahirkan manakala Safuan, 22, dan Sofian, 20, terlantar sejak bulan lalu setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya. Mohd. Aliff, 15, pula baru menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong di sini. Walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan, Shahrul Nizam berkata, sebagai abang sulung, dia bertanggungjawab menjaga adikadiknya itu selepas kematian ibu bapa mereka. Katanya, itu merupakan wasiat arwah ibunya, Sharifah Mohd. Khozali yang menghembuskan nafas terakhir pada April lalu. "Saya terpaksa bekerja kuat untuk menjaga adik yang terlantar kerana semua urusan harian terpaksa diuruskan sendiri," katanya yang sudah berkahwin dengan Zuraida Mohammad, 26, dan dikurniakan tiga cahaya mata, Norhusna, 8, Alisya, 2, dan Nur Ain, tiga bulan. Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siput Mukim Siong di sini baru-baru ini, Shahrul Nizam berkata, pendapatannya mengecat kereta adalah tidak menentu dan ia bergantung kepada pelanggan yang datang ke rumahnya untuk mendapatkan perkhidmatan itu. "Dengan pendapatan itulah saya membeli makanan untuk keluarga, wang persekolahan dan ubat untuk Saiful Izaham. Memang tidak dinafikan, kadang-kadang saya terpaksa mengikat perut demi adik-adik yang memerlukan perhatian," katanya. Dia memberitahu, Sofian terlantar di atas katil setelah terbabit dalam kemalangan bulan lalu di Jalan Bongor di sini, yang menyebabkan tangan dan dagunya patah. Tambahnya, dia turut bingung memikirkan cara mencari sumber kewangan untuk membiayai rawatan lanjut Sofian yang memerlukan kos tinggi. Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Baling, Norazman Ramli berkata, pihaknya menghulurkan sedikit bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Shahrul Nizam. "Kita turut menghantar barang makanan dan tilam bagi membolehkan adiknya berasa selesa," katanya. Menurut beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan bantuan RM300 sebulan kepada Saiful Izaham bagi menyediakan lampin pakai buang dan juga ubat-ubatan. Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Bank Islam Cawangan Baling (BIMB) atas nama Shahrul Nizam Abd. Rahman di nombor 02-048-02- 033562-1. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan