Utusan Online - Pahang |
Posted: Memperkasa sukan di sekolahOleh M.RIZAL NOR SEBAHAGIAN peserta Kem Satu Murid Satu Sukan (1M1S) menunjukkan tanda 1Malaysia selepas tamat menjalani program tersebut di Air Tenang Resort, Janda Baik, Bentong, baru-baru ini. BENTONG 17 Okt. - Satu ketika dahulu sukan merupakan aktiviti yang penting bukan hanya untuk kokurikulum dalam sekolah bahkan program kemasyarakatan. Namun sejak kebelakangan ini, aktiviti sukan di kalangan pelajar sekolah semakin berkurangan kerana segelintir mereka terlalu memberi perhatian kepada akademik sehingga kurang cenderung untuk bersukan. Melihat situasi itu, Kementerian Pelajaran menjalankan program transformasi pendidikan menerusi Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) yang akan berkuat kuasa sepenuhnya nanti. Perkara itu mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menyatakan dasar 1M1S akan mendapat sokongan ibu bapa bagi usaha membentuk modal insan yang holistik. Ketika merasmikan Program Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan di Kolej Matrikulasi Kedah awal tahun ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu untuk tingkatkan prestasi pelajar bukan hanya dari segi akademik tetapi juga kokurikulum. Dasar yang mendapat reaksi positif warga pendidikan itu bertujuan mengembalikan kegemilangan sukan ke peringkat sekolah. Melalui penglibatan dalam bidang sukan, negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai semangat untuk bertanding dan bersaing secara sihat. Justeru, itu, seramai 224 murid dan pelajar menyertai Kem 1M1S anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jerantut di Air Tenang Resort Janda Baik di sini pada 6 hingga 8 Oktober lalu. Program selama tiga hari itu melibatkan 128 pelajar sekolah menengah dan 96 murid sekolah rendah dari seluruh daerah tersebut. Penyelia Unit Sukan PPD Jerantut, Mohd. Supian Mohd. Kasim berkata, semua peserta dipilih oleh pihak sekolah masing-masing melibatkan empat murid sekolah rendah dan lapan pelajar sekolah menengah. "Program itu diadakan selama tiga hari dan peserta didedahkan dengan setiap jenis sukan, organisasi kelab dan pengubahsuaian permainan oleh guru yang bertindak sebagai jurulatih," katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis penutup program tersebut baru-baru ini. Mohd. Supian berkata, semua peserta dari sekolah rendah dan menengah digabungkan mengikut kumpulan masing-masing agar mereka dapat berkenalan dan berkomunikasi dengan baik. Menurutnya, aktiviti pertama yang dijalankan adalah Pengenalan Pengurusan Kelab iaitu pendedahan kepada peserta mengenai organisasi sesebuah kelab sukan serta fungsi setiap pelajar berdasarkan jawatan yang disandang oleh mereka. "Selepas mendengar ceramah daripada jurulatih, semua peserta kemudian membuat latihan dalam kumpulan bagi membentuk satu organisasi lengkap berdasarkan kelab sukan dipilih dan seterusnya membuat pembentangan kepada ahli kumpulan lain," ujarnya. Kata Mohd. Supian lagi, peserta kemudiannya diberi penerangan mengenai asas permainan terutama bagi sukan bola sepak, badminton, bola jaring, sepaktakraw dan hoki. Tambahnya, mereka juga diberi peluang bermain semua jenis permainan tersebut secara bergilir-gilir agar mereka mendapat pengetahuan serta kemahiran yang akan digunakan apabila kembali ke sekolah nanti. Jelasnya, pada masa yang sama pihaknya turut memberi penerangan mengenai asas pemakanan serta kecederaan dalam sukan. Beliau berharap para peserta akan menjadi duta sukan dan mengaplikasikan kemahiran yang mereka perolehi melalui kem itu di sekolah masing-masing. Full content generated by Get Full RSS. |
Pengalaman mempelajari pelbagai jenis sukan Posted: Pengalaman mempelajari pelbagai jenis sukanBENTONG 17 Okt. - Penganjuran Kem Satu Murid Satu Sukan (1M1S) yang dikendalikan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jerantut di Air Tenang Resort, Janda Baik di sini baru-baru ini memberi kesan besar kepada pelajar dan murid sekolah di daerah itu. Penyertaan dalam kem tersebut membolehkan mereka memahami dasar 1M1S yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran dalam menjana transformasi pendidikan negara. Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1 Jerantut, Danial Nuqman Khairul Nizam, 10, berkata, dia mempelajari banyak perkara setelah menyertai kem yang dikendalikan oleh guru-guru terlatih itu. "Saya belajar pelbagai cara untuk membentuk organisasi dalam sebuah kelab sukan dan memahami setiap tugas yang dipegang oleh ahli kelab berdasarkan jawatan disandang mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana Jerantut, Megat Jazlan Shah Nadbidi, 14, program tersebut memberi peluang kepadanya menambah pengetahuan dan kemahiran dalam beberapa permainan seperti bola sepak, takraw dan badminton. Katanya, pelbagai pengetahuan dan pendedahan asas diajar seperti cara mengendalikan setiap permainan serta mencipta permainan baru menggunakan sebiji bola. Sementara itu, murid SK Jerantut Jaya, G. Loohasheni, 10, memberitahu, penyertaan dalam kem tersebut memberi peluang kepadanya menimba ilmu dalam semua jenis sukan. "Saya sangat seronok kerana dapat bermain semua jenis sukan yang diajar termasuk sepak takraw, hoki dan bola sepak," katanya. |
Posted: Rumah guru dimasuki pencuriPEKAN 17 Okt. - Seorang guru wanita sekolah rendah kerugian kira-kira RM6,000 apabila rumahnya di Taman Tanah Putih Baru di sini dimasuki pencuri, semalam. Kejadian itu hanya disedari mangsa, Khairatul Azlina Abdul Karim, 33, sejurus dia dan empat anak lelakinya yang berusia antara lima bulan dan lima tahun pulang ke rumah kira-kira pukul 9 pagi ini selepas bermalam di rumahnya ibunya malam semalam. Menurut Khairatul Azlina, dia tergamam apabila mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak manakala pintu di bahagian tepi rumahnya terbuka. "Saya yang tidak sedap hati terus menghubungi keluarga memaklumkan perkara itu sebelum membuat pemeriksaan di dalam semua bilik. "Saya mendapati sebuah komputer riba, kamera digital, sebentuk cincin emas dan tiga tabung duit syiling milik anak saya lesap yang kesemuanya dianggarkan kira-kira RM6,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini. Menurut guru tersebut, dia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan pada pukul 9.51 pagi. Tambahnya, sebelum kejadian dia meninggalkan rumahnya kira-kira pukul 11.30 malam untuk tidur di rumah ibunya yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ kerana suaminya berkursus di Perlis sejak minggu lalu. "Tiga hari lepas baru sahaja sebuah rumah di sini dimasuki pencuri. Kalau tidak silap saya, jiran saya itu hanya tinggalkan rumah sekejap sahaja untuk ke kedai berhampiran," katanya. Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Amran Sidek ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian terbabit dan memberitahu pihaknya menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan