Isnin, 17 Oktober 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kerajaan kaji kawasan sesuai bina lebih banyak PR1MA

Posted:

Kerajaan kaji kawasan sesuai bina lebih banyak PR1MA

Kerajaan kaji kawasan sesuai bina lebih banyak PR1MA

ALOR SETAR 16 Okt. - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji kawasan-kawasan yang bersesuaian untuk dibina rumah-rumah kos rendah di seluruh negara melalui Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, berdasarkan kajian oleh pihaknya, terdapat kira-kira 90,000 keluarga yang memerlukan rumah untuk dijadikan tempat berlindung.

"Oleh itu, kerajaan sedang melihat kawasan-kawasan yang sesuai untuk membina rumah kos rendah melalui program PR1MA.

"Dengan cara ini, lebih ramai rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan memiliki rumah sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek peruntukan dan bantuan kecemasan Ahli Parlimen Alor Setar, di sini hari ini.

Sebanyak 80 penerima bantuan terdiri daripada pesakit kronik, orang kelainan upaya (OKU), mangsa ribut dan sebagainya menerima bantuan yang berjumlah RM211,154.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan akan memperbanyakkan lagi projek perumahan mampu milik dalam tempoh terdekat setelah menunaikan janjinya melakukan proses cabutan fasa pertama 560 unit pangsapuri PR1MA di Putrajaya.

Najib berkata, kerajaan akan menunaikan kehendak golongan itu untuk memiliki rumah sendiri bagi menyemai perasaan pemilikan hartanah yang lebih erat kepada negara.

Chee Heung memberitahu, buat masa ini, rumah kos rendah itu akan dibina di Wilayah Persekutuan dan Pahang.

"Di Selangor dan Sabah, rumah-rumah yang akan dibina oleh kerajaan bakal dijadikan rumah sewa dengan kadar sewa serendah RM124 sebulan.

"Kita akan utamakan kawasan-kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan penduduk bagi membina rumah-rumah tersebut," katanya.

Katanya, walaupun rumah itu adalah rumah kos rendah tetapi ia berkualiti dengan keluasan kira-kira 700 kaki persegi serta lengkap dengan kemudahan seperti surau, kedai dan tempat meletak kenderaan.

"Memandangkan hasrat kerajaan untuk melihat semua rakyat memiliki rumah sendiri, kita sedang mencari pendekatan bagi membina rumah kos rendah yang akan dijual dengan harga disubsidikan oleh kerajaan," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Menara jam di Mekah punyai sentuhan anak Malaysia

Posted:

Menara jam di Mekah punyai sentuhan anak Malaysia

Menara jam di Mekah punyai sentuhan anak Malaysia

MEKAH 16 Okt. – Seharusnya Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai 'sentuhan anak Malaysia.'

Wan Nazri Wan Aria, 31, merupakan jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.

Katanya, menara itu memerlu kan lightweight steel structure untuk menyokong jam gergasi itu, dan di sini kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar dari syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungja wab itu.

Uniknya, 14 tenaga pakar dari Premier Composite Technology itu juga terdiri daripada kumpulan anak muda dari Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia yang datang ke sini untuk mengerjakan haji dan umrah.

Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.

"Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London," kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.

Nazri bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui oleh kumpulan media Tabung Haji sedang menikmati teh tarik di Restoran Felda D"saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini.

Katanya, beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada tenaga pakar yang melakar sejarah di Mekah, apabila dibabitkan dalam kerja-kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di tanah suci itu.

Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh di lihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya yang berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.

Selain itu 90 juta kaca mozek keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan jam itu.

Nazri berkata, menara jam yang dilaporkan bernilai US$3 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Februari tahun depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya Kumpulan Binladin pada bulan Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar dari Premier Composite Technology berada di sini bagi memantau dan menyelia kerja-kerja akhir pembinaan menara jam itu.

Sementara itu menceritakan pengalaman kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata beliau mengambil masa yang lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan diberi peluang menerajui projek itu.

Rakannya, jurutera dari Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata bahan komposit merupakan satu bidang baru, dan tidak banyak syarikat di dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu, dan ia membuatkan kebanyakan pakar dalam pemasangan bahan itu biasanya saling mengenali antara satu sama lain.

Beliau berkata, bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama merupakan satu kelebihan nyata, dan menurutnya beliau bersama kumpulan rakan-rakannya itu turut terlibat dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu. – BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Ramai mahu PPSMI diteruskan - Dr. Mahathir

Posted:

Ramai mahu PPSMI diteruskan - Dr. Mahathir

Ramai mahu PPSMI diteruskan - Dr. Mahathir

PARIT 16 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya banyak pihak mahu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan kerana ia mampu meningkatkan prestasi murid termasuk di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, kekurangan guru bahasa untuk ditempatkan di sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar tidak seharusnya menjadi alasan kerajaan tidak meneruskan PPSMI.

''Saya berpendapat ramai orang yang mahukan PPSMI ini dikekalkan, tetapi saya tidak tahulah, tekanan yang datang ini mungkin daripada orang yang bukan belajar Sains dan Matematik, tetapi dalam bidang sastera.

''Kita bukan hendak belajar bahasa Inggeris melalui Sains dan Matematik. Kita hanya mahukan ilmu daripada kedua-dua bidang ini dan ia boleh didapati hanya melalui bahasa Inggeris," katanya.

Beliau yang juga Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-11 UTP di Seri Iskandar di sini, hari ini.

Hadir sama Pro Cancelor UTP, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan Naib Canselornya, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim.

Dr. Mahathir yang memperkenalkan PPSMI sembilan tahun lalu pada era pentadbirannya berkata, beliau masih percaya pelaksanaan dasar tersebut tidak akan menjejaskan pembelajaran murid di luar bandar.

"Saya tidak percaya orang kampung kononnya tidak boleh (menguasai) bahasa Inggeris, itu tidak benar. Sekarang ramai daripada mereka yang memegang jawatan tinggi bercakap (bahasa) orang putih pun macam 'orang putih' juga," katanya.

Terdahulu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, beliau menegaskan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu terutamanya dalam penguasaan Sains dan Matematik yang sentiasa berkembang hampir setiap hari.

Sambil menegaskan ia bukan membelakangkan bahasa kebangsaan, beliau berkata, pemahaman bahasa Inggeris penting kerana setiap hasil kajian terkini dalam kedua-dua bidang berkenaan ditulis dalam bahasa tersebut.

"Hasil kajian selidik datang bertalu setiap hari dan mustahil kita dapat menterjemahkannya dalam bahasa kita.

"Untuk menterjemahkannya pula, kita memerlukan tiga kepakaran iaitu fasih dalam bahasa ibunda, bahasa Inggeris dan pakar dalam bidang tersebut," tambah beliau.

Mengambil contoh bahasa Arab yang pernah menjadi bahasa ilmu pada abad ke-15, Dr. Mahathir menjelaskan, orang Eropah ketika itu berlumba-lumba mempelajarinya kerana pelbagai ilmu ditulis dalam bahasa berkenaan dan disimpan di khutub khanah di Baghdad dan Cardoba.

Namun katanya, malang sekali, orang Arab sendiri memilih untuk tidak lagi mengejar ilmu sekali gus menyebabkan penguasaan orang Eropah yang menterjemahkan ilmu yang dipelajari ke dalam bahasa Latin dan bahasa lain.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai tindakan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe secara terbuka meminta presiden parti itu, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, Tsu Koon perlu mengambil kira pandangan daripada orang di sekelilingnya setelah diminta secara terbuka supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, jika mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu melakukan 'pembersihan', ia patut dilakukan sekarang, bukannya sebelum pilihan raya umum.

''Setiap orang mesti sentiasa mendengar pandangan orang lain. Saya beri satu petunjuk, semasa saya menjadi Perdana Menteri, mereka mula bercakap bila orang tua ini hendak pergi," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved