Isnin, 17 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mencari calon boleh menang

Posted:

Mencari calon boleh menang

Mencari calon boleh menang

Oleh AZNAN BAKAR
aznan.bakar@utusan.com.my

KETIKA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin hampir, tumpuan tentunya turut terarah kepada siapa yang akan jadi calon untuk bertanding.

Ia tidak terhad kepada Barisan Nasional (BN) sahaja, tetapi semua parti yang bakal bertanding.

Tetapi tumpuan lebih tentunya diberikan kepada BN kerana ia bukan sahaja akan bertanding di semua kawasan, tetapi sebagai parti pemerintah, ia akan turun untuk mempertahankan kerajaan.

Tokoh-tokoh dalam BN pula adalah nama-nama besar yang ada antaranya berkhidmat sejak dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun, disebabkan zaman telah berubah dan tuntutan politik yang lebih dinamik, pasti ada yang terpaksa digugurkan. Dalam menentukan siapa yang bakal menggalas tanggungjawab untuk menjadi calon BN beberapa kriteria digariskan.

Salah satunya adalah untuk meletakkan calon yang boleh menang atau winnable.

Tetapi siapa yang dikategorikan sebagai calon boleh menang? Siapa yang akan tentukan? Tentunya bukan oleh individu sendiri.

Bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa jika kriteria calon boleh menang itu adalah 'saya' maka parti akan porak peranda dan boleh kalah pada pilihan raya.

Tentunya kriteria boleh menang itu terletak pada penilaian pucuk pimpinan dan pengundi itu sendiri.

Jika berdasarkan kepada reaksi dan keluhan akar umbi kriteria calon yang menjadi pilihan mereka bukannya rumit sangat.

Yang pertama kata mereka mestilah mempunyai latar belakang pendidikan yang munasabah. Dalam zaman yang serba globalisasi ini, biarlah sekurangnya ada ijazah sarjana muda.

"Busuk-busuk pun biarlah ada ijazah. Tidak ada sebab pada zaman sekarang untuk kita pilih calon yang tidak ada ijazah," demikian luahan seorang pengundi akar umbi.

Para pengundi juga secara jelas menolak mana-mana calon yang ada kaitan dengan tuduhan jenayah.

Ini bukan soal seseorang itu disabitkan dengan kesalahan dan dijatuhkan hukuman. Tetapi dikaitkan dengan jenayah. Soal didapati bersalah oleh mahkamah itu perkara kedua.

Ini kerana, sebaik sahaja mereka dikaitkan dengan sesuatu perbuatan jenayah sama ada kecil atau besar, ia telah memalitkan imej negatif kepada parti.

Individu yang terlibat dengan isu-isu yang menimbulkan ketidakselesaan di kalangan masyarakat seperti itu bukan sahaja akan membebankan parti, tetapi tentu akan ditolak mentah-mentah oleh pengundi.

Dalam menentukan sama ada seseorang calon itu boleh menang atau tidak, soal-soal yang membabitkan keperibadian, isu moral dan akhlak amat memainkan peranan.

Dalam era siber, di mana pemimpin tidak lagi mempunyai rahsia untuk disimpan, setiap perlakuan mereka akan diketahui ramai.

Pemimpin dengan masalah moral yang menjadi bahan bualan orang ramai tentunya tidak termasuk dalam senarai calon boleh menang.

Bagi yang beragama Islam, individu itu mestilah tidak pernah terbabit dengan apa juga pertikaian syariah. Jika itu berlaku, ia pasti akan mempengaruhi pola pemilihan pengundi.

Pertikaian syariah tidak semestinya hanya membabitkan mereka yang didapati bersalah dan dihukum oleh mahkamah syariah.

Tetapi cukup dengan perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan seperti berpoligami secara rahsia dan sebagainya.

Kerana sebagai pemimpin mereka bukan sahaja kena bersih tetapi perlu dilihat dan kelihatan bersih. Mereka adalah contoh kepada masyarakat. Sedikit arang terpalit, maka kesannya kepada parti bukan sedikit.

Selain itu berdasarkan maklum balas orang ramai, mereka mahu calon yang bebas daripada masalah kewangan.

Analogi yang digunakan cukup mudah. Pada mereka, calon yang berhadapan dengan masalah kewangan mudah dipengaruhi dan mudah dibeli.

Calon seperti itu juga pada pandangan rakyat ada kecenderungan untuk terlibat dengan gejala tidak elok seperti rasuah dalam usaha mengatasi masalahnya.

Ini adalah persepsi rakyat yang perlu diberi perhatian. Persepsi yang timbul berdasarkan pengalaman yang dialami sendiri oleh para pengundi selama ini.

Sebab itu, calon-calon yang merasakan diri mereka layak tetapi tidak terpilih perlu menerima hakikat. Mereka bukannya ditolak oleh parti. Tetapi kehadiran mereka boleh menjejaskan peluang kemenangan parti.

Tidak ada gunanya jika sekadar menang sorak tetapi kampung tergadai. Elok ukur baju di badan sendiri. Nilai apa kekuatan dan kelemahan diri sendiri.

Jika cita-cita untuk jadi calon atau cita-cita untuk menjadi Yang Berhormat sepenggal lagi tidak kesampaian mesti ada sebab tertentu.

Ia tentunya ada kena mengena dengan prestasi dan ketidakpuasan rakyat dengan khidmat mereka.

Ketidakpuasan itu timbul mungkin disebabkan khidmat mereka tidak seberapa atau disebabkan faktor yang menimbulkan keresahan rakyat. Seperti dikaitkan dengan jenayah, terbabit dalam pertikaian syariah dan sebagainya.

Pada masa sama, mereka yang bakal dipilih sebagai calon mesti mempunyai pemikiran dan perjuangan yang selari dengan aspirasi pucuk pimpinan parti.

Calon-calon mesti fasih dan faham dengan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kepimpinan sekarang seperti 1Malaysia dan program-program transformasi yang diperkenalkan.

Mereka yang gagal menguasai aspirasi yang dibawa oleh pemimpin hanya akan mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat.

Suara-suara akar umbi juga turut berharap agar mereka yang tersenarai dalam kategori calon boleh menang itu mewakili peringkat umur yang sesuai.

Kata mereka, biarlah ada golongan yang mewakili peringkat umur 30 hingga 40 tahun, 40 hingga 50 tahun dan 50 tahun ke atas.

Faktor kesihatan juga mungkin boleh dipertimbangkan sebagai salah satu syarat untuk mencari calon boleh menang terutama bagi yang melebihi 50 tahun.

Tidak ada gunanya jika mereka menang tetapi tidak dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat akibat masalah kesihatan.

Untuk pemimpin yang telah melampaui zaman, yang eranya dianggap telah berlalu, kehadiran mereka boleh dikekalkan jika mempunyai faktor 'wow' yang menjadikan aset kepada parti.

Semua ini bukan kriteria yang ditetapkan oleh mana-mana pihak atau kumpulan. Ini adalah cakap-cakap, pandangan dan reaksi rakyat hasil pengalaman dan pergaulan harian dengan pemimpin mereka.

Mereka ini mungkin hanya insan-insan kerdil yang tidak mempunyai apa pengaruh. Tetapi golongan akar umbi inilah yang bakal menentukan siapa yang akan menerajui pemerintahan negara selepas PRU13.

Full content generated by Get Full RSS.

Tangani segera murtad, muflis belia Melayu

Posted:

Tangani segera murtad, muflis belia Melayu

Tangani segera murtad, muflis belia Melayu

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

DUA isu terbesar yang membelenggu orang Melayu Islam pada masa kini. Murtad dan muflis (2M)! Ramai orang Melayu yang menyedari kesan kehilangan kuasa politik tetapi berapa ramaikah yang benar-benar sedar betapa kehilangan akidah (murtad) dan kehilangan kekayaan (muflis) memberi kesan yang lebih dahsyat lagi kepada orang Melayu pada masa akan datang.

Orang Melayu yang sememangnya lemah angkara tidak bersatu (kesan perbezaan ideologi politik) akan semakin parah dek kerana isu murtad dan muflis.

Hang Tuah pernah berkata, Melayu tidak akan hilang di dunia. Tetapi jika Hang Tuah masih hidup dan boleh melihat betapa nazaknya orang Melayu ketika ini mungkin beliau akan mengubah kata-katanya menjadi, "Melayu semakin hilang di dunia".

Masakan tidak, pada zaman Hang Tuah, kegemilangan orang Melayu berpaksikan kekuatan akidah dan harta benda selain kekuasaan politik. Namun, kini agama orang Melayu mudah dipesongkan hanya kerana wang ringgit.

Kekuatan politik apabila disatukan dengan kekuatan akidah dan harta benda, nescaya tiada siapa yang mampu menggugat orang Melayu. Malangnya, akidah orang Melayu tidak sekuat pada masa lalu dan ini menyebabkan penganut agama lain cuba memesongkan agama orang Melayu yang selama ini berteraskan agama yang paling syumul, iaitu Islam.

Orang Melayu tidak boleh lagi hanya melihat sahaja. Jika orang Melayu tidak boleh bersatu atas wadah politik, pegangan akidah Islam adalah penyelesaiannya.

Justeru, apabila ada alim ulamak yang mencadangkan agar Akta Murtad dilaksanakan, tiada sebab orang Melayu Islam tidak bersetuju. Jangan sesekali memperjudikan masa depan akidah generasi akan datang. Ia seharusnya dimulakan oleh generasi belia sekarang.

Belia-belia Melayu sering kali menjadi sasaran penganut agama lain. Disebarkan agama lain kepada belia Melayu kerana mereka mengetahui jika mereka berjaya memesongkan pegangan akidah belia Melayu, maka rosaklah generasi Melayu pada masa akan datang.

Akta Murtad yang disyorkan oleh Mufti Perak merupakan idea ampuh bagi menangani isu murtad di kalangan orang Melayu khususnya golongan belia. Beliau sentiasa istiqamah memperjuangkan isu murtad.

Perbincangan secara mendalam mengenai Akta Murtad di kalangan alim ulama dan para pemimpin politik perlu disegerakan agar segala isu mengenainya diselaraskan di semua peringkat sama ada negeri mahupun persekutuan.

Pemimpin-pemimpin politik tidak kira ideologi perlu sentiasa menyokong Akta Murtad. Tidak membenarkan agama lain disebarkan kepada umat Islam sememangnya sudah termaktub dalam perlembagaan, tetapi apa yang ingin dimasukkan dalam Akta Murtad melibatkan tindakan yang akan diambil kepada kedua-dua pihak (orang Islam yang murtad dan pihak yang memurtadkan orang Islam).

Dengan mengambil tindakan keras kepada mereka, insya-Allah akidah umat Islam akan sentiasa terpelihara.

Murtad juga berkait rapat dengan kemuflisan. Sekali lagi, ramai di kalangan belia Melayu yang terjebak dengan kemuflisan. Minggu lalu kita dikejutkan dengan maklumat bahawa setiap hari seramai 41 belia jatuh muflis. Jumlah ini amat membimbangkan!

Penulis yakin daripada 41 belia tersebut kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu Islam. Fakta ini berteraskan bahawa orang Melayu ramai yang masih miskin dan berpendapatan rendah. Malahan, orang Melayu jugalah yang ramai terjebak dengan perangkap hutang.

Fakta juga menunjukkan kekayaan orang Melayu tidak seberapa berbanding kaum lain. Sifat orang Melayu yang juga suka berhibur menyebabkan banyak wang hilang begitu sahaja. Itu belum termasuk sentiasa menjaga status agar kelihatan mewah di mata orang lain, walhal poket kosong. Kita tidak boleh menafikan fakta-fakta ini meskipun pahit untuk ditelan.

Menangani isu kemuflisan di kalangan belia Melayu menjadi satu kewajipan bagi setiap orang Melayu. Kita tidak boleh hanya mengharap agensi-agensi berkaitan membantu kita seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Kita perlu membantu diri kita sendiri.

Asasnya, setiap orang Melayu perlu mempunyai kemahiran mengurus kewangan sejak kecil lagi. Pengajaran daripada ibu bapa adalah jalan terbaik. Beri contoh kepada anak-anak kita.

Jangan pula kita mengajar mereka boros berbelanja, suka berhibur dan mengejar status kemewahan. Kalau kita sendiri mengamalkan cara hidup sebegitu, mana mungkin anak-anak kita boleh mengurus kewangan secara berhemah apabila meningkat dewasa.

Mulakan dari awal. Tidak salah berjimat cermat dan mengawal nafsu berbelanja. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Apalah gunanya jika mereka menjadi muflis. Masa depan mereka akan menjadi gelap.

Mahukah kita sebagai ibu bapa ingin melihat mereka sengsara dek kerana menjadi muflis? Tidak mengapalah jika mereka tidak berputus asa, tetapi siapa yang perlu dipersalahkan apabila suatu hari nanti mereka meminta bantuan daripada pihak-pihak lain yang sentiasa mengintai peluang untuk memesongkan akidah mereka dengan habuan wang ringgit?

Ketika itu, menunding jari tiada gunanya. Satu jari untuk pihak yang ditunding, empat jari pula ke arah diri sendiri!

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved