Isnin, 17 Oktober 2011

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Ella dedah kekasih baru 30 Oktober ini

Posted:

Ella dedah kekasih baru 30 Oktober ini

Ella dedah kekasih baru 30 Oktober ini

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


SELEPAS lebih 20 tahun Ella masih belum ada saingan dalam persada rock tanah air.


ELLA antara penyanyi yang selalu digosipkan bercinta dengan ramai jejaka kacak. Kebanyakannya terdiri daripada nama-nama yang popular di negara ini sama ada golongan artis mahupun ahli sukan.

Sebagai contoh, penyanyi rock ini pernah digosipkan dengan pelakon Hans Isaac dan bekas pemain badminton perseorangan negara, Rashid Sidek. Sayangnya, semua gosip itu hanya tinggal gosip sehinggalah ke hari ini.

Bagaimanapun, selepas agak lama sepi tanpa cinta baru, rocker berusia 45 tahun ini semakin berseri-seri. Dia kini semakin ceria dan tidak berselindung lagi tentang pria yang dikatakan telah bertakhta di taman hatinya.

Menurut Ella, hatinya kini sudah dimiliki. Tetapi dia belum bersedia mendedahkan sepenuhnya identiti lelaki bertuah itu. Sebaliknya, kata anak kelahiran Klang, Selangor ini, biarpun perkara itu diketahui sendiri orang semua pihak.

"Biarlah wartawan atau peminat tahu sendiri kerana saya tidak mahu komen panjang. Kalau anda bernasib baik dia (kekasih) akan datang ke konsert Whitesnake di Stadium Merdeka , Kuala Lumpur, 30 Oktober ini.

"Itu pun kalau dia ada di sini (dalam negara) sewaktu konsert itu berlangsung. Cuma apa yang boleh saya cakap, dia orang biasa sahaja," ungkapnya selepas pelancaran konsert Whitesnake di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada Konsert Whitesnake World Tour 2011 Live In Kuala Lumpur yang mengenakan tiket RM358, RM258, RM158 dan RM98 itu Ella telah dipilih sebagai artis pembuka tirai sebelum kumpulan rock legenda itu beraksi.

Jelas Ella, pada konsert itu nanti dia akan menyanyikan enam buah lagu antaranya Impian. Dia juga akan diiringi oleh para pemuziknya sendiri termasuk Joe Wings selaku gitaris utama.

Dengan peluang yang diberi, Ella bukan sahaja teruja untuk mengadakan konsert berskala besar itu tetapi pada masa yang sama berbesar hati dengan tawaran tersebut.

Katanya, Whitesnake bukan nama yang asing baginya.

"Difahamkan nama saya dipilih sendiri oleh Whitesnake dan vokalis mereka iaitu David Coverdale untuk menjayakan konsert ini. Saya rasa risau dan gemuruh pun ada. Sewaktu sekolah rendah lagi saya sudah kenal Whitesnake.

"Abang saya adalah peminat kumpulan itu pada era tahun 1970-an dan 1980-an. Bagi saya, suara David Coverdale dahsyat sangat. Saya berasa teruja untuk menjayakan konsert ini.

"Malah, ramai peminat saya di Facebook termasuklah dari Indonesia bertanyakan tentang konsert ini. Mereka mahu beli tiket konsert itu lebih awal kerana tidak mahu ketinggalan menontonnya," ujarnya.

Jelas Ella, pada persembahannya selama 30 minit itu dia tidak menolak kemungkinan untuk berduet dengan David Coverdale jika ada pihak-pihak yang mahukannya berbuat demikian. Itu adalah suatu penghargaan buatnya.

Dia yang meminati lagu Whitesnake seperti Is This Love berkata, segala persiapan termasuklah latihan telah diadakan agar para peminat tidak kecewa dengan persembahannya.

"Ini bukan kali pertama saya mengadakan persembahan dengan artis antarabangsa. Saya pernah mengadakan persembahan bersama kumpulan Duran-Duran sewaktu berkunjung ke Los Angeles, Amerika Syarikat, pada tahun 1990-an.

"Bagaimanapun kalau di Malaysia, ini adalah kali pertama saya mengadakan persembahan dengan artis antarabangsa. Apa yang pasti saya akan menyanyikan kesemua lagu saya sendiri yang dalam bahasa Melayu," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bakat adalah anugerah Tuhan

Posted:

Bakat adalah anugerah Tuhan

Bakat adalah anugerah Tuhan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

TANYALAH kepada mana-mana penyanyi, nama komposer dan penerbit unggul ini pasti akan berada dalam senarai teratas mereka seandainya diberi peluang bekerjasama.

Malah, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza juga pernah meluahkan hasrat untuk bekerja dengan insan hebat ini satu hari nanti.

Manakan tidak, trek rekod yang dicipta oleh David Wallace Foster atau lebih dikenali seantero dunia sebagai David Foster sememangnya cukup mengagumkan.

Hampir empat dekad berkecimpung dalam dunia seni, Foster telah menerbitkan dan memberikan sentuhan magisnya untuk hampir sebahagian besar nama-nama besar industri hiburan dunia.

Antaranya ialah Celine Dion, Madonna, Barbra Streisand, Michael Jackson, Toni Braxton, Beyonce Knowles, Earth, Wind & Fire, Mariah Carey, Shania Twain dan ramai lagi yang sudah pun menggunakan khidmatnya sebagai komposer, penerbit lagu dan album mereka.

Bukan itu sahaja, Foster juga merupakan insan yang bertanggungjawab memperkenalkan Josh Groban, Michael Buble dan Andrea Bocelli ke persada seni dunia sehingga kedua-dua penyanyi lelaki itu tersenarai dalam kelompok artis Gred A di Hollywood.

Ternyata, sumbangan Foster dalam melahirkan karya-karya indah dan menaikkan nama serta prestij seseorang artis cukup besar.

Bagi mereka yang dapat bekerjasama atau bakat seseorang itu dikesan oleh Foster, ia ibarat bom jangka yang akan meledak bila-bila masa sahaja apabila nama mereka pasti akan berada di puncak kegemilangan dalam sekelip mata.

Dalam hal ini, contoh terbaik adalah kejayaan penyanyi kelahiran Filipina, Charice di mana Foster telah menggunakan khidmat dan pengaruhnya untuk menjadikan Charice sebagai seorang bintang mega.

Seorang lagi ialah bakat cilik dari Amerika Syarikat, Jackie Evancho yang kini mula meraih perhatian daripada peminat muzik di seluruh dunia.

Namun, bagi Foster, dalam apa juga perkara, perkara pokok dalam kejayaan seseorang artis itu terletak kepada bakat.

Tanpa bakat, kata Foster, adalah sesuatu yang mustahil untuk seseorang itumenjadi seorang penyanyi, pelakon atau apa juga profesion yang bagus.

"Saya melihat kejayaan saya selama ini sebenarnya banyak dibantu dengan kehebatan penyanyi yang memiliki bakat luar biasa dan semua itu datang dari Tuhan.

"Celine Dion misalnya, sewaktu kali pertama saya berjumpa dengannya, saya tidak pernah menyangka dia mempunyai suara yang begitu indah. Malah, dia sendiri tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

"Lihatlah dia sekarang apabila kini menjadi seorang bintang mega yang dikenali di seluruh dunia. Pernahkah kita menyangka Celine akan menakluk dunia dengan bakatnya?

"Begitu juga dengan Michael Buble. Saya mengesan bakatnya di sebuah majlis perkahwinan kecil. Siapa sangka dia kini mampu memenuhkan sebuah arena dengan penonton yang mahu menonton persembahannya," kata Foster, 61, yang menyifatkan Andrea Bocelli sebagai penyanyi kegemarannya.

Menyambung bicara, anak kelahiran British Columbia, Kanada itu juga menegaskan, dalam mengesan bakat seseorang penyanyi, latar belakang, bangsa, warna kulit mahupun agama tidak seharusnya dijadikan halangan.

Sambil memberikan contoh Charice yang kini menjadi anak didiknya, Foster melihat bakat yang ada dalam penyanyi muda itu mampu membawanya jauh dan bertahan lama dalam industri.

Sehinggakan Foster begitu yakin bahawa satu hari nanti Charice akan membanggakan negaranya dengan memenangi anugerah Grammy.

"Saya melihat negara-negara Asia memiliki bakat-bakat semulajadi yang dapat diketengahkan ke peringkat dunia. Tidak mustahil juga, satu hari nanti, mereka ini mampu mendominasi pasaran muzik dunia.

"Seperti mana yang saya katakan tadi, bakat tidak seharusnya didiskriminasi. Kalau mereka ada bakat yang bagus, mengapa tidak untuk mereka diketengahkan dan dikongsikan dengan masyarakat seluruh dunia.

"Saya menghasilkan muzik bukan untuk didengar oleh seorang dua sahaja. Tetapi ia adalah untuk seluruh dunia. Ia adalah sesuatu kejayaan yang bermakna untuk saya seandainya muzik saya diterima dengan baik oleh masyarakat dunia," ujarnya yang dilahirkan pada 1 November 1949.

Antara lagu-lagu yang telah mendapat sentuhan magis Foster termasuklah Un-Break My Heart oleh Toni Braxton, The Prayer (Celine Dion dan Andrea Bocelli), You'll See (Madonna), Goodbye (Air Supply), Because You Loved Me (Celine Dion), I Swear (All-4-One), Through The Fire (Chaka Khan) dan I Have Nothing (Whitney Houston).

Sepanjang menjadi penerbit dan komposer ternama, Foster juga telah diiktiraf dengan pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk 16 trofi Grammy daripada 47 pencalonan.

Jumlah itu termasuk tiga kali dinobatkan sebagai Penerbit Album Terbaik selain pernah memenangi anugerah Golden Globe untuk Lagu Tema Asal Filem Terbaik bagi lagu The Prayer dari filem Quest For Camelot pada tahun 1999.

Bukan itu sahaja, Foster juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Academy untuk kategori Lagu Tema Asal Filem Terbaik bagi lagu-lagu seperti Glory of Love dari filem The Karate Kid Part II, I Have Nothing (The Bodyguard) dan The Prayer (Quest for Camelot).

Dalam usianya yang sudah melewati angka 60-an itu, Foster tetap mahu meneruskan perjuangannya dalam bidang muzik selagi nyawanya dikandung badan.

Selain sibuk dengan penerbitan album, Foster tidak melupakan tanggungjawab sosialnya sebagai seorang individu apabila telah menubuhkan yayasannya sendiri iaitu The David Foster Foundation sejak tahun 1986.

Jelas Foster, yayasan itu ditubuhkan bagi membantu keluarga kurang bernasib baik terutama kanak-kanak yang memerlukan bantuan untuk pemindahan organ di Kanada.

"Bantuan yang diberikan bukan hanya dalam bentuk kewangan tetapi juga dari segi emosi dan jiwa yang dikendalikan oleh pakar psikiatri. Malah, kami juga menganjurkan program untuk meningkatkan kesedaran tentang pendermaan organ di kalangan masyarakat.

"Saya bangga dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk sekalipun untuk terus memastikan yayasan ini mencapai matlamatnya," ujarnya bersungguh.

Atas alasan itu jugalah, David lahir dengan idea konsert bersiri David Foster & Friends yang menggabungkan dirinya dengan beberapa orang artis yang juga teman-temannya untuk sama-sama membantu yayasannya itu.

Ternyata, selepas hampir dua tahun ia dilaksanakan, David Foster & Friends mendapat sambutan yang di luar jangkaan setiap kali Foster dan penyanyi yang terlibat menganjurkan persembahan.

Dalam hal ini, Foster tidak pernah menyangka ia mendapat sambutan daripada penyanyi-penyanyi ternama yang turut sama mahu membantu niat murninya itu.

"Saya percaya jika kita bekerjasama dengan sesiapa dalam keadaan positif dan sihat, ia mampu mengekalkan dan memanjangkan hayat hubungan itu.

"Kalau ditanya kepada saya bagaimana saya boleh mendapat sokongan daripada nama-nama besar dengan hanya satu panggilan telefon, saya percaya ia bergantung juga kepada keikhlasan dan niat itu sendiri.

"Setakat ini, saya gembira dengan komitmen semua artis yang pernah terlibat dalam siri persembahan ini dan saya mengharapkan ia akan dapat dikekalkan sampai bila-bila," kata bapa kepada lima orang anak perempuan ini penuh berharap.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved