Utusan Online - Timur |
- UMNO Kelantan sudah sedia
- IRM gerak misi bantu 1,500 keluarga miskin
- Korporat dan individu diminta tampil bantu penghuni RSK Kemumin
Posted: UMNO Kelantan sudah sediaOleh TOREK SULONG BACHOK 2 Okt. - Jentera pilihan raya UMNO Kelantan sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada bila-bila masa dengan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang sekian lama berada di bawah pemerintahan parti Pas. Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, persedian itu termasuk dari segi sokongan pengundi baru dan bekas penyokong Pas yang secara rasmi mendaftar sebagai ahli UMNO. Menurutnya, simulasi pilihan raya yang dijalankan UMNO negeri juga menunjukkan pencapaian yang baik dan jentera parti telah bersiap sedia menghadapi PRU Ke-13. "Pencapaian itu sudah pun dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO tiga hari lalu di Kuala Lumpur dan diterima baik oleh MT," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan gelanggang sepak takraw di Kampung Kandis di sini hari ini. Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, hasil bedah siasat dan analisis yang dibuat mendapati, simulasi pilihan raya itu jauh lebih memberangsangkan berbanding simulasi 2008 membabitkan persiapan, kelengkapan, kempen dan jumlah pengundi yang keluar mengundi. Menurutnya, prestasi memberangsangkan dikesan di Parlimen Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat yang mencapai tahap 90 peratus pengundi keluar mengundi dan ia petanda baik bagi UMNO untuk menawan semula Kelantan pada pilihan raya akan datang. Awang Adek yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok bagaimanapun turut memberitahu, ada kawasan Parlimen yang mencapai prestasi rendah di bawah 70 peratus selepas dinilai menerusi beberapa aspek. "Kawasan Parlimen berkenaan mesti mengadakan penilaian semula untuk memperbaiki kelemahan supaya lebih bersedia apabila menghadapi pilihan raya sebenar," katanya. |
IRM gerak misi bantu 1,500 keluarga miskin Posted: IRM gerak misi bantu 1,500 keluarga miskinBustanol Ariffin (kanan) bersama para pegawai kanan Maybank Kelantan menziarahi warga tua miskin, Mek Nga Daud di Kampung Banggol Jenerih di Pasir Puteh, semalam. PASIR PUTEH 2 Okt. - Islamic Relief Malaysia (IRM) akan menggerakkan misi bagi membantu 1,500 keluarga miskin di negeri ini yang dikenal pasti memerlukan bantuan segera. Pengerusi IRM negeri, Bustanol Ariffin berkata, maklumat dan data keluarga miskin terbabit diperoleh daripada rangkaian IRM di setiap daerah selain kerjasama rapat dengan pemimpin masyarakat setempat. Menurutnya, bantuan perlu disegerakan bagi meringankan bebanan hidup keluarga terbabit yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU). Katanya, setiap ketua keluarga miskin yang terpilih akan memperoleh bantuan wang tunai antara RM50 hingga RM500 mengikut keperluan mereka. "IRM mendapat kerjasama padu daripada badan korporat yang turut menjayakan misi kebajikan sebegini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan untuk 10 penduduk miskin di Dewan Undangan Undangan (DUN) Selising di sini hari ini. Pada majlis berkenaan, seramai 10 rakan sukarelawan IRM dan 79 kakitangan Maybank cawangan Kelantan menyertai misi menyampaikan hamper berupa barangan keperluan harian seperti beras, gula, Milo, biskut dan minyak masak serta wang tunai kepada golongan terbabit. Bustanol berkata, bantuan seterusnya akan disampaikan secara berperingkat-peringkat bermula di DUN Selising, Pasir Puteh diikuti Kota Bharu serta jajahan lain. Beliau berkata, dalam program itu IRM mendapat kerjasama Maybank yang menyalurkan dana khas di bawah program 'Jejak Prihatin' dengan setiap ketua keluarga akan diberi bantuan sebanyak RM200. "Sebelum ini IRM sudah menyalurkan bantuan kepada lebih 1,000 golongan miskin di bawah program 'Kasih Ramadan dan Kasih Syawal'. ''Hasil kerjasama dengan pihak Etiqa Insurans baru-baru ini, kita turut membina tiga buah rumah penduduk miskin di Tumpat membabitkan peruntukan RM30,000," katanya. Sementara itu, seorang penerima, Mek Nga Daud, 85, dari Kampung Banggol Jenerih melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan kerana dia kini hanya tinggal di rumah usang selepas kematian suami beberapa tahun lalu. "Bantuan itu membolehkan saya membeli barangan keperluan harian," katanya. |
Korporat dan individu diminta tampil bantu penghuni RSK Kemumin Posted: Korporat dan individu diminta tampil bantu penghuni RSK KemuminZarina Md. Eusope menyampaikan sumbangan kepada seorang warga emas pada majlis Hari Warga Emas Kebangsaan 2011 Peringkat Jajahan Kota Bharu di Rumah Seri Kenangan Kemumin, Pengkalan Chepa, kelmarin. KOTA BHARU 2 Okt. - Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Pengkalan Chepa (MPWK) berharap syarikat korporat, agensi kerajaan dan individu tampil memberi sumbangan kepada Rumah Seri Kenangan (RSK) Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini. Pengerusinya, Zarina Md. Eusope berkata, sumbangan tersebut amat diperlukan untuk menambah baik lagi kemudahan yang terdapat di situ bagi memberikan keselesaan kepada penghuni rumah berkenaan terdiri kalangan warga emas. "Meskipun RSK dikelolakan oleh pihak kerajaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semasa lawatan ini saya berasakan pentingnya fokus penambahbaikan diberikan untuk keselesaan penghuninya. "Golongan warga emas, terutama kaum wanita, perlu dibantu bagi membolehkan mereka yang tidak mempunyai keluarga atau kehilangan keluarga diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2011 Peringkat Kota Bharu di sini semalam. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Bharu, Ruzaidi Che Soh. Pada majlis berkenaan, seramai 70 warga emas dari RSK dan sekitar Kota Bharu menerima sumbangan beras dan wang saku untuk mengurangkan beban mereka. Zarina yang juga Ketua Wanita UMNO Parlimen Pengkalan Chepa memberitahu, setakat ini terdapat 500 orang daripada kategori warga emas menerima bantuan daripada MPWK. Sementara itu, Ruzaidi berkata, sambutan berkenaan adalah acara tahunan dan bagi peringkat jajahan Kota Baharu, ia diraikan di RSK. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan