Isnin, 3 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Hudud: Pas memerangkap UMNO/BN

Posted:

Hudud: Pas memerangkap UMNO/BN

Hudud: Pas memerangkap UMNO/BN

Oleh TOK KI

ISU hudud Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan tentangan Karpal Singh daripada DAP adalah sandiwara politik yang cuba mengalihkan isu Mat Sabu yang banyak menjejas pengaruh pakatan pembangkang di mata awam.

Dalam masa sama, mereka ingin memerangkap UMNO/BN supaya terjebak di Parlimen Oktober ini sekiranya terdapat usul tergempar mengenai pindaan Perlembagaan yang membolehkan hudud dilaksanakan.

Dan yang lebih utama membuat justifikasi bahawa pengenalan Negara Berkebajikan adalah suatu muslihat melunakkan perjuangan negara Islam oleh ulama Pas dan menampilkan pengaruh kumpulan Edorgan atau Anwarinas dan Anwar Ibrahim tentang perlunya Pas terikat kepada dasar Buku Jingga. Dasar Buku Jingga tidak menyebut mengenai negara Islam apa lagi pelaksanaan hudud.

Oleh itu Pas mempunyai hujah sewaktu kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti bukanlah Pas tidak mahu hudud tetapi dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak disokong oleh UMNO/BN. Pas akan menyatakan dengan lantang nanti bahawa UMNO menolak hudud. Tapi kalau dibawa ke Parlimen pun mahukah DAP menyokongnya?

Mana mungkin hudud menjadi agenda Pas kerana dalam muafakat yang lebih besar di kalangan kepimpinan pakatan pembangkang, Dasar Buku Jingga tidak memasukkan perjuangan hudud baik di Kelantan dan negeri-negeri yang dikatakan bakal dikuasai oleh Pas dan pakatan pembangkang nanti. Intipati perjuangan Buku Jingga secara jelas tidak memperjuangkan Negara Islam apalagi hudud.

Isu ini secara jelas dipolitikkan oleh Pas untuk memenangi pengaruh paling tidak di Kelantan. Biasanya isu syurga-neraka, jahiliah-kafir dan hudud adalah senjata yang ampuh dalam politik akar umbi di Kelantan. Ternyata sekian lama ia amat berkesan untuk menambat hati orang Kelantan. UMNO yang dilihat sebagai kafir, taghut, jahiliah menjadi isu yang tidak pernah hilang dalam politik Kelantan.

Dengan Negara Kebajikan dan dasar Buku Jingga orang boleh persoalkan tentang Negara Islam dan hukuman hudud. Ia tidak tercatat langsung dalam dasar itu. Dengan menimbulkan isu hudud cara Pas di Kelantan sekarang dan ditolak oleh Parlimen dan UMNO/BN ia diharap menjadi modal utama kempen nantinya.

Mengapa dikatakan isu hudud ala Pas itu dipolitikkan. Umum mengetahui bahawa ulama dalam Pas mahukan hudud. Kenyataan Nik Aziz, Ketua Dewan Ulama, Harun Taib, Ketua Pemuda Nasrudin Hasan, Tuan Ibrahim Tuan Man adalah menyokong hudud sepenuhnya.

Dalam masa sama, Naib Presiden Pas Salehuddin Ayub, mengambil pendekatan lunak. Apakah ini suara daripada kumpulan Anwarinas yang tidak sekata dengan suara ulama. Ini membolehkan Anwar Ibrahim dalam kemelut yang berbangkit meyakinkan Karpal Singh dan DAP bahawa jika isu hudud dibawa ke Parlimen sekalipun, ia tidak akan diterima dan hasrat Karpal Singh untuk melihat hudud tidak dilaksanakan akan terjadi. Ini yang menyebabkan Karpal Singh tidak membantah dalam mesyuarat tersebut.

Abdul Hadi Awang suatu ketika dulu juara Negara Islam dan hudud nampaknya semacam tidak lagi menjadi jurucakap ulama yang mahukan negara Islam dan menerima Dasar Buku Jingga yang tidak memasukkan perjuangan negara Islam sebaliknya dalam Muktamar yang lalu mengemukakan konsep Negara Berkebajikan dan membuat hujah bahawa konsep Negara Islam tidak ada dalam al-Quran.

Ada orang mengatakan bahawa pengaruh ulama hanya tinggal 30 peratus dalam Pas. Kehadiran Hassan Ali menjadikannya serba tidak kena dan ketidakhadiran Ustaz Nasaruddin Mohd. Isa dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pas menimbulkan persoalan.

Yang jelas pengaruh Anwarinas semakin kuat. Dan apakah pengaruh ulama dalam Pas bakal terpinggir. Kalau begitu slogan "Membangun Bersama Ulama'" dan "Kami sokong Hudud "dalam perjuangan Pas bakal hilang kerana suara ulama yang inginkan Negara Islam dan hudud bakal tenggelam.

Kerajaan istiqamah dalam memperkasakan peraturan syariah dalam sistem perundangan syariah di Malaysia. Walaupun fokusnya banyak kepada Undang-undang Keluarga Islam dan muamalah/ekonomi tetapi ia suatu permulaan yang baik untuk memperkenalkan institusi berasaskan syariah dalam sistem perundangan, kewangan dan ekonomi negara.

Pengenalan sukuk (bon Islam) di tahap dunia, industri halal secara besar-besaran, memperkukuhkan bahagian syariah dan sistem latihan kewangan di Bank Negara adalah antara contoh bahawa usaha mengembalikan sistem ke arah yang berdasarkan syariah sedang berlaku. Bank Rakyat umpamanya adalah contoh bank Islam yang berkembang dan disertai ramai kalangan bukan Islam kerana keuntungan dan kestabilannya.

Tidakkah itu memberi gambaran bahawa maqasid syariah dalam ilmu, pendidikan, pentadbiran, muamalah, ekonomi dan sosial sedang berjalan sekian lama di Malaysia. Penubuhan Universiti Islam Malaysia (DiRaja) yang bakal berlangsung, Kolej Universiti Al Quran Malaysia yang sedang di teroka bakal mengukuhkan lagi UIAM, USIM dan lain-lain institusi pengajian tinggi Islam berstatus negeri.

Penghantaran pelajar-pelajar berpotensi ke seluruh dunia (termasuk anak-anak pembangkang) dan menyediakan tempat belajarnya dalam negara adalah dilakukan oleh kerajaan dan dianjurkan oleh Islam.

Membangunkan masyarakat baru di Felda dan Felcra, membangun Dasar Pertanian Negara dan Nelayan, membantu kelompok miskin dengan bantuan dan perumahan, membantu usahawan yang berpotensi dan memperkukuhkan latihan keusahawanan untuk generasi muda adalah dasar-dasar yang tidak bercanggah dengan Islam.

Banyak lagi kalau ingin disebut di sini yang menjadi pendekatan kerajaan dan UMNO yang sebahagian besarnya dimanfaatkan oleh ahli-ahli dan anak-anak ahli pembangkang. Apakah mereka rasa bersyukur dengan apa yang mereka terima dan membantu mengukuhkan lagi dasar-dasar Islam yang sedia terdapat.

Apa maksud Negara Islam Pas dan sekarang pula Negara Berkebajikannya. Apakah yang disebutkan sebahagiannya yang dilakukan oleh UMNO dan kerajaan tidak Islamik dan memberi fokus kepada kebajikan rakyat. Tidaklah salah gerakan Pas cuba mengukuh asas-asas rohaniah tetapi tuntutan sebenar yang harus Pas lakukan ialah membangun model alternatif untuk membangun sistem yang Islamik.

Apakah di Kelantan sejak puluhan tahun Pas memerintah masalah sosial sudah dapat diatasi. Apakah masalah air bersih sudah dapat dibekalkan. Apakah kegiatan-kegiatan ekonomi yang Islami sudah berkembang dan menjadi model yang boleh dicontohi dan diikuti oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

Apakah Kelantan mempunyai program induk menyekat penghijrahan ramai warganya ke Lembah Klang dan tempat-tempat lain sedangkan orang Kelantan mempunyai potensi berniaga dan boleh digerakkan ke arah produktiviti yang tinggi. Apakah kadar kemiskinan dan pengangguran di Kelantan sudah dapat di atasi.

Apakah sudah ada dasar budaya, seni dan sukan yang Islami di Kelantan. Inilah antara isu-isu pokok sebagai prasyarat untuk mewujudkan negara Islam apalagi pelaksanaan hudud yang menjadi perintah Allah. Perlu ada iklim pembangunan dan perubahan yang kondusif supaya apabila dilaksanakan hudud ia menjadi pengukuh kepada sebuah sistem yang Islami.

'Lex Loci' bumi Malaysia

Posted:

'Lex Loci' bumi Malaysia

'Lex Loci' bumi Malaysia

TAN SRI DR. NORDIN KARDI Penyandang Kursi Za'ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris

MEMBACA titah diraja Raja Dr. Nazrin Shah pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur memang menggamit saya untuk memahami, menganalisis dan mengulas.

Namun, saya tiada keberanian menzahirkannya kerana sebagai orang Melayu kuranglah beradab bersuara sebelum dititahkan. Apabila saya mendapat pesanan ringkas daripada rakan rapat saya yang juga rapat dengan istana memberi isyarat bahawa istana seperti tiada halangan untuk saya menyentuh mengenainya secara terbuka, maka dengan rasa rendah diri, dengan ini memberanikan diri melakukannya.

Banyak perkara disentuh dalam titah itu seperti persejarahan Malaysia, kedudukan raja-raja, kedudukan agama Islam, kedudukan orang Melayu, menghalusi dasar bagi penguatkuasaan Perlembagaan, autoriti institusi dan infrastruktur agama Islam, dan pencerobohan dari kecil hingga yang besar terhadap kesucian agama Islam.

Hodoh adab saya jika sebagai hamba rakyat mengatakan ada cacat pada titah itu, namun sebagai rakyat Malaysia saya merasa titah sedemikian wajar dilebarkan maksud liputan perintahnya, bukan kepada orang Islam semata-mata, mengambil kira maksud semangat bahawa Malaysia adalah negara beraja dan ketua negaranya adalah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang melalui sesuatu musyawarah mewakilkan perintah itu kepada wakil baginda semua, iaitu Raja Dr. Nazrin.

Jika tidak dilihat seperti yang saya maksudkan, maka akan bertemurunlah nanti tafsiran bahawa Raja Melayu itu ialah raja untuk orang Melayu sahaja, sebaliknya raja Melayu adalah raja bagi setiap rakyat jelata yang menghuni bumi Malaysia.

Apabila Raja Dr. Nazrin pada perenggan ke-31 teks titah yang diterbitkan itu menzahirkan klausa lex loci of the land' maka pendirian saya ini terasa kuat akan benarnya.

Jika amalan undang-undang mentafsirkan lex loci sebagai undang-undang di sesuatu tempat maka titah diraja yang menyebutkan Islam sebagai lex loci of the land maka setiap rakyat jelata yang tinggal di bumi Malaysia sama ada mereka Islam atau bukan Islam, Melayu atau bukan Melayu hendaklah menjaga agama atau undang-undang itu walaupun mereka bukan penganut atau bertauhid kepadanya.

Di mana-mana pun, kalau begitu, apabila ada orang bertanya kepada rakyat Malaysia apakah agama negara bangsa kamu, mereka akan lebih dahulu menjawab agama negara bangsa kami ialah Islam. Selepasnya baharu menjawab agama peribadi kami ialah 'b atau c atau d'.

Maksudnya, semua rakyat Malaysia menjunjung, menjaga dan menjayakan suatu agama negara sebagai 'lex loci' termasuk segala peraturan dan pengecualiannya seperti perkenan perintah raja-raja Melayu yang merupakan raja negara bangsa.

Tanggungjawab terhadap perintah itu hendaklah dipatuhi oleh setiap rakyat jelata tanpa kekecualian sama seperti tanggungjawab-tanggungjawab lain sebagai warganegara Malaysia. Secara mudah kewajipan itu boleh difahami seperti wajibnya rakyat Malaysia membawa kad pengenalan di mana-mana sahaja mereka berada di bumi Malaysia dan wajib pula memiliki pasport Malaysia apabila berada di negara orang. Demikianlah kedudukan Islam sebagai lex loci bumi Malaysia.

Secara jelas titah itu menyebutkan bahawa Tanah Melayu yang diambil oleh Inggeris kemudian dipulangkan kembali kepada empunya tanah itu iaitu raja-raja Melayu. Dalam keadaan itu, raja-raja Melayu boleh memerintah negeri masing-masing dengan pemerintahan beraja mutlak tetapi raja-raja Melayu kemudiannya begitu pemurah menyerahkannya kepada rakyat untuk diurus setelah negara ditebus mengikut suatu tatacara yang dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Sehinggakan, raja-raja sanggup menyerahkan kuasa mengurus diri baginda-baginda sendiri pun kepada Perlembagaan itu. Perlembagaan itu menetapkan kewajipan-kewajipan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ditafsirkan dalam bahasa Inggeris sebagai Supreme Head, Supreme Ruler atau boleh juga Paramount Ruler bagi menggambarkan adanya ruler yang lain yang diwakili baginda. Secara teori dan yang tertulis dalam Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa eksekutif tetapi baginda melaksanakannya atas nasihat atau dilaksanakan oleh Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri yang kemudiannya menjawab pula di Parlimen atas pelaksanaan kuasa Yang di-Pertuan Agong itu.

Yang di-Pertuan Agong adalah antara segelintir Raja Pemerintah di dunia yang terlantik secara pemilihan dari kalangan raja-raja Melayu yang bermesyuarat apabila pemerintahan Yang di-Pertuan Agong tamat tempoh atau mangkat.

Oleh sebab raja-raja telah menyerahkan kuasa kepada rakyat melalui Perlembagaan, maka Perlembagaan telah mengatur cara-cara raja melaksanakan tanggungjawab baginda. Dua cara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan ialah: (1) budi bicara tanpa perlu persetujuan sesiapa pun dan, (2) melaksanakan sesuatu kuasa selepas dinasihati oleh Perdana Menteri atau Persidangan Raja-Raja.

Budi bicara Yang di-Pertuan Agong termasuk menentukan masa Persidangan Raja-Raja, pembubaran Parlimen dan yang penting pelantikan Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri tanpa mengira parti jika pada pendapat baginda orang itu akan mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Jika orang yang dilantik baginda itu diundi tidak percaya oleh Dewan Rakyat maka Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara seterusnya untuk melantik pula seseorang yang lain. Di satu lagi cabang Parlimen, iaitu Dewan Negara, 44 orang ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Oleh sebab Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh raja-raja Melayu itu Ketua Utama Negara maka setiap rakyat yang berkhidmat untuk rakyat adalah melaksanakan tugas bagi pihak baginda semua. Ini jelas apabila Perlembagaan Negara perkara 132 berkaitan perkhidmatan awam menyebut bahawa semua perkhidmatan awam meliputi: (a) angkatan tentera; (b) perkhidmatan kehakiman dan perundangan; (c) perkhidmatan awam am Persekutuan; (d) pasukan polis; (e) dimansuhkan; (f) perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133; (g) perkhidmatan awam setiap negeri; dan (h) perkhidmatan pendidikan, semuanya menjalankan tugas untuk kebajikan awam bagi pihak Yang di-Pertuan Agong.

Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong yang mewakili raja-raja Melayu itu berkuasa terhadap semua cabang pentadbiran negara yang merangkumi legislatif, judicial dan eksekutif.

Tidak juga boleh dilupakan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara juga adalah terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong kerana Perlembagaan memperuntukkan bahawa baginda adalah Supreme Commander angkatan tentera.

Apa yang saya cuba ketengahkan ialah, tidak mengapalah jika ada tafsiran dalam bentuk sejarah yang lain, Yang di-Pertuan Agong ialah raja bagi sekalian warganegara Malaysia, bukan raja bagi orang Melayu atau orang Islam sahaja. Maka titah diraja hendaklah menjadi titah kepada sekalian warganegara rakyat jelata.

Jika titah itu mewakili Yang di-Pertuan Agong seperti yang disebut oleh baginda Dr. Raja Nazrin maka titah itu sewajarnya mempunyai tafsiran dan kuasa eksekutif untuk dilaksanakan oleh Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri melalui peraturan-peraturan atau cara-cara yang boleh dan tidak pula bertentangan dengan Perlembagaan; oleh judicial yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara dan oleh legislatif yang mempunyai segala tatacaranya sendiri untuk menjadikan titah itu sesuatu undang-undang negara.

Demikian perasaan saya terhadap titah diraja itu dengan melihat bahawa raja-raja Melayu adalah penguasa, hakim dan penguat kuasa lex loci di bumi Malaysia seperti yang dinyatakan oleh Dr. Raja Nazrin. Namun begitu raja-raja pernah mengingatkan supaya kuasa raja-raja tidak dipohon kuasa eksekutifnya hanya apabila keadaan menjadi getir sedangkan dalam keadaan mewah dan riang raja-raja hanya dijadikan simbol dan penyeri acara rasmi.

Raja-raja adalah di atas sekalian rakyat jelata sama ada Islam atau bukan Islam. Melayu atau bukan Melayu. Maka setiap titah diraja berkaitan negara yang diperintah moleklah tidak ditujukan berulang-ulang hanya kepada orang Melayu atau orang Islam.

Teringat saya dahulu semasa menerima surat rasmi ditawarkan masuk ke universiti pada awal tahun 1970-an, sampul suratnya tertulis 'Urusan Seri Paduka Baginda'. Demikian juga apabila saya mendapat tawaran pekerjaan. Seluruh kampung yang melihat surat 'Urusan Seri Paduka Baginda' akan riuh kerana surat itu selalunya diletakkan di kedai terdekat dengan jalan raya. Penerimanya baik Melayu, Cina atau India, baik Islam, Kristian, Hindu, Buddha atau Pagan akan sama ada ketakutan atau berseri-seri wajah kerana isi surat dari sampul yang bercetak demikian. Masih adakah sampul surat sedemikian sekarang? Jika tiada, siapa mengubahnya?

Dulu sebelum 1996 Naib Canselor Universiti apabila dilantik akan menerima watikah perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Sekarang, memadailah nampaknya surat daripada Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian sahaja bagi pihak Menteri. Ada orang kata "ah, itu simbolik sahaja, tidak penting". Tidak mengapalah. Ampun Tuanku!

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved