Utusan Online - Selatan |
Posted: OKU mahu hak bersuaraOleh NORIZAN ABDUL MUHID MELAKA 2 Okt. - Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Melaka mahu golongan orang kurang upaya (OKU) dilayan secara adil dan diberi hak bersuara berhubung sesuatu projek pembangunan atau penyediaan prasarana di negeri ini. Pengerusinya, Hashim Ishak berkata, gesaan itu adalah seiring dengan keputusan Kabinet yang dibuat awal bulan lalu apabila melantik wakil OKU dalam jawatankuasa perancangan dan pembangunan pihak berkuasa tempatan (PBT). Menurut beliau, ia bagi membolehkan hak dan kepentingan golongan itu sentiasa diberi keutamaan khususnya dalam penyediaan kemudahan awam yang pada masa ini masih kurang diberi tumpuan oleh pihak terbabit. "Kita sangat berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana sentiasa memperjuangkan hak golongan OKU, kini PBT pula yang perlu memainkan peranan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Baru-baru ini Kabinet meluluskan cadangan kementerian terbabit yang mahu semua PBT melantik wakil golongan OKU sebagai ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab ke atas perancangan dan pembangunan di setiap PBT. Langkah itu bertujuan membela kesejahteraan dan memperjuangkan hak golongan OKU dalam rancangan pembangunan negara dan meningkatkan aksesibiliti golongan terbabit. Selain itu kata Hashim, keputusan tepat yang diambil pihak kerajaan itu selaras dengan Akta OKU 2008 dan Dasar Pelan Tindakan OKU Kebangsaan yang menekankan kepada kepentingan hak golongan itu untuk mengakses dengan mudah sebarang premis atau tempat. "Setakat ini, kita belum dengar apa-apa maklum balas daripada pihak PBT di Melaka berhubung keputusan kerajaan ini. Oleh itu, kita harap pihak berkenaan dapat bertindak segera. "Ini kerana ada PBT di sesetengah negeri sudah melantik wakil OKU dalam jawatankuasa pembangunan mereka," katanya. |
Jasa bantu penduduk miskin di Sikamat Posted: Jasa bantu penduduk miskin di SikamatMohammad Razi Kail, (depan dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Ismail Taib pada Program Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Prihatin di Seremban, semalam. SEREMBAN 2 Okt. - Sebanyak 30 keluarga golongan kurang mampu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dekat sini, menerima sumbangan pada Program Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Prihatin, hari ini. Golongan yang menerima bantuan itu terdiri daripada orang miskin, ibu tunggal, warga emas, pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU). Sumbangan berupa wang tunai RM100 dan keperluan dapur seperti beras, minyak masak dan gula itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri yang juga bapa angkat Dewan Undangan Negeri Sikamat, Datuk Mohammad Razi Kail. Hadir sama pada program yang antara lain bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin masyarakat dan penduduk setempat itu ialah wakil-wakil agensi kerajaan. Sementara itu, seorang penerima bantuan, Ismail Taib, 74, berkata, dia tidak lagi mampu bekerja keras kerana tidak lagi berupaya memanjat pokok kelapa setelah cedera akibat terjatuh selain menghidap asma. Bagaimanapun katanya, kehidupan harian perlu diteruskan walaupun dalam keadaan serba kekurangan. "Keperluan makan minum saya diuruskan oleh anak buah yang tinggal berdekatan. "Saya tidak mampu lagi melakukan kerja seperti dahulu kerana faktor usia dan kesihatan yang sering terganggu," ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan tersebut. Seorang lagi penerima bantuan, Che Wah Hitam, 60, berkata, kehidupannya kini tidak lagi sekuat dahulu setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat dirempuh kereta dua tahun lalu. "Nasib baiklah seorang anak saya masih bersekolah dan tinggal bersama. Jadi dapatlah dia membantu meringankan tugas saya di rumah. "Ini kerana sehingga kini, saya tidak lagi dapat berjalan dengan betul akibat kemalangan tersebut," ujarnya. |
3 beradik yatim piatu dapat bantuan Posted: 3 beradik yatim piatu dapat bantuanKamarulzaman Mohamad menyampaikan sumbangan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) kepada tiga remaja yatim piatu akibat kematian mengejut ibu bapa mereka di Felda Palong 12, Jempol, Negeri Sembilan, semalam. JEMPOL 2 Okt. - Nasib tiga beradik yang kehilangan ibu bapa dalam kejadian langgar lari di Jalan Kampung Palong 13, dekat sini, Rabu lalu, mendapat pembelaan apabila Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) tampil untuk menghulurkan bantuan. Ketua Pegawai Operasi GWGF, Kamarulzaman Mohamad berkata, atas dasar prihatin, pihaknya akan membantu Liahisma Tusdiana, 22; Lilipitriama, 19, serta Julai Normalah, 13 dari segi kewangan termasuk aspek pendidikan. "Kita akan cuba mengurangkan beban serta tidak mahu mereka menghadapi apa jua masalah selepas ibu bapa mereka meninggal dunia. "Kesemua mereka masih belajar dan GWGF akan membantu ketiga-tiga beradik ini untuk mendapatkan pendidikan sempurna," katanya di sini hari ini. Menurut beliau, GWGF akan terus memantau perkembangan remaja berkenaan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan nasib mereka terus terbela. "Mereka tidak bersendirian kerana kami akan sentiasa bersama mereka," janjinya. Jelas Kamarulzaman, pihaknya juga melancarkan Tabung Cakna GWGF yang bertujuan mengumpul sumbangan untuk diberikan kepada pihak yang memerlukan. "Selain masyarakat Felda, orang luar juga boleh menghulurkan sumbangan kepada tabung ini,'' ujarnya. Mengulas tentang masa depan adik-beradik tersebut, Kamarulzaman berkata, jika pencapaian akademik memberangsangkan, pihaknya akan cuba membantu mereka menyambung pelajaran hingga ke peringkat universiti. "Lagipun kerajaan telah mewujudkan program Menuju Destini Anak Bangsa (MDAB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM). "Jika layak, mereka berpeluang menyambung pengajian di sana," ujarnya. Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ismail Amin, 55, dan isterinya, Siti Hendon Andang, 50, maut setelah dirempuh dan digilis oleh sebuah lori yang terbabas di Jalan Kampung Palong 13, dekat sini. Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, Ismail maut di tempat kejadian manakala Siti Hendon meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Gugusan Palong 9 dekat sini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan