Isnin, 3 Oktober 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Jangan terlalu mendesak murid

Posted:

Jangan terlalu mendesak murid

Jangan terlalu mendesak murid

Oleh: MOHD. SHAH CHE AHMAD

TERTEKAN adalah situasi yang sering dihadapi oleh pelajar apabila menjelang peperiksaan. Keadaan itu akan mengakibatkan perubahan sikap dan tingkah laku mereka yang ketara seperti tidak selera makan, sensitif, tidak ingin bergaul dan sebagainya.

Masalah ini dikatakan boleh mengganggu tumpuan pelajar menghadapi peperiksaan malah boleh merosakkan masa depan mereka sendiri sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Oleh itu, kebijaksanaan ibu bapa dan guru yang mendidik penting dalam memastikan dan memantau perkembangan mereka agar sentiasa dalam keadaan yang baik dan terurus.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya, Abdul Halim Abdullah berkata, selain memberi tunjuk ajar kepada murid, cabaran seorang guru adalah mengawasi mereka agar tidak berhadapan sebarang masalah ketika menjelang hari peperiksaan.

Katanya, guru perlu memahami keadaan pelajar dan tidak boleh terlalu mendesak sesuatu di luar kemampuan pelajar itu sendiri.

Malah guru perlu mengajar mereka dengan kaedah yang mudah untuk diterima dan difahami.

"Kebijaksanaan guru penting dalam mendidik dan mendorong kejayaan pelajar kerana di peringkat umur itu, mereka sangat memerlukan panduan yang jelas untuk membawa mereka kepada kejayaan," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Beliau ditemui pada majlis bacaan Yasin, solat hajat dan munajat sempena menghadapi tiga peperiksaan utama.

Peperiksaan itu adalah Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula hari ini, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 14 November ini dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mulai 21 November 2011.

Majlis itu anjuran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP) dengan kerjasama Masjid Negara.

Abdul Halim berkata, salah satu kaedah terbaik bagi mengelak pelajar tertekan adalah melakukan solat hajat dan doa munajat seperti yang dianjurkan dalam majlis itu.

"Walaupun program solat hajat dan bacaan doa munajat telah diadakan di peringkat sekolah, namun dengan adanya majlis ini dapat mengumpulkan pelajar dari seluruh sekolah menengah sekitar Wilayah Persekutuan untuk sama-sama bermunajat memohon pertolongan daripada Allah," kata guru agama itu.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd. Amin Hashim berkata, mendidik anak bukanlah perkara yang mudah kerana ia merupakan amanah Allah dan ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan masa depan anak-anak.

Majlis itu katanya, dapat meningkatkan keyakinan anak sebagai persediaan dalaman mereka untuk menghadapi peperiksaan dengan tenang.

"Segala perbuatan kita akhirnya perlu kembali kepada Allah. Moga dengan majlis solat hajat dan doa munajat yang disertai pelajar bersama ibu bapa dan guru ini lebih dimakbulkan dan tercapai," katanya yang mengiringi anaknya, Muhammad Akram, bakal menduduki PMR.

Kulit lembap elak kedutan

Posted:

Kulit lembap elak kedutan

Kulit lembap elak kedutan

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR


Rawatan Terapi Intraceuticals Oksigen memberi kesan lebih ketara pada wanita berumur 30 tahun ke atas.


KECANTIKAN adalah satu topik yang subjektif untuk dibincangkan. Tetapi apabila ia diperkatakan sudah pasti insan bergelar wanita merupakan golongan yang akan memberi perhatian.

Walaupun sering disebut kecantikan sebenar lahir dari dalam diri seseorang, hakikatnya kecantikan luaran juga menjadi keutamaan.

Justeru, hari ini pelbagai cara digunakan termasuk melakukan pembedahan plastik, menyuntik kolagen, mengambil makanan tambahan dan sebagainya untuk mengekalkan kecantikan serta kesihatan diri.

Konsep kecantikan sebenar seharusnya bermula dengan kesihatan yang baik. Sebagai contoh, pengambilan banyak makanan yang mengandungi antioksida seperti buah-buahan mampu membantu menentang radikal bebas dan melindungi daripada kerosakan sel yang boleh mengakibatkan penuaan pramasa.

Pada masa yang sama, sebagai sebahagian daripada inspirasi untuk membantu orang ramai kekal cantik dan sihat, iHeal Medical Centre Kuala Lumpur memperkenalkan rawatan alternatif iaitu Rawatan Terapi Intraceuticals Oksigen.

Dalam erti kata lain, rawatan itu mentafsirkan bahawa kecantikan dan kesihatan sebenarnya mempunyai hubung kait antara satu sama lain.

Menurut pakar perubatan estetiknya, Dr. Abrizah Ousman, Rawatan Terapi Intraceuticals Oksigen adalah yang baik untuk meningkatkan penghidratan secara keseluruhan agar kulit sentiasa lembap dan halus sekali gus menghilangkan garis halus dan kedutan.

"Rawatan ini tidak sakit, mudah dan ringkas. Ia memberi kelembapan dan kesegaran serta-merta kepada kulit muka.

"Rawatan ini terdiri daripada tiga jenis gabungan serum iaitu rejuvenation hydrating infusion, opulence brightening infusion dan atoxelene anti-aging infusion," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, rawatan tersebut berasal dari Australia tetapi sangat popular di kalangan selebriti Hollywood sejak tahun 2001.

Katanya, apa yang membezakan rawatan tersebut dengan rawatan-rawatan lain ialah serum yang digunakan dapat meresap ke dalam kulit secara lebih berkesan melalui semburan di bawah tekanan hyperbarik oksigen berbanding dengan cucian biasa atau penggunaan produk kecantikan di rumah.

Rawatan ini juga sesuai untuk semua jenis kulit.

Jelas Dr. Abrizah, rawatan tersebut amat digalakkan bagi mereka yang mempunyai kulit kering, berkedut dan tidak bermaya kerana ia dapat mengembalikan kelembapan dan ketegangan.

Menurutnya, serum yang digunakan juga merupakan agen pelembap yang bagus.

"Antara bahan-bahan yang dikenal pasti dalam rawatan ini ialah asid hyaluronic, aloe vera, teh hijau, vitamin A, vitamin C, vitamin E, asid amino, panthenol, squalane, provitamin B5 dan banyak lagi.

"Dalam kulit kita sememangnya sudah mempunyai asid hyaluronik iaitu agen pelembap semula jadi namun kandungan ini akan beransur-ansur kurang selari dengan proses penuaan dan kesan persekitaran, jadi rawatan ini dapat mengembalikan kandungan agen pelembab di dalam kulit.

"Rawatan ini juga sebenarnya sesuai untuk mereka yang ingin menghadiri majlis-majlis sosial, karpet merah ataupun bagi mereka yang ingin bergelar raja sehari.

"Ini kerana sebaik sahaja rawatan yang dilakukan selesai, kulit kelihatan segar bermaya dan boleh terus bersolek dengan kesan solekan lebih rata serta kekal lama," katanya.

Bagi wanita-wanita yang berumur 30 tahun dan ke atas, rawatan itu pastinya memberikan satu keputusan yang baik di mana ia dapat melambatkan proses penuaan melalui peningkatan pengoksigenan pada kulit serta merangsang peredaran darah.

Selain itu, vitamin C dalam serum itu juga dapat mencerahkan rona kulit.

Perubahan-perubahan tersebut dapat dilihat sejurus selepas menjalani sesi rawatan yang hanya mengambil masa selama 45 minit.

Untuk mendapatkan kesan positif jangka masa panjang adalah digalakkan untuk melakukan rawatan ini setiap minggu untuk enam minggu berturut-turut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved