Utusan Online - Politik |
Posted: Gandingan Hadi-Nasha mantapNasharudin Mat Isa dan Nasruddin Hassan bersama barisan kepimpinan Pemuda Pas Pusat pada Majlis Perasmian Muktamar Pemuda Pas ke-52 di Dewan MBSA Shah Alam Selangor, malam tadi. SHAH ALAM 1 Jun - "Gandingan sedia ada sudah mantap dan tiada sebarang masalah antara mereka mahu pun kepada parti." Demikian tegas Timbalan Musyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din ketika ditanya mengenai gandingan antara Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Menurut beliau, sepanjang pengamatannya, tiada sebarang masalah dalam gandingan Abdul Hadi dan Nasharudin, malah keberkesanan gandingan mereka juga diakui oleh banyak pihak. Bagaimanapun, jelas Haron, siapa bakal Timbalan Presiden yang bakal dipilih untuk bergandingan dengan Abdul Hadi selepas pemilihan kali ini, terletak pada tangan para perwakilan. Mengenai kelangsungan kepimpinan ulama kali ini, Timbalan Mursyidul Am itu berkata, beliau mendokong penuh ketetapan yang dibuat pada muktamar 1980 yang menetapkan bahawa presiden harus seorang ulama. Katanya, sebagai seorang Timbalan Mursyidul Am, beliau wajib mempertahankan kepimpinan ulama dalam Pas, yang mana pemahaman kepada konsep tersebut adalah presiden dan timbalannya mesti ulama. "Benar dalam konsep kepimpinan ulama, jawatan tertinggi mana yang perlu diisi oleh ulama dibiarkan 'tergantung'. Tapi sudah menjadi ketetapan bahawa presiden mesti seorang ulama dan timbalannya juga begitu. "Ini kerana, andai kata berlaku sesuatu kepada presiden sehingga memaksa timbalannya mengambil alih, maka pada masa itu jika timbalan seorang profesional, ia bertentangan dengan ketetapan muktamar 1980. "Jika hal ini berlaku, akan wujud satu keadaan yang pada saya tidak menguntungkan Pas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan calon Naib Presiden, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mahu kepimpinan ulama dikekalkan. Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan pelbagai pihak termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan bahawa wujud 'pengacau' yang cuba 'mencatur' pemilihan Pas, beliau tidak menolak kemungkinan itu. Katanya, adalah menjadi perkara biasa bagi sebuah parti politik di Malaysia apabila pihak luar cuba untuk 'membaling batu' bagi mencetuskan pergolakan dalaman sesebuah parti lawan mahu pun rakan. "Saya sendiri tiada maklumat tetapi saya percaya dakwaan Nasruddin itu dibuat berlandaskan fakta dan bukti kerana di dalam Pas kami tidak dididik untuk memfitnah orang lain," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Pas tidak berganjak dari dasar Islam Posted: Pas tidak berganjak dari dasar Islam
SHAH ALAM 1 Jun - Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa malam ini menegaskan bahawa parti itu sama sekali tidak akan berganjak daripada prinsip asalnya berteraskan al-Quran dan hadis walaupun menjadi sekutu kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Katanya, penegasan itu sudah termaktub amat jelas dalam perlembagaannya bahawa dasar perjuangan Pas adalah Islam. ''Inilah manhaj dan main essence yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW yang kemudiannya diikuti para sahabat, direntasi dengan gigih oleh para mujahid dakwah dalam era negara bangsa moden masa kini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat, di sini. Nasharudin yang akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-57 Jumaat ini, turut menyeru ahli-ahli Pas menolak sebarang amalan politik berlandaskan matlamat menghalalkan cara yang cuba diserapkan ke dalam parti berkenaan. ''Pas sebagai sebuah parti politik Islam akan terus memainkan peranan utamanya meletakkan al-Quran, sunah, ijmak dan qiyas sebagai sumber sahih rujukan dan dasar perjuangannya dengan berteraskan kepada akidah ahli sunnah wal jamaah. ''Amalan syura yang berkesan pula akan membantu pimpinan mengemudi organisasi dengan cekap dan mendapat keredhaan Allah SWT. ''Gabungan tenaga di antara barisan pimpinan yang bijak dan pengikut yang setia di bawah manhaj yang tersusun kukuh akan menghasilkan natijah yang diharapkan dan bakal melahirkan Jundullah yang dinanti-nantikan," katanya. Oleh itu tegas beliau, sebarang usaha yang dilakukan di luar kaedah-kaedah tersebut harus ditolak dan tidak dapat diterima sebagai amal-amal Islam. ''Ini kerana bagi kita yang mendukung Islam, 'tujuan tidak menghalalkan cara' politik ala-Machiavelli adalah haram dan tidak dapat diterima langsung. Kita mesti berani, bijak dalam berjuang kerana kebenaran dan kita menolak apa-apa yang batil dan mungkar walaupun daripada anggota dan jemaah kita sendiri," katanya. Beliau berkata, ahli-ahli Pas juga mesti berani melakukan transformasi diri, tidak kira di peringkat mana pun mereka berada. Dalam ucapan yang bertajuk 'Memantapkan Dan Mengemudi Jemaah Ke Arah Kejayaan', Nasharudin yang turut memaparkan hasrat pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang menegaskan, ahli-ahli Pas perlu bersedia mengubah minda rakyat jelata. ''Kita mesti bersedia mengubah minda rakyat untuk benar-benar memahami misi kita dan apakah bentuk landskap politik yang akan kita bina jika kita berjaya menguasai Parlimen," katanya. Oleh itu tegas beliau, Pas perlu mencari kaedah terbijak untuk melakukan transformasi kepada rakyat yang bakal mengubah kerajaan sedia ada dengan menyebelahi pakatan pembangkang. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan