Rabu, 22 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Imigresen NS tahan 36 PATI

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

ANGGOTA Imigresen Negeri Sembilan dan Rela mengawal sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi memburu PATI di kawasan pembinaan di Nilai dan Seremban, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

SEREMBAN 21 Jan. - Jabatan Imigresen negeri berjaya menahan 36 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi yang dilakukan di beberapa buah lokasi termasuklah kawasan pembinaan sekitar kawasan bandar ini dan Nilai, dekat sini pagi tadi.

Pengarahnya, Faizal Fazri Othman menjelaskan, operasi yang bermula pukul 12 dan berakhir pukul 6 pagi itu menyaksikan 163 warga asing dari pelbagai negara diperiksa di enam buah lokasi berasingan di bandar Seremban dan Nilai.

Menurut Faizal, mereka yang ditahan masing-masing berusia lingkungan 21 hingga 54 tahun yang terdiri warga Indonesia, Bangladesh, India dan Myanmar.

"Lokasi yang kita serbu kali ini ialah dua rumah kongsi iaitu di Mukim Labu dan Nilai manakala empat lagi di premis di sekitar kawasan Seremban.

"Dalam serbuan di rumah kongsi di Bandar Baru Nilai, kita turut menemui sebilah parang di kawasan bukit berhampiran dipercayai milik warga asing yang berjaya meloloskan diri," katanya.

Sementara itu katanya, dalam serbuan lain, pihaknya juga berjaya menahan seorang majikan warga tempatan mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen kerana menggaji dan melindungi pekerja asing.

Faizal berkata, manakala semua warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(4) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 39(b) akta sama kerana menyalahguna pas lawatan.

"Dalam operasi di sebuah tapak pembinaan juga pihak kami juga telah berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar yang sedang tidur di dalam sebuah lori 'hantu' di tapak pembinaan di Nilai.

"Kehadiran lelaki berusia lingkungan 30-an itu berjaya dikesan oleh anggota Imigresen beberapa minit sebelum operasi berakhir," katanya.

Kata Faizal, semua warga asing yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Lenggeng untuk tindakan lanjut.

Jelas Faizal lagi, pihaknya percaya usaha kerajaan memburu lebih ramai warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen memberi kesan positif apabila semakin ramai daripada mereka dikesan mempunyai dokumen yang sah.

Pantau semua pasar basah

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

Ismail Othman

MELAKA 21 Jan. - Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan negeri disaran meningkatkan pemantauan di pasar basah seluruh negeri ini bagi memeriksa kemungkinan terdapatnya punca penyebaran penyakit bawaan haiwan perosak dan nyamuk aedes.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, pasar basah terdedah menjadi tempat pembiakan haiwan perosak seperti tikus dan nyamuk aedes sekiranya tiada pemantauan dan usaha pencegahan dilakukan.

Menurutnya, sikap para peniaga yang tidak mementingkan kebersihan ruang perniagaan juga perlu diberikan perhatian oleh agensi terlibat bagi memastikan bahan mentah dijual tidak dicemari dan boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

"Tinjauan saya di beberapa pasar basah, keadaannya tidak begitu memuaskan kerana selain kotor dan becak, ruang niaganya berselerak dengan barang tidak disusun dengan baik yang dikhuatiri dapat mengundang tikus dan haiwan perosak lain.

"Saya minta PBT dan Jabatan Kesihatan turun padang untuk memeriksa dan mengambil tindakan yang perlu supaya setiap pasar di negeri ini bebas daripada penyebaran penyakit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan bersama Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik di Pasar Besar Melaka Sentral, di sini semalam.

Katanya, demi memastikan keselesaan pengguna, aspek kebersihan bahan mentah dan persekitaran perlu dititikberatkan oleh semua peniaga terutama yang menjalankan perniagaan barangan basah seperti ayam, daging dan ikan.

"Kepada peniaga barangan basah, saya menyarankan agar menggunakan pakaian yang sesuai dan memakai apron supaya nampak lebih kemas yang saya percaya akan dapat menarik lebih ramai pembeli berbanding dengan peniaga yang tidak menjaga aspek pemakaian.

"Selain itu, pastikan ruang niaga sentiasa bersih dan tiada air bertakung di kawasan itu yang bukan sahaja menyebabkan pembeli kurang selesa malah berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes jika dibiarkan," katanya.

Majlis Agama Islam Melaka tingkat pemantauan di dua lokasi Syiah

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

MELAKA 21 Jan. - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti Syiah di negeri ini terutamanya di kawasan Semabok dan Paya Dalam, Ayer Molek bagi memastikan gerakan tersebut tidak terus berleluasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sehingga hari ini, beberapa tindakan telah diambil MAIM termasuk merampas barang berbentuk sebaran tulisan serta menyoal beberapa individu berkaitan gerakan itu.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri berjaya menyekat beberapa pergerakan yang dilakukan kumpulan tersebut di negeri ini termasuk pengedaran bahan cetak dan bahan bacaan.

"Kita berusaha mengekang semua kegiatan ini malah telah meletakkan pemantau terutamanya di kawasan Semabok dan Paya Dalam agar kegiatan mereka tidak berkembang," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini semalam.

Idris dalam pada itu turut bersependapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa ajaran Syiah adalah tidak dibenarkan dan masyarakat Islam di negara ini perlu berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya lagi, Melaka turut bersetuju dengan angka yang telah dikeluarkan Jakim bahawa terdapat seramai antara 500 hingga 2,000 pengikut ajaran tersebut di seluruh negara.

"Saya percaya di negeri ini pula, hanya terdapat antara 200 hingga 300 orang pengikut ajaran tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain Idris berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melantik 12 penolong pegawai penguat kuasa untuk diletakkan di sekitar pusat-pusat judi berlesen di negeri ini bagi mencegah orang Islam daripada mengunjungi premis tersebut.

"Mereka ini akan bertanggungjawab memberi nasihat kepada pengunjung beragama Islam supaya tidak terlibat dalam aktiviti tidak dibenarkan Islam itu termasuk mengambil nama, mencatit nombor kenderaan dan mengambil gambar.

"Tindakan ini akan menjadi keutamaan kita dan bakal dilaksanakan segera," tambahnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved