Rabu, 22 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Flat Pekeliling tinggal kenangan

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Selepas dibuka kira-kira 45 tahun lalu, Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak di sini bakal hilang dari pandangan orang ramai apabila kerja-kerja merobohkan baki lima blok perumahan itu akan dimulakan esok.

Merupakan antara flat tertua di Kuala Lumpur, ia dibina oleh kerajaan bertujuan membantu golongan setinggan dan perantau yang berhijrah dari desa untuk memulakan hidup di ibu kota pada penghujung tahun 60-an.

Dianggarkan 12,000 penghuni pernah mendiami flat yang mengandungi 11 blok itu sebelum mereka dipindahkan ke kawasan berhampiran antaranya Perumahan Awam Desa Rejang di sini pada 2005.

Pemindahan itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja merobohkan flat tersebut dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi tujuan pembangunan projek komersial.

Dengan sejarahnya yang panjang, tidak hairanlah, banyak penghuninya menyimpan pelbagai kisah pahit manis semasa tinggal di flat yang mempunyai hanya satu bilik tidur dan satu bilik air itu.

Salah seorang bekas penghuni, Ismail Shaari, 52, yang kini merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang berkata, dia tidak akan melupakan bangunan tersebut yang strategik dengan banyak kemudahan.

Di Flat Pekeliling agak senang untuk kami ke mana-mana kerana di sekitarnya terdapat hentian teksi, bas, sistem transit aliran ringan dan KL Monorel.

Saya pernah berniaga makanan di kawasan itu apabila diberi peluang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyewa gerai dengan hanya RM30 sebulan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Perumahan Awam Desa Rejang di sini hari ini.

Bekas anggota tentera itu menceritakan, dia hanya perlu membayar sewa rumah sebanyak RM94 sebulan, berbanding RM124 sebulan apabila dipindahkan ke perumahan baharu yang terletak kira-kira 7 kilometer dari flat itu.

Kalau diberi pilihan, saya lebih suka tinggal di Flat Pekeliling kerana anak-anak saya juga membesar di flat tersebut. Apakan daya, demi memajukan kawasan tersebut, terpaksalah akur dengan arahan untuk berpindah," katanya.

Bagi Wan Normah Long, 49, dia mula memohon kepada DBKL untuk mendapatkan penempatan di Flat Pekeliling kerana menghadapi kesulitan kewangan pada tahun 1996.

Saya tidak teragak-agak untuk membuat permohonan kerana mendapat tahu sewanya amat murah berbanding di tempat lain," katanya.

Mengenai kisah menarik di flat itu, Wan Normah berkata, dia pernah melihat tiga kes bunuh diri melibatkan individu yang terjun dari tingkat atas flat itu.

Sementara itu, Suwaibah Abdul Halim, 47, memberitahu, pada mulanya dia menumpang di rumah kakaknya di flat tersebut setelah berumah tangga pada tahun 1988.

Apabila saya dikurniakan seorang cahaya mata, kakak saya membuat keputusan untuk berpindah dan mahu kami sekeluarga tinggal di situ bagi menggantikan tempatnya" ceritanya.

Kosong, terbiar umpama rumah hantu

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

PEMANDANGAN dari bahagian luar Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD NOR
KEADAAN berselerak di tingkat bawah Flat Pekeliling yang terbiar sejak enam tahun lalu.
DINDING flat diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Flat Pekeliling yang dikosongkan oleh penduduk sejak enam tahun lalu berada dalam keadaan terbiar dan usang.

Kerja-kerja merobohkan blok-blok bangunan flat itu bermula secara berperingkat-peringkat sejak 2005 untuk memberi laluan kepada pembangunan projek komersial, Tamansari.

Bagaimanapun, sehingga kini masih ada lima blok yang belum dirobohkan ekoran beberapa masalah teknikal.

Akibat dibiarkan bertahun-tahun lamanya, bangunan itu menjadi sarang penagih dadah serta merupakan kawasan 'panas' bagi aktiviti jenayah.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati kawasan tersebut amat kotor dan tidak terurus, namun percaya dengan tindakan pemaju yang akan membangunkan tempat itu.

Terdapat longgokan batu-bata serta kayu dan sampah di dalam kelima-lima blok flat tersebut.

Suasana di dalam bangunan tersebut, ibarat memasuki rumah hantu kerana keadaannya yang gelap dengan pelbagai peralatan berselerak di sana sini.

Selain itu, terdapat contengan pada dinding bangunan.

Bukan itu sahaja, terdapat beberapa tumbuhan seperti pokok yang sudah mula tumbuh di celah dan atas bangunan tersebut.

Perkara yang membimbangkan, ada juga cebisan kaca yang berselerak di permukaan kawasan bangunan dan tindakan menghalang orang awam daripada memasuki kawasan tersebut merupakan keputusan yang sangat tepat.

Sementara itu, barang-barang yang dipercayai milik bekas penghuni juga masih kelihatan antaranya bantal, beg, kasut dan pakaian.

Tidak habis di situ, pintu-pintu rumah juga didapati pecah dan hanya dibiarkan tersadai di atas balkoni flat tersebut.

Sudah sampai masanya untuk bangunan itu dirobohkan supaya proses membangunkan semula kawasan tersebut dapat dimulakan dengan segera.

Penduduk rayu batal projek

Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

SELAYANG 21 Jan. - Gabungan Persatuan-Persatuan Penduduk Templer Park dan ahli Kelab Golf Perangsang Templer (PTGC) berharap kerajaan negeri tidak meluluskan projek pembangunan komersial di atas tanah seluas 79 hektar di kawasan itu.

Pengerusinya, Datuk Mukhtar Ismail berkata, isu pembangunan di kawasan terbabit akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Selangor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada bulan depan.

Beliau berkata, pihaknya telah berbincang dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd. Azizi Mohd. Zain dan pihak Jabatan Perancang MPS hari ini dan mereka akan membangkitkan perkara itu semasa mesyuarat tersebut untuk keputusan muktamad.

Kami meminta supaya perancangan untuk menukar syarat kawasan rekreasi kepada kawasan komersial tidak akan diluluskan.

Kami juga berharap ia akan diberi pertimbangan sewajarnya selepas mendengar bantahan kami. Lagipun, MPS telah dua kali menolak permohonan mengubah syarat tersebut setelah didesak oleh pemilik tanah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut bersama kira-kira 30 penduduk Templer Park di Bangunan MPS di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Ir. Iskandar Abdul Samad; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer, Zaidy Abdul Talib.

Pada Februari tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 1,600 ahli PTGC terkejut dengan penjualan tanah bernilai RM1.24 bilion oleh kerajaan negeri kepada sebuah syarikat pemaju perumahan untuk dilaksanakan pembangunan bercampur-campur.

Sebelum ini, sebanyak 4,000 penduduk dari kawasan tersebut membantah Cadangan Pindaan Guna Tanah Bagi Blok Perancangan (BP) 9.1 di atas tanah lapang dan utiliti itu kepada perumahan dan perniagaan.

Mereka membantah kerana pindaan tersebut akan menjadikan kawasan Templer Park berdensiti tinggi berbanding yang dijanjikan sebelum ini.

Dalam pada itu, Mukhtar memberitahu, Templer Park yang dihadiahkan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah pada 1954 adalah kawasan tadahan air yang dikhuatiri akan terjejas sekiranya pembangunan tersebut dilaksanakan.

Menurut Jabatan Perancang MPS, kawasan PTGC akan dikekalkan sebagai kawasan rekreasi hingga tahun 2020 mengikut perancangan asal selain ia telah digazetkan oleh MPS pada 2010," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Azizi berkata, pihaknya akan mengemukakan segala bantahan penduduk Taman Templer termasuk pertubuhan bukan kerajaan sebelum ini untuk dibangkitkan semasa mesyuarat dengan Menteri Besar itu nanti.

Jika keputusan mesyuarat meluluskan projek tersebut, maka pihak pemaju perlu mematuhi segala syarat-syarat pembangunan oleh MPS," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved