Utusan Online - Feminin |
Posted: 21 Jan 2014 10:11 PM PST Oleh NOOR FAZRINA KAMAL SEPERTI biasa soalan lazim yang saya akan ajukan kepada gadis penghias muka depan MEGA ialah tentang kerjaya mereka dan seperti biasa juga jawapan yang diterima memang berbeza-beza. Namun jawapan yang diterima daripada personaliti minggu ini, Noorfarhana R. A. Rahman benar-benar mengejutkan. Masakan tidak, si cantik tinggi lampai berusia 18 tahun ini bekerja sebagai pegawai pengurusan jenazah. Gadis kelahiran Kuala Lumpur yang selesa disapa Vina ini, langsung tidak kekok menceritakan skop tugasan yang biasanya digeruni oleh sesiapa sahaja. Dia malah begitu teruja berkongsi tugasan yang memang nyata berbeza daripada kebanyakan kerjaya untuk gadis sepertinya. "Kita sering mendengar tentang kematian pendatang dari negara luar dan kemudian jenazah mereka akan dihantar pulang ke negara asal. Kebetulan saya bekerja di satu-satunya syarikat pengurusan jenazah milik bumiputera, sebagai pegawai yang menguruskan dokumentasi seperti sijil mati, urusan di kedutaan, pembelian tiket kapal terbang, pengawetan mayat dan memastikan jenazah selamat tiba ke pangkuan ahli keluarga di tanah air mereka," ujar Vina membuka bicara. Menurut Vina, kes kematian yang dirujuk padanya berlaku boleh dikatakan setiap hari. Setiap kes yang diterima perlu diuruskan dalam tempoh 24 jam dan sebelum dihantar mayat mesti diawet walaupun hanya perlu diterbangkan ke Sabah dan Sarawak. "Kalau jenazah Islam, kami mempunyai ustaz dan ustazah yang akan menjalankan proses mandi, kafan dan proses mengawet mayat. "Memang menjadi syarat jenazah yang hendak diterbangkan perlu diawet dengan cara mengeluarkan semua darah mereka dan digantikan dengan cecair formalin bagi memastikan jenazah tidak membusuk. Setelah sampai ke negara asal jenazah hanya perlu terus dikebumikan" cerita Vina penuh teruja. Ketika ditanya tiadakah perasaan takut atau seram terlibat dalam perniagaan ini, bagi Vina ini semua dilakukan kerana minat dan didorong perasaan ingin tahu. "Tunang saya yang mendedahkan pada perniagaan ini dan saya pula makin lama makin minat. Rasa takut tiada pula sebab tunang saya biasa ceritakan pengalaman dia sejak dulu lagi. "Saya tidaklah sampai tiada selera makan setelah tengok mayat, semuanya biasa sahaja dan kerjaya seperti ini memang memberi keinsafan pada saya. Bagi saya, sebagai manusia kita semua akan menempuh kematian dan akan ada orang yang menguruskan kita kelak. "Mati tidak mengira usia, bayi, remaja, tua dan muda semua boleh mati. Kadang-kadang ketika kita sedang gembira, kita tidak tahu ada yang berduka akibat kehilangan ahli keluarga, sebab itu saya kata terlibat dalam dunia pengurusan jenazah memang mematangkan saya," ujarnya panjang lebar. Vina mengakui berasa amat bertuah kerana terlibat dalam dunia pengurusan jenazah, malah selepas ini dia akan mendalami ilmu dalam bidang pengawetan mayat dengan mendapatkan lesen dan berkursus di Filipina untuk tujuan tersebut. Vina dan gadis litar Dalam pada itu, ramai yang tidak mengetahui Vina juga aktif dalam dunia peragaan yang sudah tentu jauh menyimpang dengan kerjaya yang disandang sekarang. Sebagai model dia pernah menjadi gadis penyeri untuk majlis pelancaran enderaan mewah seperti Maserati, Ferrari dan menjadi gadis liatar (gridgirl)bagi pelumba Formula One (F1) di litar Sepang. Bagi Vina tidak sukar membahagikan masa kerana sejak tingkatan dua dia sudah mula melakukan kerjaya sambilan. "Kalau waktu sekolah dulu ketika rakaman untuk drama saya bawa buku nota, kalau ke kelas pula ada ketikanya saya bawa skrip. Saya memang boleh bahagikan masa dan kini sementara tamat sekolah, sambil bekerja mengurus mayat saya lakukan kerja sambilan seperti model dan gadis litar. "Ada yang beranggapan gadis litar ini seksi, tetapi bagi saya sebagai gadis litar yang membawa nama Petronas kami memang perlu menjaga diri kami. Malah kami turut mempunyai penjaga yang akan memantau pergerakan dan keselematan kami. "Lagipun kerjanya mudah, kami hanya perlu memayungi pelumba, duduk, bergaya dan apabila pelumba panas kami hidangkan air kepada mereka. "Sebenarnya saya terlibat dalam dunia litar ini pun kerana tunang saya yang juga meminati sukan bermotor," cerita Vina lagi. Bagi Vina dia tidak kisah mengalami sunburn malah menganggap dirinya bertuah kerana dapat mengenali pelumba hebat dan mengiringi pemenang untuk mengambil hadiah di podium. Harapan Vina Vina mengakui memang tidak suka membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Sebab itu segala ruang yang ada diambil peluang bagi menambah pengalaman dan pengetahuan. Dia juga tidak mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang yang tidak diminatinya, sebaliknya Vina sudah jelas hala tuju dan kini menunggu peluang untuk merealisasikan matlamat dirinya. Kerjaya sambilan sebagai model dan gadis litar juga adalah ruang baginya untuk mengasah skil komunikasi dan menambah keyakinan diri. "Saya mahu mencuba semua bidang kerana mahu lihat dimana potensi saya sebenarnya," kata Vina mengakhiri bicara. |
Posted: 21 Jan 2014 10:11 PM PST Camouflageatau celorengbakal menjadtrend popular pada 2014. MIRABELLEOFFICIAL ditubuhkan pada Julai 2013 sebaik sahaja Amirah Suaidah Haris Fadzilah, 24, atau Eamy menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Melaka dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan pengkhususan dalam bidang Sumber Manusia. Secara ringkasnya, kata gadis kecil molek ini, kedai dalam Instagram ditubuhkan kerana minat yang mendalam dalam bidang perniagaan, fesyen dan bidang kecantikan. Minat dan kesungguhan Eamy dibuktikan, walau hanya beroperasi menerusi laman sosial tersebut dia kini mempunyai pengikut sebanyak 10,581 dalam masa tujuh bulan sejak akaun mula diwujudkan. Bagi Eamy, sebagai peniaga fesyen dalam talian dia harus sentiasa peka dengan perubahan fesyen di luar dan dalam negara. Eamy tidak menafikan, artis dan selebriti adalah antara penentu trend yang menjadi ikutan kebanyakan peminat fesyen. Sebagai contoh, trend camouflage atau juga dikenali sebagai fesyen menggunakan kain motif celoreng antara yang menjadi perhatian di Instagram MirabelleOfficial. Menurut Eamy, trend ini bermula dari Amerika Syarikat dan Eropah kemudian berkembang sehingga ke seluruh dunia bermula sejak awal tahun 2013. "Camouflage digunakan pada mulanya oleh pemburu-pemburu di hutan supaya kelihatan samar atau tidak kelihatan terhadap haiwan lalu memudahkan aktiviti pemburuan. Selepas itu, trend ini berkembang apabila pereka-pereka pakaian menambahkan corak dan warna supaya pakaian tersebut kelihatan lebih menarik serta menyerlah apabila berada di tempat awam. "Untuk koleksi camouflage, saya menjanjikan corak kain dan warna yang menarik serta kualiti pakaian yang berpatutan dengan harga yang ditawarkan. Kesemua koleksi camouflage dijual bawah harga RM50 untuk setiap helai," ujar Eamy yang hadir ke studio Utusan Malaysia baru-baru ini. camouflage dan Instagram Menurut Eamy, trend camouflage mula menjadi ikutan pada tahun 2013, di mana ketika itu ramai peniaga dalam talian dan pemilik butik-butik berjenama menghasilkan pelbagai corak dan rekaan bagi memenuhi permintaan pasaran yang agak tinggi. "Pada pandangan saya, celoreng atau camouflage ini dilihat sebagai sesuatu yang baharu dan menarik malah mempunyai golongan peminat yang tersendiri. "Instagram merupakan satu cabang atau peluang untuk memperkenal produk kepada pelanggan dengan lebih dekat dan mudah. Selain itu, ia juga boleh menjadi batu loncatan atau permulaan bagi seseorang untuk memasuki bidang perniagaan dan meningkatkan skil jualan dan pemasaran. Alhamdulillah setakat ini semua pelanggan saya memberi kerjasama dan maklum balas yang positif Harapan saya agar perniagaan ini terus dikenali ramai dengan produk-produk yang menepati citarasa pelanggan dan mengikut peredaran masa," jelasnya. - NOOR FAZRINA KAMAL |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan