Utusan Online - Mahkamah |
Permohonan bebas dua wanita ditolak Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST Oleh AZHARI ZAINOODDIN Zuzita Ahmad (kanan) dan Ooi Hooi Ling ketika dihadap ke mahkamah berhubung pertuduhan menculik bayi di Mahkamah Sesyen di Pulau Pinang, semalam.- BERNAMA PULAU PINANG 22 Jan. - Dua wanita yang menghadapi tuduhan menculik dan memperdagang seorang bayi berusia tujuh bulan terpaksa meringkuk lebih lama di dalam lokap setelah Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan mereka untuk dibebaskan dengan jaminan. Hakim Zul Hazmi Abdullah memutuskan demikian selepas peguam Choo Hueay Ting yang mewakili kedua-dua tertuduh iaitu Zuzita Ahmad, 43, dan Ooi Hooi Ling, 37, memohon budi bicara mahkamah agar membenarkan jaminan terhadap kedua-dua anak guamnya itu. Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvarajini sebelum itu membantah jaminan diberi atas alasan kedua-dua tertuduh berdepan dengan pertuduhan yang tidak dibenarkan jaminan. Pada prosiding hari ini, mahkamah turut menetapkan perbicaraan kes tersebut pada 24 Februari ini. Zuzita yang bekerja sebagai kerani dan Hooi Ling sebagai pembantu kedai mengaku tidak bersalah atas tuduhan menculik bayi tersebut daripada jagaan neneknya di Blok 2-3-1 Lorong Lembah Ria 1, Taman Happy Valley, Air Itam, di sini pada pukul 3.30 petang, 12 Disember tahun lalu. Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Kedua-dua wanita itu turut didakwa memperdagang bayi terbabit bagi maksud eksploitasi untuk mendapatkan wang di Surau Rumah Panjang Tanjung Tokong pada pukul 5 petang, hari yang sama. Bagi pertuduhan kedua itu, tertuduh-tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda. |
Wanita didakwa pecah amanah RM15,000 Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST SHAH ALAM 22 Jan. - Seorang bekas kerani eksekutif wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah wang lebih RM15,000 milik majikannya, tahun lalu. Shazreela Yahya, 34, yang ketika itu bekerja di sebuah syarikat insurans didakwa melakukan perbuatan tersebut melibatkan wang kira-kira RM15,385 di syarikat SAG Risk Management Sdn. Bhd., Persiaran Raja Muda Musa, di sini. Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh ibu empat anak itu antara pukul 11 pagi, 15 April 2013 dan pukul 2 petang, 29 Ogos 2013. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda. Timbalan Pendakwa Raya, Asma Nadiah Abd. Rahman yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar wanita itu diikat jamin RM7,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin. Hakim G. Ramesh bagaimanapun memerintahkan tertuduh yang diwakili peguam, V. Shalini Devi diikat jamin RM9,000 untuk semua pertuduhan dengan dua penjamin. Mahkamah turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Februari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan