Utusan Online - Keluarga |
Posted: 21 Jan 2014 10:11 PM PST MACAM menjadi-jadi pula kes sihir melibatkan rumah tangga. Kalau minggu lepas menemu bual seorang sahabat lama yang berkongsi kisah ibu mentua 'membomoh' anak sendiri. Minggu ini sekali lagi kisah yang sama tetapi tak serupa melanda Maisarah, 40-an (bukan nama sebenar) juga tentang ibu mentua. Pengakuan Maisarah direkodkan menerusi emel sahaja kerana dia tinggal jauh di utara tanah air dan sukar baginya untuk melapangkan masa untuk ditemui di Kuala Lumpur. Cerita Maisarah bermula sejak tahun 2000 ketika itu usianya 30 tahun dan ibu bapanya sudah mula risau anak dara mereka masih belum bertemu jodoh. "Saya ketika itu sudah lebih lima tahun bekerja sebagai pramugari. Kerjaya saya di awan biru mungkin menyukarkan saya mencari jodoh, lalu saya serahkan kepada ibu bapa untuk memilih calon suami saya," katanya. Rupanya Maisarah memang telah dirisik beberapa penduduk kampung. Ramai yang berkenan dengan Maisarah yang mempunyai bentuk tubuh ramping, tinggi lampai dan cantik. Tambahan lagi kerjaya Maisarah sebagai pramugari, memang menjadi kebanggaan penduduk di kampungnya. "Daripada tiga calon yang datang merisik, emak dan abah akhirnya menerima pinangan seorang pemuda kampung yang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan. "Menjamin masa depan kata mereka. Saya akur sahaja kerana bagi saya pilihan ibu bapa itulah yang terbaik dan semuanya direstui mereka," imbasnya lagi. Tanpa mengambil masa yang panjang, Maisarah dan Azfar (bukan nama sebenar) dijodohkan dalam satu suasana meriah namun sederhana. Mentua Maisarah, Halimah (bukan nama sebenar) adalah orang yang paling teruja dan bersemangat dengan perkahwinan tersebut. "Saya dapat rasakan saya seorang menantu yang bertuah kerana disayangi ibu mentua. Dia memang bangga dengan kerjaya saya, malah sesiapa sahaja yang dijumpainya pasti diceritakan tentang kerjaya saya. "Selepas berkahwin, saya ajak suami berpindah ke Kuala Lumpur. Suami yang bekerja kerajaan mudah bertukar tempat kerja mengikut yang dikehendaki. Akhirnya kami membeli sebuah kediaman tidak jauh dari pusat bandar dan menetap di situ hinggalah saya bersalin anak sulung," imbas Maisarah lagi. Duit hilang Dijadikan cerita, sejak berpindah rumah baharu dia kerap mengalami masalah kehilangan duit. Boleh dikatakan berpuluh kali Maisarah perasan duit simpanan di rumah hilang. Awalnya dia menyangka, dia telah menggunakan duit tersebut tanpa disedari tetapi makin lama makin banyak pula duit yang hilang walau Maisarah memang pasti duit itu ada di tempat yang diletakkan. "Takkan saya mahu mengesyaki suami, dia juga mempunyai duitnya sendiri, anak kami lagilah tidak mungkin kerana masih bayi dan saya juga tidak mempunyai pembantu rumah. Nak kata rumah dimasuki pencuri pun memang tiada tanda-tanda rumah dipecah masuk. "Disebabkan makin kerap duit hilang, akhirnya saya memasang perangkap. Saya letakkan duit dalam bantal saya dan mahu lihat siapa yang menggunakan bantal tersebut. "Mahu tak mahu saya mula berfikir yang bukan-bukan dan membuat andaian semua ini angkara makhluk halus, kerana duit tersebut hilang juga walau saya telah memasang perangkap siap dengan video yang dihalakan ke bantal tersebut," cerita Maisarah. Untuk memastikan kesahihan tersebut, Maisarah telah mengundang seorang perawat Islam ke kediamannya. Sementara ustaz membaca doa, Maisarah dan keluarga berkumpul di tengah rumah. Ustaz turut menyediakan air doa dan garam untuk memagar kediaman daripada gangguan makhluk halus. "Ustaz tersebut berkata, memang ada makhluk yang datang mengambil duit saya atas arahan seseorang. Saya amat teruja untuk mengetahui angkara siapa tetapi ustaz tidak mahu memberitahu dan dia hanya meminta saya berikhtiar sahaja. "Saya ikuti sahaja saranan ustaz tersebut hinggalah pada satu hari saya pula yang mengalami penyakit gangguan di mana saya sukar tidur, sering mimpi buruk dan sering berdebar-debar. "Pemeriksaan doktor mendapati saya sihat dan akhirnya saya merujuk kes saya pada seorang pengamal perubatan alternatif. Kini sudah hampir 10 tahun saya mengalami sakit misteri yang akhirnya menyusahkan saya untuk bekerja. Saya akhirnya berhenti kerja dan hasil berubat menemui beberapa maklumat yang memang mengejutkan saya dan suami. "Ada yang memberitahu bahawa ibu mentua saya membela toyol dan dia memang mahukan harta saya. Saya juga pelik, asal saya pulang ke kampung ibu mentua, seluruh badan saya akan terasa hangat pijar seperti baru dilumur cili. "Lebih memeritkan kaki saya juga sukar untuk berjalan dan apabila dipaksa berjalan umpama berjalan di atas paku tajam. Bukan itu sahaja, saya mengalami batuk-batuk selama hampir setahun walau pelbagai ubat batuk saya ambil. Akhirnya saya berubat dengan pengamal perubatan Islam dan kini semakin sihat," cerita Maisarah panjang lebar. Walau sudah berhenti kerja dan keadaan kesihatan pula seakan tidak mengizinkan dia bergerak aktif, dia memang tidak tahu duduk diam. Maisarah mula mendaftarkan diri ke kelas solekan dan mengambil tugas menyolek pengantin pada setiap hujung minggu. "Demi anak, saya kuatkan semangat. Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Mujurlah suami saya memahami, namun dia juga tidak mampu berkata apa-apa hanya memberikan sokongan moral pada supaya tabah mengharungi kehidupan ini," ujarnya yang kini bergiat aktif sebagai jurusolek dan meneruskan kehidupannya seadanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan