Rabu, 22 Januari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bertindak secara profesional

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

PESURUHJAYA DATUK MUSTAFAR ALI ialah Pengarah Siasatan SPRM.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berfungsi sebagai sebuah suruhanjaya bebas sejak 1 Januari 2009 telah, sedang dan akan mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan ia bertindak secara profesional. Dengan moto 'Amanah, Adil, Tegas' dan diperkukuh dan ditekankan dalam Aspirasi SPRM yang berteraskan pendekatan bebas, telus dan profesional.

SPRM sedar orang ramai meletakkan harapan yang tinggi sebaik sahaja ia dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya bebas. Malah keperluan ini turut ditekankan dalam Misi dan Kod Etika SPRM.

Justeru, perubahan nama daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM lima tahun lalu beserta perubahan struktur SPRM dengan melibatkan mekanisme check and balance melalui lima badan bebas SPRM turut meletakkan di kedudukan penuh mencabar bagi memenuhi misi sebagai badan tunggal memerangi rasuah di negara ini.

SPRM juga ingin berkongsi bahawa tidak ada laporan tohmahan atau dakwaan rasa tidak puas hati atau sebagainya mengenai layanan ketika siasatan dijalankan sepanjang 2013 berbanding 28 tohmahan sekitar 2008. Ini memperlihatkan sudah ada penurunan ketara sepanjang lima tahun lalu. Bagaimanapun SPRM sentiasa bekerja keras untuk meningkatkan tahap profesionalisme.

Dalam menjalankan semua tindakan penyiasatan dan operasi, SPRM sentiasa berpegang kepada pendekatan bebas, telus dan profesional.

SPRM juga sentiasa menekankan keperluan pegawai-pegawai penyiasat menjalankan kerja-kerja siasatan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Tindakan ini juga antara fokus dalam inisiatif yang dirangka di bawah program transformasi.

Dalam mempertahankan integriti dan profesionalisme kerja-kerja siasatan, pegawai-pegawai SPRM bertindak tanpa mengira ideologi politik dan sentiasa bersikap neutral atau berkecuali.

Penyiasatan dilakukan tanpa mengira kedudukan seseorang sama ada individu yang disiasat itu ahli politik kerajaan atau pembangkang, kenamaan atau sebaliknya. Rasuah bukan kerana siapa yang melakukannya tetapi kerana kesan buruk dan keji yang boleh dibawa akibat rasuah.

Sejak dibentuk lima tahun lalu, SPRM dipantau oleh lima badan bebas. Kelima-lima badan bebas ini ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen daripada komponen parti kerajaan dan pembangkang, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi, dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah. Kelima-lima badan itu bertindak sebagai mekanisme check and balance (semak dan imbang) terhadap perjalanan SPRM dalam melaksanakan fungsi dan peranannya.

Ahli-ahli badan bebas ini mewakili masyarakat dan terdiri daripada bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli politik terdiri parti kerajaan dan pembangkang, golongan profesional daripada kalangan ahli perniagaan dan sektor korporat, ahli akademik, peguam dan personaliti yang disegani.

Baru-baru ini, tulisan Bisik-bisik Awang Selamat mendakwa ada segelintir pegawai SPRM dikatakan keterlaluan dalam menjalankan siasatan, selain mendakwa "tertuduh" tidak dibenarkan ditemani oleh keluarga dan mengambil ubat untuk penyakit yang dihidapi seperti kencing manis dan jantung.

Selain itu, tulisan itu mendakwa "melayan tertuduh seolah­olah sudah bersalah tetapi apabila siasatan menunjukkan tertuduh tidak bersalah, tiada usaha dilakukan bagi membersihkan nama (tertuduh)." Awang Selamat juga mengatakan dalam penulisannya terdapat beberapa pegawai penyiasat yang mengaku mereka penyokong pembangkang dan teruja untuk bertindak ke atas para pegawai menteri.

Tulisan itu juga mendakwa SPRM agresif menyiasat kes­kes pemimpin kerajaan dan penjawat awam, tetapi tidak berani bertindak ke atas pemimpin pembangkang.

Ingin ditegaskan bahawa SPRM terus-menerus berusaha memperbaiki tahap profesionalisme dan sudah pasti akan melakukan pembetulan dan mengambil tindakan sewajarnya jika semua dakwaan tersebut benar-benar berlaku.

Sebarang maklumat, rungutan atau dakwaan boleh disalurkan kepada Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme atau Jawatankuasa Aduan yang akan menyiasat sebarang salah laku pegawai dan staf SPRM.

Menjawab beberapa soalan dibangkitkan itu, ingin dijelaskan bahawa pegawai-pegawai penyiasat sentiasa diarah mematuhi SOP yang ditetapkan. Ini termasuklah membenarkan orang yang ditangkap berkomunikasi dengan saudara-mara atau kawan untuk memberitahu di mana dia berada dan berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya.

Kebenaran ini tertakluk kepada peruntukan Seksyen 28A(8) Kanun Acara Jenayah iaitu ia tidak mengakibatkan pemusnahan keterangan, rakan sejenayah melarikan diri atau sebab-sebab keselamatan saksi-saksi dan sebab-sebab tertentu yang boleh menjejaskan siasatan. Sekiranya kebenaran ditangguhkan, pegawai-pegawai SPRM hendaklah merekodkan alasan-alasan mengapa kebenaran tidak diberikan dengan seberapa segera.

Jadi, tidak timbul soal SPRM melarang mana-mana individu yang ditahan reman daripada bertemu dengan anggota keluarga. Diharap masyarakat khususnya pengadu dan media faham tentang peruntukan ini. Arahan untuk seseorang ditahan reman dikeluarkan oleh mahkamah.

Sebelum seseorang itu hendak ditahan reman, suspek akan dibawa untuk menjalani pemeriksaan perubatan. Ini bagi memastikan kesihatan suspek dalam keadaan baik. Dalam menjalankan operasi penyiasatan, SPRM sentiasa menekankan aspek perikemanusiaan yang dipandu oleh SOP dan peruntukan undang-undang. Suspek atau saksi yang diambil keterangan tentunya akan diberi kemudahan rawatan dan ubat-ubatan jika memerlukan.

Ketika ditahan reman dan keterangan diambil, gerak-geri suspek dirakam menerusi kamera, yang juga sebahagian daripada pembaharuan dibawa susulan program transformasi SPRM sejak 2011. Pernah ada laporan media dua tahun lalu yang mendakwa suspek dan anaknya diberi layanan tidak baik ketika berada di premis SPRM. Rakaman video menunjukkan sebaliknya.

SPRM juga dari semasa ke semasa membuat kenyataan rasmi jika siasatan membabitkan individu 'ternama' atau siasatan yang menjadi perhatian umum didapati tiada kes. Perkara ini memang diamalkan walaupun tidaklah dalam kesemua kes. Amalan ini akan diteruskan bila keadaan memerlukan.

Pada Mei 2012, Pengerusi PPO SPRM, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, ketika itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 'bersih daripada tuduhan' berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC). Pada 2010, Hadenan juga mengumumkan Jabatan Peguam Negara telah memutuskan menutup fail siasatan terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas Menteri Besar Kelantan) dan Datuk Dr. Wee Ka Siong (bekas Timbalan Menteri Pelajaran dan kini Timbalan Presiden MCA).

Ketiga-tiga kes ini pernah dibawa oleh media sehingga menerima reaksi berbeza daripada kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang.

Memang menjadi dasar SPRM untuk tidak menghebahkan kes-kes yang sedang disiasat kepada orang ramai, khususnya yang membabitkan pemimpin politik atau personaliti tertentu selaras dengan Seksyen 29(4) Akta SPRM.

Kadangkala SPRM tersepit antara keperluan media massa yang ingin 'berita panas' dan kepentingan awam. Kadangkala maklumat mengenai siasatan orang ternama ini terlepas kepada umum. Dan apabila disiarkan oleh media massa, walaupun adakalanya SPRM meminta jasa baik wartawan tidak menyiarkan, kadangkala permintaan SPRM tidak mendapat 'layanan' sewajarnya. SPRM menjadi sasaran. SPRM juga menghormati kebebasan media.

Dalam keadaan tertentu, ada juga pihak mengharapkan SPRM menyiarkan kes-kes berprofil tinggi yang disiasat. Oleh itu, perkara ini juga menjadi pertimbangan SPRM berlandaskan aspek perundangan dan peraturan.

Tidak dapat dinafikan SPRM berhadapan beberapa kekangan dalam memastikan fungsinya disempurnakan dengan sebaik mungkin. SPRM sedaya upaya berusaha untuk meningkatkan tahap profesionalisme dengan dibantu oleh lima badan bebas, yang dianggotai lebih 40 tokoh ternama dan disegani.

Kami mengaku kami belum lengkap sepenuhnya. Tetapi dari sehari ke sehari SPRM berupaya memperbaiki kualiti pendekatan mencegah rasuah. Cadangan penambahbaikan perkhidmatan SPRM sentiasa dialu-alukan.

Kesamaran tuntutan China

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Gambar bertarikh 26 Mei 2011 yang diterbitkan oleh akhbar dalam talian, PetroTimes Vietnam menunjukkan dua kapal peninjau marin China meronda di luar pesisir pantai Vietnam.

TUNTUTAN China terhadap sebahagian besar kawasan Laut China Selatan dianggap sebagai keterlaluan dan kadang-kala tidak logik kerana ia tidak berasaskan lunas undang-undang antarabangsa.

Sebab itu Beijing begitu berat untuk membawa kes tuntutan mereka supaya diteliti oleh Tribunal Antarabangsa Mengenai Undang-Undang Laut (ITLOS) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Lebih merumitkan keadaan adalah tuntutan tersebut bertindih dengan tuntutan oleh lima negara lain iaitu Taiwan, Vietnam, Filipina, Brunei dan juga Malaysia.

Pemilikan Kuala Lumpur terhadap beberapa pulau di gugusan Kepulauan Spratly umpamanya adalah berasaskan kepada Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan sebab itu garis sempadan adalah begitu jelas.

Tuntutan Beijing pula yang hanya berasaskan sejarah lampau adalah begitu samar sekali sehinggakan garis had sempadan tuntutan mereka tidak dapat ditentukan dengan jelas oleh mana-mana pihak termasuk China sendiri. Apa yang dapat dipastikan adalah tuntutan China itu merangkumi hampir 80 peratus luas keseluruhan Laut China Selatan.

Jika had tuntutan sempadan adalah begitu samar sekali tetapi tingkah laku China apabila berhadapan dengan isu ini adalah begitu jelas. Perang dengan Vietnam Selatan yang meletus pada 1974 dan kali kedua dengan Filipina pada 1995 mempamerkan sikap Beijing tanpa berselindung akan mempergunakan kekuatan tentera untuk memenuhi tuntutan mereka.

Beijing juga tanpa segan-silu mampu menggunakan kaedah tersirat seperti mengeluarkan pasport yang mempamerkan Laut China Selatan adalah milik mereka sepenuhnya. Malah bukan sahaja sebahagian besar Laut China Selatan digambarkan oleh Beijing sebagai hak mereka, Taiwan juga secara tersurat adalah sebahagian daripada China.

Memang benar pendirian sedemikian adalah dasar rasmi Beijing, tetapi memaparkan gambaran sedemikian di dalam pasport sudah pasti mengundang kontroversi.

Vietnam dan Filipina enggan mengiktiraf pasport baru China dengan mengeluarkan visa negara masing-masing secara berasingan daripada pasport sementara Taiwan pula mengemukakan bantahan diplomatik.

Ada pihak yang berpendapat bahawa isu pasport tersebut adalah perkara remeh dan tidak perlu diperbesarkan tetapi perlu diberi perhatian bahawa pasport adalah satu dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh sesebuah kerajaan dan tiada bantahan memberi persepsi bahawa kandungan pasport adalah sesuatu yang diiktiraf kebenarannya.

Jika pasport dianggap sebagai strategi remeh dan samar Beijing tetapi jika dikaitkan dengan peraturan yang membenarkan polis tempatan wilayah pentadbiran Hainan memeriksa, merampas dan menghalau kapal-kapal asing yang menceroboh kawasan perairan di wilayah itu, maka implikasi peraturan ini adalah begitu besar sekali.

Peraturan ini dianggap signifikan dan mempunyai kaitan dengan pasport baharu China kerana wilayah Hainan adalah pihak yang dipertanggungjawabkan oleh Beijing untuk mentadbir dan seterusnya menguatkuasakan undang-undang di wilayah milik China di Laut China Selatan. Wilayah ini termasuklah beberapa pulau Spratly milik Malaysia.

Lebih membimbangkan adalah mulai 1 Januari 2014, satu lagi peraturan baharu mula diperkenalkan iaitu semua aktiviti penangkapan ikan di Laut China Selatan yang dibuat dalam wilayah milik mereka perlu memohon kebenaran daripada pihak berkuasa China.

Implikasi peraturan perikanan ini agak besar kepada semua negara yang terlibat termasuk Kuala Lumpur kerana ia turut melibatkan wilayah milik Malaysia yang termaktub dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). Manila dan Hanoi adalah antara yang paling awal membuat bantahan kepada Beijing kerana perundangan baharu ini bakal mencetuskan perbalahan yang lebih serius.

Ketika Mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Bagan, Myanmar minggu lepas, pertubuhan tersebut telah mengambil pendirian bersama dalam membantah pengenalan peraturan perikanan China. Kenyataan bantahan itu berjaya mendapat persetujuan semua negara ASEAN setelah mesyuarat didesak oleh Manila dan Hanoi. Tambahan pula peraturan perikanan ini bertentangan dengan hasrat Deklarasi Kod Tatacara Laut China Selatan (DoC) yang dipersetujui oleh ASEAN dan China.

Memang benar peraturan perikanan yang dikuatkuasakan oleh pentadbiran wilayah Hainan lebih memberi kesan kepada Filipina dan Vietnam kerana wilayah tuntutan dua negara ASEAN ini adalah paling hampir dengan Hainan.

Sebab itu Beijing lebih memberi perhatian istimewa kepada kawasan tuntutan berhampiran Hainan kerana ia lebih mudah diuruskan berbanding dengan Kepulauan Spratly yang sukar dikuatkuasakan kerana masalah jarak yang jauh. Pertembungan di antara Manila dan Beijing di Beting Scarborough pada tahun lepas jelas mempamerkan kesungguhan China di wilayah pertikaian yang berhampiran dengan Hainan. Dalam peristiwa ini Manila terpaksa mengalah dan melepaskan kawalan kawasan tersebut kepada Beijing.

Sedikit demi sedikit China mula memperkuatkan tuntutan mereka dengan menggunakan alasan menguatkuasakan peraturan tetapi sebenarnya strategi tersebut lebih mempergunakan kekuatan tentera laut mereka untuk menakutkan negara lain.

Kuala Lumpur masih belum terasa bahang strategi Beijing kerana EEZ Malaysia di Laut China Selatan masih jauh dari jangkauan pusat pentadbiran wilayah Hainan. Tetapi senario sebegini tidak akan kekal lama kerana Beijing sedang giat memperkukuhkan armada tentera laut mereka.

Kapal pengangkut jet pejuang China pertama iaitu Liaoning yang telah berjaya menjalani ujian latihan di Laut China Selatan baru-baru ini adalah manifestasi jelas hasrat sebenar mereka untuk memiliki sebahagian besar wilayah pertikaian tersebut.

Begitu juga dengan kapal peronda pengawal laut China yang sering melakukan rondaan berhampiran dengan Beting James dalam wilayah EEZ Malaysia juga menimbulkan kemusykilan apakah Beijing akan menguatkuasakan peraturan perikanan dalam wilayah EEZ Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved