Rabu, 21 Ogos 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Lonjak pendapatan petani

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

Shaharuddin Ismail (kiri) meninjau tanaman padi di tapak ujian MADA dengan kerjasama Bayer dan SPPM di Kampung Peladang C1 PPK B-1 Kayang, Kangar, Perlis, semalam.

KANGAR 20 Ogos - Industri tanaman padi perlu mengalami satu evolusi supaya pengurusannya lebih moden, hasil padi meningkat, pendapatan petani tinggi serta mampu menjana pekerjaan.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Kangar, Ir. Shaharuddin Ismail berkata, pengagihan air, penggunaan teknologi moden dan pengurusan sawah juga perlu dilaksanakan dengan lebih cekap.

''Jika semua pihak bersatu maka hasil pengeluaran padi dan pendapatan pesawah akan meningkat," katanya ketika berucap melancarkan Program Peningkatan Hasil ''Much More Rice'' Bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)/Bayer/Syarikat Perniagaan Peladang MADA (SPPM) Peringkat MADA Wilayah 1 di Kampung Peladang C, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) B-1 Kayang di sini hari ini.

Beliau turut merasmikan tapak ujian semaian padi yang menggunakan produk inovasi Bayer.

Sebanyak 17 pesawah MADA di kampung ini mendapat insentif untuk terlibat dalam program inovasi ini.

Shaharuddin berkata, dengan penggunaan produk yang berinovasi melalui kerjasama dengan MADA/Bayer CropScience/SPPM dijangka mampu membantu pesawah meningkatkan hasil padi sebanyak 15 hingga 25 peratus.

Katanya, penggunaan produk berinovasi itu diharap akan membantu pesawah yang sering dihimpit dengan pelbagai masalah.

Beliau berharap, pesawah yang terlibat akan dapat menggunakan sepenuhnya inovasi baru di dalam pertanian padi pada musim ini.

Raja Dr. Nazrin Shah rasmi Pusat Kesihatan Komuniti UKM Kampus Teluk Intan

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

RAJA Dr. Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim tertarik dengan demonstrasi penjagaan kesihatan warga emas oleh Jamaluddin Ismail, 67, sempena perasmian Pusat Kesihatan Komuniti UKM Kampus Teluk Intan di Perak, semalam.

TELUK INTAN 20 Ogos - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan pembukaan Pusat Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Teluk Intan bernilai RM2.6 juta di sini hari ini.

Kampus seluas 5.55 hektar itu terdiri daripada sebuah bangunan yang mengandungi pejabat pentadbiran, bilik pensyarah, bilik mesyuarat, dewan makan, surau dan bilik-bilik perbincangan.

Bangunan berkenaan yang dibina pada awal 2009 dan siap sepenuhnya Oktober tahun lalu, turut mempunyai beberapa blok-blok asrama yang mampu menempatkan sehingga 160 mahasiswa pada satu-satu masa.

Turut berangkat Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sharifah Hapsah dalam ucapannya berkata, kampus berkenaan pada asalnya menyediakan kemudahan penginapan kepada pelajar perubatan UKM yang melakukan pengajian klinikal dalam bidang pediatrik, pembedahan perubatan serta obstetrik dan ginekologi di Hospital Teluk Intan sebelum diserahkan sepenuhnya kepada Fakulti Perubatan pada 30 Mac tahun ini.

Menurut beliau, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam telah memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menjadikan Hospital Teluk Intan dan Hospital Slim River sebagai hospital satelit bagi Fakulti Perubatan UKM sejak tahun 2004.

"Oleh kerana Pusat Perubatan UKM (PPUKM) adalah hospital rujukan tertiari dan spektrum penyakit tertumpu pada sub-bidang, maka pengunaan Hospital Teluk Intan dan Slim River pula lebih memberi pendedahan kepada pelajar perubatan tentang pelbagai kes penyakit yang lazimnya berlaku.

"Pengunaan dua hospital ini telah mengurangkan nisbah pelajar kepada pesakit dan ini memberikan lebih keselesaan, namun lebih penting, UKM boleh menumpukan perhatian kepada latihan doktor pakar yang sangat diperlukan oleh negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, Sharifah Hapsah berkata, UKM telah berjaya menghasilkan 5,144 doktor perubatan, 2,814 doktor pakar dalam pelbagai bidang serta 94 lagi dalam pengajian doktor falsafah (PhD) yang kini bertugas di seluruh negara sejak Fakulti Perubatannya ditubuhkan pada Mei 1972.

Sehubungan itu katanya, adalah menjadi harapan beliau agar masyarakat di sekitar Teluk Intan dan daerah Hilir Perak dapat memanfaatkan kemudahan kampus berkenaan dalam mendapatkan maklumat serta rawatan awal bagi membendung sebarang bentuk penyakit.

"Pihak UKM berbangga dengan pencapaian ini kerana pergilah ke mana-mana hospital, pusat kesihatan mahupun klinik awam dan swasta termasuk perkhidmatan angkatan tentera, anda akan bertemu dengan lulusan UKM," katanya.

KDU buka Pusat Kaunseling di Ipoh

Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT

IPOH 20 Ogos - Kolej Damansara Utama (KDU) Kampus Pulau Pinang membuka Pusat Kaunseling miliknya di Jalan Datuk Tahwil Azar dekat sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Prinsipal Kolej KDU Pulau Pinang, Dr. Chong Beng Keok berkata, pembukaan pusat berkenaan akan memudahkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan maklumat tentang KDU tanpa perlu datang ke kampus kolej tersebut di Pulau Pinang.

Malah katanya, pusat tersebut turut menawarkan khidmat rundingan kepada lepasan SPM dalam membantu mereka memilih jurusan yang diingini bagi melanjutkan pelajaran di kolej berkenaan.

''Kira-kira 15 peratus pelajar di kampus KDU Pulau Pinang sejak beberapa tahun lalu merupakan mereka yang datang dari negeri ini terutamanya dari daerah Ipoh dan Taiping.

''Melihat kepada perkembangan ini, kami percaya pembukaan pusat ini secara rasminya hari ini adalah tepat pada masanya untuk Kumpulan KDU memperluaskan jaringan perkhidmatannya di daerah ini," katanya dalam majlis pembukaan Pusat Kaunseling KDU cawangan Ipoh di sini semalam.

Pembukaan pusat tersebut disempurnakan Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas di Jabatan Pelajaran Perak, Aznan Alias.

Beng Keok berkata, pusat tersebut selain menyediakan khidmat rundingan, turut menawarkan kemudahan dalam menganjurkan bengkel dan program pembinaan pasukan atau 'team building'.

''Bengkel ini bergantung kepada permintaan yang mana sekiranya program dianjurkan di sekolah, kita akan menyediakan peralatan dan kepakaran yang sesuai, begitu juga jika mahu dianjurkan di pusat ini.

''Pencapaian selama 30 tahun membolehkan kita menyediakan tahap pendidikan yang berkualiti dan hari ini Kolej KDU boleh berbangga kerana berjaya melahirkan 80,000 siswazah yang berjaya dalam pelbagai bidang," katanya.

Pusat tersebut beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 5.30 petang dari hari Isnin hingga Jumaat dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 05-2414211.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved