Utusan Online - Sukan |
Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT Oleh NAZMIL NASIRUDDIN Khairy (kanan) mengucapkan selamat datang kepada Lim Teong Kim selepas mengadakan sidang akhbar di kementeriannya dekat Putrajaya, semalam. PUTRAJAYA - Bekas penolong jurulatih pasukan akademi kelab gergasi Jerman, Bayern Munich Bawah 19 tahun, Lim Teong Kim dilantik sebagai Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika mengumumkan perkara itu berkata, pelantikan bekas pemain kebangsaan itu secara tidak langsung dapat meningkatkan pembangunan akar umbi bola sepak di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN). Beliau berkata, Teong Kim akan ditawarkan kontrak berkhidmat selama lima tahun dan akan memulakan tugasannya pada November ini. Teong Kim akan memberikan komitmen dan dia mahu pastikan cabaran bola sepak negara pada 2019 dapat dicapai. Kedudukan sebagai Pengarah Projek merupakan satu tugas yang berat kerana beliau akan bertanggungjawab untuk membangunkan bola sepak secara keseluruhan berbanding dengan Pengarah Teknikal," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. Teong Kim adalah pemain bola sepak negara pertama bermain di Eropah bersama kelab Jerman, Hertha Berlin yang beraksi di Divisyen Tiga pada tahun 1987 dan sempat beraksi selama semusim di sana. Selepas pulang dari Jerman, Teong Kim beraksi bersama Kuala Lumpur yang menyaksikan dia membantu pasukan warga kota itu meraih kejuaraan tiga kali berturut-turut Piala Malaysia pada tahun 1987 hingga 1989. Kedah menjadi pasukan terakhir yang diwakili Teong Kim pada tahun 1992 dan 1993 sebelum anak jati Melaka ini bersara daripada dunia bola sepak dan memulakan kariernya dalam bidang kejurulatihan bersama skuad Bawah 13 tahun Bayern Munich pada tahun 2000 sebelum kontraknya tamat pada tahun lalu. Di Bayern, beliau pernah bekerjasama dengan beberapa pemain ternama Jerman pada masa sekarang seperti Thomas Muller, Bastian Schweinsteiger, Diego Contento dan David Alaba. Sementara itu, Teong Kim berkata, beliau bersedia untuk menyahut cabaran dalam membangunkan bola sepak negara berbekalkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki. Tanggungjawab ini merupakan cabaran besar dan saya suka untuk menyahut cabaran tersebut. Saya harap para jurulatih muda dan para pemain dapat belajar sesuatu daripada apa yang saya miliki ini," katanya. Pada masa sama, beliau berkata, tempoh lima tahun yang diberikan untuk menggalas cabaran membangunkan bola sepak negara adalah tidak mencukupi. Sepatutnya perlu lebih daripada itu, untuk menghasilkan pemain seperti Thomas Muller dan David Alaba sahaja memerlukan tempoh lebih lima tahun. Ini bukan hanya melibatkan proses untuk membangunkan mereka sahaja tetapi kena bagi keseluruhan sistem itu betul," katanya. |
Malaysia boleh bersiap ke hoki Piala Dunia 2014 Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Skuad hoki kebangsaan akan mengharungi Piala Asia pada hujung minggu ini yang menyediakan satu tempat ke slot Piala Dunia 2014 di Belanda. KUALA LUMPUR - Kegagalan Ireland layak ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Eropah semalam secara matematiknya mengesahkan tempat Malaysia di Piala Dunia 2014. Teknikalnya, Malaysia hanya menunggu pengumuman rasmi selepas semua kejohanan antara benua menutup saingan masing-masing. Ireland menjadi pasukan terakhir yang mampu mencuri tempat ke Piala Dunia selepas Republik Czech dan Poland dari benua Eropah (pasukan yang belum layak melalui kelayakan Liga Hoki Dunia) tersingkir awal selepas mencatat dua kekalahan, namun keputusan seri 2-2 dengan England menyebabkan mereka tercicir tempat ke separuh akhir dan sekadar menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan B, hanya dibezakan dengan perbezaan satu jaringan oleh England yang turut meraih empat mata. Malaysia yang berada dalam senarai menunggu selepas Sepanyol kini hanya perlu menantikan keputusan secara rasmi kejohanan hoki Oceania yang bakal berlangsung pada 28 Oktober hingga 3 November ini sekiranya gagal menjuarai Piala Asia yang akan bermula pada 24 Ogos ini. Dalam kejohanan Oceania yang hanya disertai empat negara itu, antara Australia dan New Zealand, salah satunya pasti akan menjadi juara kerana terlalu gagah buat Papua New Guinea (ranking 69 dunia) dan Samoa (ranking 72 dunia). Mengikut format Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), sekiranya pasukan yang layak menerusi pertandingan Liga Hoki Dunia baru-baru ini menjuarai kejohanan benua masing-masing, slot itu akan diberikan berdasarkan urutan ranking Liga Hoki Dunia. Sebelum kejohanan mengikut benua bermula, Belgium, Australia, New Zealand, Jerman, Argentina dan England telah layak termasuk Belanda selaku tuan rumah manakala Korea Selatan yang menduduki tempat keempat di Kuala Lumpur berada dalam senarai menunggu pertama diikuti dua pasukan di tangga kelima, Sepanyol dan Malaysia. Apabila kejohanan Piala Pan American melabuhkan tirainya pada 17 Ogos lalu, Argentina yang telah pun layak muncul juara selepas menewaskan Kanada 4-0 pada perlawanan akhir sekali gus mengesahkan tempat buat Korea Selatan yang menjadi senarai menunggu pertama. Ini diikuti benua Eropah dengan mana-mana pasukan yang telah layak ke Piala Dunia 2014 menjuarai kejohanan tersebut, slot itu akan diberikan kepada Sepanyol walaupun mereka muncul juara atau sebaliknya. Seandainya skuad negara menjuarai Piala Asia yang akan berlangsung di Ipoh pada 24 hingga 1 September nanti, India akan menjadi pasukan terakhir layak dalam senarai menunggu selepas Malaysia apabila kejohanan benua Ocenia berakhir nanti. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan