Utusan Online - Kota |
- Ganti kepada yang lebih berkualiti
- Kerajaan Pusat perkasa pembangunan Selangor
- Sukarnya nak ke pasar TTDI
Ganti kepada yang lebih berkualiti Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT OLEH SITI AINIZA KAMSARI KUALA LUMPUR 20 Ogos - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menggantikan lif-lif lama kepada lif baharu yang lebih tahan lasak dan berkualiti tinggi di semua kawasan perumahan bertingkat di bawah penyeliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau sangat mengalu-alukan peruntukan sehingga RM31.5 juta yang disediakan oleh DBKL bagi menggantikan lif-lif yang penggunaannya telah menjangkau 10 sehingga 15 tahun. "Tetapi mereka (DBKL) hendaklah memastikan lif itu tidak sekadar lif baharu tetapi yang lebih penting mestilah lebih tahan lasak, lebih berkualiti dan mempunyai pelbagai ciri keselamatan yang lebih tinggi termasuk pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV). "Ini supaya lif-lif baharu tidak akan mengalami nasib yang sama seperti lif lama apabila kualiti yang ada tidak mampu menahan sebarang perbuatan vandalisme dan lain-lain perbuatan yang boleh menjahanamkan lif tersebut walaupun masih baharu. "DBKL harus membuka tawaran kepada syarikat-syarikat penyediaan lif supaya mendapatkan lif yang lebih menepati keperluan kawasan perumahan padat, yang lazimnya kadar penggunaannya sangat tinggi dan membawa begitu ramai orang setiap masa berbanding penggunaan lif di lain-lain premis seperti di pejabat atau pusat-pusat perniagaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai masalah lif rosak yang kerap berlaku di kawasan-kawasan perumahan terutamanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA). Akibat tidak disenggarakan dengan baik kesan dari perbuatan vandalisme penghuni perumahan itu sendiri telah menyebabkan berlakunya tragedi sehingga meragut nyawa. Lam Thye berkata, adalah lebih penting juga supaya DBKL sentiasa memantau dan memastikan para pengguna dan syarikat penyenggara lif menjadikan lif itu sebagai 'anak angkat' yang sentiasa dijaga dengan baik. "Walaupun telah terdapat arahan, skop dan prosedur penyenggaraan daripada DBKL, yang kesemua tanggungjawab itu mesti dipenuhi pihak penyenggara lif, namun lebih kerap lif dipantau maka itu adalah lebih baik di samping tidak pernah terlewat sedikit pun (daripada jadual) untuk tujuan penyenggaraan dan membaiki lif yang rosak," katanya. Menurutnya lagi semua pihak mesti mengambil iktibar dan pengajaran sepenuhnya daripada tragedi yang menimpa pelajar Khairul Amir Azri Lani yang mati tersepit akibat lif rosak dalam kejadian yang berlaku pada 17 Julai lalu. "Kita tidak mahu sama sekali kejadian seperti ini berulang kembali atau mengundang padah terutama kepada semua penghuni tanpa mengira latar belakang, umur dan kedudukan supaya mereka menjadi pengguna lif yang baik dan bertanggungjawab demi kemudahan dan kebaikan kepada diri mereka sendiri," katanya. |
Kerajaan Pusat perkasa pembangunan Selangor Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT NOH Omar (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor di Pejabat Pembangunan Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor semalam. SHAH ALAM 20 Ogos - Kerajaan Persekutuan akan memperkasakan pelaksanaan projek dan program pembangunan untuk rakyat Selangor ekoran sikap kerajaan negeri yang disifatkan kurang memberi tumpuan dalam soal itu meskipun telah memasuki penggal kedua mentadbir negeri ini. Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar berkata, usaha itu akan dibuat melalui penglibatan 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta tiga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dilantik sebagai pengerusi penyelaras pelaksanaan program dan projek Kerajaan Persekutuan di negeri ini. Kata beliau, setiap pengerusi penyelaras yang dilantik akan memainkan peranan masing-masing membantu 44 jabatan termasuk agensi Kerajaan Persekutuan di Selangor bagi memastikan setiap projek serta program pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Pusat sampai kepada rakyat dan memberi manfaat kepada pembangunan negeri ini. "Matlamat kita ialah untuk memastikan semua peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat di Selangor ini benar-benar dapat dilaksanakan dan memberi kesan kepada pembangunan negeri. "Kita harapkan rakyat Selangor dapat melihat, menilai dan menghargai sumbangan yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat walaupun negeri ini ditadbir oleh pembangkang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MTPNS di sini hari ini. Noh berkata, rakyat Selangor perlu jelas bahawa pembangunan selama ini sebenarnya banyak disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan yang bukan hanya melibatkan fizikal malah turut melibatkan usaha memperbaiki taraf hidup setiap lapisan masyarakatnya. Menurutnya, pada tahun 2012 sahaja, Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion untuk pembangunan di Selangor berbanding kerajaan negeri yang hanya membelanjakan sebanyak RM494 juta untuk tujuan yang sama. Katanya, pola yang sama turut berlaku pada tahun ini apabila Kerajaan Pusat menyalurkan RM2.8 bilion untuk membangunkan negeri dan rakyat Selangor menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) berbanding daripada kerajaan negeri yang hanya memperuntukan RM633 juta. "Perangkaan itu termasuk usaha Kerajaan Pusat meningkatkan taraf hidup rakyat di Selangor dengan sebanyak 12,677 keluarga telah berjaya dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan," katanya. Mengulas lanjut mengenai fungsi MTPNS serta peranan pengerusi penyelaras pelaksanaan pembangunan Kerajaan Pusat di Selangor, Noh berkata, perhatian penuh akan diberikan terhadap mana-mana projek atau program terbengkalai, lewat disiapkan atau terpaksa ditender semula. Beliau menegaskan, projek Kerajaan Pusat di negeri ini harus dilaksanakan dengan sempurna dan telus termasuk dari segi pemberian projek yang diwajibkan dibuat secara tender terbuka dan bukannya rundingan terus. "Tujuan MTPNS dan kewujudan pengerusi penyelaras pelaksanaan projek pembangunan Kerajaan Pusat bukan untuk menyekat peruntukan di negeri ini. Sebaliknya kita mahu memastikan apa yang dirancangkan kepada rakyat benar-benar dapat dilaksanakan. "Kita tidak mahu wujud keadaan di mana Kerajaan Pusat salurkan peruntukan untuk pembangunan negeri dan rakyat Selangor tetapi tidak digunakan untuk tujuan itu sebaliknya disimpan atau digunakan untuk tujuan lain. "Buat masa ini projek dan program pembangunan Kerajaan Pusat akan ditumpukan di 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh BN termasuk melaksanakan janji-janji yang dibuat oleh wakil rakyat yang memenangi kawasan tersebut pada pilihan raya umum lalu," katanya. |
Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN ORANG ramai meletakkan kenderaan di atas jalan akibat kekurangan tempat letak kereta di Pasar Besar TTDI, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR KUALA LUMPUR 20 Ogos - Untuk mendapatkan petak letak kereta apabila berkunjung ke Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) bukanlah satu kerja mudah, terutama pada hujung minggu. Malah ada jenaka yang dikaitkan dengan pasar itu iaitu 'hanya kerana sekilo ikan terpaksa berpusing-pusing selama sejam hanya untuk meletakkan kereta'. Rasa tak berbaloi dengan masa yang terbuang di dalam kereta dengan jumlah barangan yang dibeli. Namun hakikat itu terpaksa ditempuh oleh penduduk berdekatan pasar berkenaan kerana petak letak kereta yang sangat tidak memadai bagi jumlah pengunjung, terutama pada Sabtu dan Ahad. Keadaan akan semakin teruk menjelang hari perayaan. Sehubungan itu Persatuan Peniaga Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina tempat letak kereta bertingkat bagi memudahkan orang ramai untuk berkunjung ke pasar berkenaan. Persatuan itu turut meminta agar DBKL menyerahkan semula pengurusan tempat letak kereta itu kepada pihak mereka. Pengerusinya, Jenny Loo berkata, pihaknya sedang dalam usaha mendapatkan status koperasi bagi membolehkan mereka mengambil alih pengurusan tempat letak kereta di pasar tersebut. "Oleh itu kami minta jasa baik DNKL supaya tidak menyerahkan pengurusan tempat letak kereta kembali kepada syarikat swasta yang kontrak mereka akan habis pada akhir Ogos ini. Menurutnya, kekurangan tempat letak kereta itu diburukkan lagi dengan tindakan pekerja premis berhampiran yang meletakkan kereta mereka di tempat letak kereta pasar itu. "Usaha ini adalah bagi menjamin pengunjung pasar ini mudah untuk meletak kenderaan mereka kerana ketika ini kami lihat ramai orang luar yang kerja di syarikat berhampiran meletak kenderaan mereka di dalam bangunan pasar," katanya. Sementara itu, timbalan pengerusinya, Mohd. Zaini Zainal Abidin berkata, DBKL perlu membina tempat letak kereta bertingkat di pasar tersebut memandangkan yang ada kini tidak dapat menampung keperluan. "Ketika hari minggu keadaan akan bertambah buruk, jalan menjadi sesak sehingga ke jalan besar. "Pengunjung pula terpaksa meletak kenderaan mereka di bahu-bahu jalan. Ini menimbulkan risiko kereta dipecah orang atau dilanggar kerana terlalu hampir dengan jalan raya," katanya. Pandangannya diakui oleh Jenny yang menggesa agar pihak berkuasa mengawal selia keadaan trafik di situ pada hari-hari yang dikenal pasti berlaku kesesakan teruk. "Polis trafik perlu turun padang untuk pantau jika jalan sesak kerana keadaan itu akan menyukarkan pengguna lain untuk menggunakan laluan yang sama," katanya. Dalam pada itu, Jenny meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau kegiatan anak-anak yatim yang meminta wang daripada orang ramai di pasar itu. "Saya bimbang mereka ini dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu yang menggunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan