Utusan Online - Johor |
TNB kesan 2,270 kes curi elektrik Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT Oleh HANIZA HASSAN JOHOR BAHRU 20 Ogos - Sebanyak 2,270 kes kecurian elektrik telah direkodkan sepanjang September tahun lalu hingga Jun lalu dengan melibatkan kerugian kira-kira RM15 juta di negeri ini. Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, kesemua kes tersebut melibatkan jenis perniagaan kecil dan sederhana serta kilang. Beliau berkata, antara kawasan yang mencatatkan purata kejadian kecurian elektrik tertinggi ialah Johor Bahru, Johor Jaya dan Pasir Gudang yang merupakan kawasan industri, membangun dan banyak pusat hiburan. "Kita boleh tahu penggunaan sesebuah premis dengan melihat pada 'remote metering system' biarpun meter berada di premis tersebut tetapi kita boleh akses meter itu dari jarak jauh dan dengan kaedah tersebut kita boleh tahu penggunaan mereka konsisten atau tidak. "Kebanyakan yang berani mencuri elektrik ini ialah kilang ais, stesen minyak, bengkel, pusat hiburan dan kafe siber. Malah ada yang tegar mengulang perbuatan yang sama biarpun telah dikenakan tindakan sewajarnya oleh TNB mahupun diheret ke muka pengadilan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Mohd. Aminuddin berkata, bagi kesalahan mencuri elektrik tersebut, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana mengganggu meter dan menggunakan elektrik secara haram yang memperuntukkan hukuman penalti sehingga RM100,000 atau penjara minimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. "Sehubungan itu, kerjasama orang awam sangat dialu-alukan dalam membanteras jenayah. Orang ramai diminta segera memaklumkan kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang keadaan mencurigakan," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sedang merancang memperluaskan penggunaan kios pembayaran ke seluruh cawangan TNB negeri ini termasuk di Segamat, Pontian, Kota Tinggi, Mersing dan Ledang pada masa akan datang. Hingga kini terdapat enam kios pembayaran yang ditempatkan di Pusat Khidmat Pelanggan TNB di Wisma TNB, Johor Bahru; Johor Jaya, Kulaijaya, Kluang, Batu Pahat dan Muar. "Pembukaan kiosk ini bertujuan memudahkan pelanggan dalam urusan pembayaran bil selain membantu mengurangkan tempoh menunggu di kaunter-kaunter Pusat Khidmat Pelanggan TNB. "Kios yang mesra pengguna ini beroperasi mengikut waktu pejabat dan sekiranya sambutan yang diterima menggalakkan, kita akan lanjutkan hingga tujuh hari seminggu termasuk cuti umum dengan waktu operasi bermula pukul 8.30 pagi hingga 10 malam," katanya. |
Tetap terima peruntukan walaupun pembangkang Posted: 20 Aug 2013 11:09 AM PDT NUSAJAYA 20 Ogos - Kerajaan negeri memberi jaminan rakyat negeri ini tetap akan menerima peruntukan pembangunan sewajarnya meskipun kawasan mereka dimenangi oleh parti pembangkang. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan khas daripada Pejabat Menteri Besar. Beliau berkata, sebelum ini peruntukan itu disalurkan melalui pegawai khas yang dilantik di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pembangkang. "Sekarang ini semua ADUN boleh kemukakan permohonan dan saya akan berikan pertimbangan sewajarnya khususnya kepada mereka yang memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri," katanya pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pelancongan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, hingga kini terdapat 10 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah diwujudkan di negeri ini dan jumlah itu akan ditambah pada masa akan datang. Beliau berkata, dua daripadanya terletak di Johor Bahru dan masing-masing satu di Pasir Gudang, Muar, Pontian, Kota Tinggi, Segamat, Mersing, Tangkak dan Kluang. "Sambutan terhadap KR1M sangat menggalakkan kerana barangan yang ditawarkan 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran dengan tawaran 250 barangan di bawah jenama KR1M. "Kerajaan juga mengeluarkan produk Co-op 1Malaysia untuk dipasarkan di koperasi-koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia dengan tawaran harga antara 30 hingga 40 peratus lebih murah berbanding harga pasaran," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan