Rabu, 21 Ogos 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Taman Safari Bukit Gambang

Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanpahang@utusan.com.my

Singa putih menjadi tarikan utama satu-satunya yang dipamerkan di Malaysia dan merupakan taman pertama di Asia yang mempamerkan singa dari spesies tersebut di Taman Safari Bukit Gambang.

KUANTAN 21 Ogos - Pahang dikatakan memiliki segala produk pelancongan yang mampu menawan hati pengunjung tidak kira pelawat tempatan mahupun luar negara.

Keunikan yang terdapat di negeri ini sememangnya menjadi tumpuan kepada pelancong untuk bercuti sama ada bersama keluarga atau rakan.

Tarikan flora dan fauna serta keindahan pantai menjanjikan keseronokan percutian yang lebih bermakna serta sudah tentu meninggalkan kenangan manis kepada mereka.

Jalinan jalan raya yang baik serta Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) turut merancakkan sektor pelancongan bagi memudahkan pergerakan pelawat singgah ke tempat menarik.

Satu lagi tarikan di Pahang khususnya Kuantan adalah Taman Safari Bukit Gambang (TSBG) yang merupakan taman safari terbesar di negara ini.

Berkeluasan kira-kira 55 hektar (138 ekar), TSBG terbahagi kepada lapan zon antaranya Land of Predators, Bird Valley dan Wild Savannah.

Untuk ke sana, pengguna LPT perlu keluar ke Plaza Tol Gambang dan kemudian mengambil susur ke kanan menuju ke taman tersebut.

Taman itu merupakan taman tema kedua dibangunkan oleh Sentoria Group Sdn. Bhd., selepas Taman Tema Air Bukit Gambang yang terletak di Bukit Gambang Resort City di sini.

Bernilai RM82 juta, semasa di peringkat awal, tiga zon telah dibuka di taman itu, Simba Hill', 'Night Jungle' dan 'Foreign Village' manakala fasa berikutnya akan dibuka sepenuhnya kepada orang ramai menjelang akhir tahun ini.

Beberapa zon safari masih lagi dalam pembinaan seperti Forest Land, Land of Predators, Dessert Land dan Bear Mountain yang dijangka siap sepenuhnya pada awal Disember ini.

Selain itu, pihak pengurusan safari juga merancang membina Taman Marin dan Akuatik yang bakal menempatkan hidupan air seperti ikan, penguin dan anjing laut.

Taman safari tersebut akan dibuka setiap hari dari pukul 2 petang hingga 10 malam, manakala Night Jungle bermula 6 petang hingga 10 malam.

Di sebelah petang pula, terdapat pertunjukan oleh pelbagai jenis haiwan dan sebelah malam turut diadakan persembahan pertunjukan api oleh kakitangan taman itu.

Tarikan utama di situ adalah 'Simba Hill' iaitu mengandungi satu-satunya singa putih di Malaysia dan merupakan taman pertama di Asia yang mempamerkan singa dari spesies tersebut.

Pengurus Taman tersebut, Shahrul Hizal Hamid berkata, TSBG mempunyai binatang yang aktif di waktu malam dan akan dilepaskan di kawasan tertentu bagi membolehkan pengunjung menyentuh dan melihat lebih dekat.

"Safari ini mempunyai 454 spesies hidupan liar. Tarikan utama adalah kehadiran singa putih yang merupakan satu-satunya hidupan liar di sini.

"Selain itu, taman ini juga mempunyai kanggaru putih yang agak unik sebagai daya tarikan dan tatapan pengunjung," katanya baru-baru ini.

Tambahnya, antara haiwan menarik lain yang boleh dilihat secara dekat adalah walabi dan 'northern night monkey' yang hampir pupus.

Tiket dijual pada harga promosi berharga RM38 bagi dewasa dan RM18 untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah sehingga Disember ini manakala kanak-kanak mempunyai ketinggian di bawah 90 sentimeter adalah percuma.

214 kes denggi di Kuantan

Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanktn@gmail.com

Dua pegawai Jabatan Kesihatan Pahang memeriksa jentik-jentik pasu bunga semasa mengadakan Ops Gempur Aedes di Indera Mahkota, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 21 Ogos - Sebanyak 214 kes jangkitan demam denggi dikesan di daerah ini dalam tempoh lapan bulan tahun ini yang memerlukan kerjasama orang ramai meningkatkan kebersihan bagi mencegah wabak tersebut daripada merebak.

Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Abu Hassan Shaari berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Menurutnya, bagi mengekang gejala itu, usaha pembasmian pembiakan digerakkan melalui operasi yang diberi nama Ops Gempur Aedes di sini semalam.

Jelasnya, operasi diketuai Pegawai Kesihatan daerah Kuantan, Dr. Amirullah Mohd. Arshad itu melibatkan 45 pegawai kesihatan dari tiga daerah iaitu Kuantan, Maran dan Pekan.

"Operasi itu dibuat bagi meningkatkan tahap kesedaran kesihatan kepada penduduk daerah ini tentang bahaya pembiakan nyamuk aedes," katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi tersebut di Indera Mahkota di sini.

Menurutnya, selain memeriksa kawasan tertentu yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, sesi penerangan juga diberikan supaya sentiasa menjaga kebersihan khususnya ditempat bertakung.

Dalam operasi itu, sebuah premis penyimpanan kereta potong di Indera Mahkota 1 di sini diberi notis arahan membersihkan kawasan itu sebelum tindakan diambil.

Pegawai Kesihatan daerah Kuantan, Nurul Huda Nordin berkata, pihaknya mengenal pasti lebih daripada tiga tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar premis tersebut.

"Sekiranya pemilik premis ini gagal mengikut arahan maka mereka akan didakwa di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 pindaan 2000 iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000," katanya.

Katanya, selain premis tersebut, terdapat dua kawasan perumahan dikenal pasti mencatat kes tertinggi di daerah itu iaitu Taman Skyline di Air Putih dan Taman Tunas Jaya di Setali.

10 rumah rosak teruk dilanda ribut

Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT

Ahmad Nazlan Idris (kanan) berbual dengan mangsa ribut di Kampung Jerantut Feri, Jerantut, semalam.

JERANTUT 21 Ogos - Sebanyak 10 buah rumah rosak teruk akibat dilanda ribut di Kampung Jerantut Feri di sini, Sabtu lalu.

Seorang mangsa, Rahim Yusuf, 47, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam ketika dia bersama tiga anaknya berehat di dalam rumah.

"Tiba-tiba kedengaran guruh kuat dan angin bertiup kencang. Tidak lama selepas itu, sebahagian bumbung rumah saya diterbangkan angin disusuli hujan lebat.

"Kejadian itu berlaku pantas dan kami tidak mampu berbuat apa-apa," katanya di sini baru-baru ini.

Seorang lagi mangsa, Hussin Ahmad, 72, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga tiada di rumah kerana berada di Senawang, Negeri Sembilan untuk berjumpa dengan saudara-mara.

"Kami pulang keesokan harinya dan melihat 12 keping zink di bahagian bumbung hilang dipercayai diterbangkan angin kencang menyebabkan peralatan elektrik rosak akibat dimasuki air hujan," ujarnya.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan berdasarkan kerosakan yang dialami mangsa terbabit.

Pada masa sama tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu mangsa untuk meringankan beban mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved