Utusan Online - Sukan |
Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memeriksa rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil awal Jun lalu. Beliau kemudiannya mengumumkan penutupan venue tersebut mulai September ini untuk kerja baik pulih padang. KUALA LUMPUR - Perbadanan Stadium Merdeka (PSM) serius mahu memperbaiki kualiti rumput Stadium Nasional Bukit Jalil dengan perlawanan akhir Piala Malaysia pada 3 November akan menjadi acara terakhir sebelum venue itu ditutup sepenuhnya selama enam bulan. Menurut Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Rozabil Abdul Rahman, pihaknya juga sedia menutup lebih awal Stadium Nasional daripada tarikh yang dicadangkan jika diminta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Malahan, beliau membayangkan selepas konsert Linkin Park pada 19 Ogos ini, tiada lagi penganjuran program lain dan Stadium Nasional akan ditutup bagi memulakan proses pembaikan. Sementara menunggu stadium ditutup mulai November, hanya tiga acara besar akan dianjurkan iaitu konsert Linkin Park pada 19 Ogos, perlawanan kelayakan Piala Asia 2015, Malaysia dan Bahrain pada 16 Ogos dan perlawanan akhir Piala Malaysia, 3 November. Jika ada keperluan, kami sedia berbincang dengan FAM seandainya salah satu atau kedua-dua perlawanan tersebut ditukar ke venue lain untuk memulakan kerja-kerja penukaran rumput padang Stadium Nasional lebih awal. Bagi mengelakkan masalah seperti yang dialami oleh Barcelona baru-baru ini apabila rumput stadium mengalami kerosakan, PSM mencadangkan Stadium Nasional ditutup sementara supaya kualiti padang terjamin apabila untuk kelayakan Piala Asia nanti," katanya dalam satu kenyataan semalam. Masalah padang di Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi perhatian walaupun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyuarakan lebih awal masalah padang di Stadium Nasional sudah berada di tahap serius dan perlu ditutup bagi penggantian rumput. Namun, pihak penganjur, BSC Soccer News mendapat lampu hijau daripada FAM untuk mengadakan perlawanan antara Malaysia dan Barcelona di situ. Ia akhirnya ia mengundang masalah sehingga mencemarkan nama baik negara apabila gelanggang perlawanan diubah dalam tempoh kurang 24 jam dari Stadium Nasional ke Stadium Shah Alam. Rozabil menegaskan PSM selaku penyenggara kemudahan di Kompleks Sukan Bukit Jalil tidak mempunyai kuasa untuk menolak apa-apa program walaupun bukan berkaitan dengan sukan. Kami tidak boleh menolak permintaan luar yang mahu mengadakan program di Stadium Nasional jika terdapat kekosongan pada tarikh yang diminta namun penganjur perlu mengikut prosedur yang ditetapkan jika mahu menggunakan kawasan padang. Kami akan memastikan aktiviti seperti konsert tidak menjejaskan kualiti rumput padang dengan memastikan pentas dipasang di atas trek dan bukannya di atas padang. Orang ramai yang menghadiri sesuatu program dibenarkan berada di atas padang dengan syarat pihak penganjur menggunakan pelindung yang disediakan oleh pihak stadium supaya tidak menjejaskan kualiti rumput padang," katanya. |
Pendapatan stadium tak terjejas Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT KUALA LUMPUR - Punca pendapatan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tidak akan terjejas tanpa penganjuran aktiviti selain sukan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ketua Pegawai Eksekutif PSM Ahmad Halmi Harun berkata, pendapatan untuk kerja penyelenggaraan stadium itu bukan bergantung sepenuhnya kepada penganjuran acara bukan sukan misalnya konsert. "Kita sebelum ini sudah cukup dana untuk selenggara dan jaga stadium, jadi kalau aktiviti selain sukan tidak diadakan di sana pun perbadanan masih boleh mengekalkan kualiti padang. Pendapatan melalui acara sukan dan aktiviti bukan sukan di stadium tersebut adalah sama banyak, bukannya kita bergantung dengan pendapatan daripada acara selain sukan," katanya ketika dihubungi semalam. Beliau berkata bagi mengimbangi dan menambah jumlah pendapatan untuk proses penyelenggaraan stadium pada masa akan datang, PSM akan berusaha untuk menjadi penganjur kepada mana-mana acara sukan. "Kalau sebelum ini ada orang tengah yang menjadi penganjur apa kata selepas ini PSM sendiri bertindak sebagai penganjur yang bawa masuk acara besar-besaran seperti bawa pasukan bola sepak dunia ke Malaysia. "Kita sekarang memang tengah buat kajian sama ada boleh jalankan rancangan tersebut (menjadi penganjur acara) atau tidak. Ini adalah antara inisiatif kita untuk perbanyakkan lagi dana untuk stadium," Beliau berkata, pihaknya juga bakal menjadikan stadium itu bukan sahaja venue untuk acara bola sepak malah turut dijadikan medan bagi acara olahraga, di mana pada awal tahun lepas trek untuk acara olahraga sudah diganti baharu. Ahmad Halmi berkata, beliau akan memperbanyakkan kejohanan sukan di Stadium Nasional itu bagi terus mengimbangi pendapatan mereka.Acara terdekat yang bakal diadakan di padang itu adalah konsert Linkin Park pada Ahad ini dan dijangka perlawanan pra-kelayakan Piala Asia, Harimau Malaya menentang Bahrain serta Piala Malaysia menjadi acara terakhir dijalankan di padang berkenaan sebelum penutupan stadium pada Oktober ini. Mengenai kesan mengadakan konsert di padang Stadium Nasional Bukit Jalil, beliau berkata ia tidak terlalu menjejaskan kualiti padang kerana padang rumput itu ditutup dengan penutup rumput khas buatan Jerman. "Kita tidak letak pentas konsert di atas padang, ia (pentas) diletak di atas trek. Lagipun padang yang menempatkan penonton ditutup dengan peralatan khas bagi memastikan kualiti rumput tidak terjejas," katanya. Ahmad Halmi berkata pihak perbadanan bersedia menutup Stadium Nasional Bukit Jalil pada bila-bila masa sahaja sebaik sahaja Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan tarikh yang sesuai. Katanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia menukar venue perlawanan Piala Malaysia dan pra-kelayakan Piala Asia jika KBS mengumumkan tarikh penutupan stadium sebelum perlawanan tersebut dan tender untuk menukar rumput serta sistem saliran akan dibuka sebaik sahaja pengumuman dibuat. Pada Jun lepas, KBS mengumumkan untuk menutup Stadium Nasional Bukit Jalil selama enam bulan mulai Oktober untuk kerja baik pulih padang stadium itu. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan