Selasa, 13 Ogos 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


MPK serbu 327 kafe siber

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 13 Ogos - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyerbu 327 buah kafe siber yang dipercayai masih menjalankan aktiviti perjudian internet di daerah ini.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, serbuan itu dibuat selaras dengan kuasa yang dimiliki pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan sebagai langkah melumpuhkan kegiatan terbabit sejak awal Julai lalu.

Menurutnya, dengan penguatkuasaan yang diluluskan kerajaan negeri, kegiatan perjudian haram dapat dibanteras dan pengusaha tidak lagi berani untuk menjalankan operasi itu.

Kami kini ada kuasa untuk menyita. Kami akan teruskan operasi ini setiap hari bagi membanteras penularan aktiviti perjudian internet di daerah ini," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, masalah utama yang dihadapi pihaknya adalah pemilik premis judi tidak takut kepada pihak berkuasa.

Contohnya, jika hari ini kami rampas komputer di premis mereka, esoknya mereka akan tempatkan komputer lain," katanya.

Katanya, jika komputer yang dirampas hendak dituntut balik, pemilik premis perlu membayar harga komputer dirampas itu.

Misalnya jika harga keseluruhan komputer itu adalah RM100,000 maka mereka perlu bayar harga yang sama. Tetapi setakat ini ada pemilik premis yang datang tuntut dan ada juga tidak tuntut kerana tidak mampu," ujarnya.

Katanya, serbuan itu secara tidak langsung dapat melumpuhkan kegiatan tersebut dan pihaknya akan terus memantau dari semasa ke semasa.

Bagi memastikan kegiatan itu dihapuskan 100 peratus, Zulkifli berkata, pegawai penguat kuasa MPK dengan kerjasama pihak berkuasa lain akan tetap melakukan pemantauan bukan saja di pusat bandar, malah pinggir bandar yang turut menjadi lokasi pengusaha judi haram terbabit.

Kukuhkan ukhuwah hindari perkara remeh

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Abdul Rahman Mohamad (tengah) menyampaikan sumbangan air zam-zam, kurma, jubah dan kain pelikat kepada seorang wakil masjid Kampung Tanjong Bungor di Lipis, Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 13 Ogos - Pengurusan masjid dan ahli kariah di daerah ini di minta mengukuhkan semangat ukhuwah dan menghindarkan perkara remeh sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, ikatan perpaduan yang kukuh akan mewujudkan masyarakat bersatu padu dalam mengekang segala bentuk masalah yang boleh menjejaskan keharmonian mereka.

"Lupakan soal persengketaan serta masalah yang mengundang perpecahan dan bersama-sama bermaafan dengan mengunjungi rumah jiran tetangga bagi mengukuhkan perpaduan.

"Raikan Hari Raya Aidilfitri ini dengan penuh keikhlasan sesama ahli kariah dan pada masa sama mengenepikan kepercayaan politik masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan makanan dan pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri kepada ahli jawatankuasa pengurusan 59 masjid dalam kawasan Parlimen Lipis di Bangunan UMNO Bahagian Lipis di sini baru-baru ini.

Abdul Rahman berkata, sumbangan tersebut bertujuan menghargai amal jariah dan bakti ahli jawatankuasa masjid yang menjalankan program mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan.

"Saya bersyukur kerana semua program mengimarahkan masjid berjalan lancar dan memberi peluang pemimpin setempat bertemu dengan ahli kariah di samping menjalani solat tarawih dan tadarus al-Quran bersama-sama," katanya.

Katanya, walaupun sumbangan itu tidak seberapa tetapi merupakan satu penghargaan untuk ahli jawatankuasa pengurusan masjid untuk berhari raya dengan lebih ceria tahun ini.

Pensijilan halal diperkenalkan JAIP dapat sambutan hotel di Kuantan

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

KUANTAN 13 Ogos - Pensijilan halal yang diperkenalkan melalui sistem e-Halal Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mendapat sambutan menggalakkan apabila tiga lagi hotel di daerah ini menerima sijil berkenaan melalui sistem tersebut.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, tiga hotel tersebut ialah Hotel Zenith dan Hotel MS Garden manakala Hotel Sri Manja pertama kali menerima pensijilan tersebut.

"JAIP sebelum ini tidak meluluskan sijil halal Hotel Sri Manja kerana gagal mematuhi prosedur halal ditetapkan termasuk penemuan minuman keras di kawasan restoran.

"Bagaimanapun, selepas beberapa penambahbaikan dibuat, hotel berkenaan akhirnya berjaya menerima sijil halal untuk dapur dan restoran The Hot Pot Cafe di premis mereka berkuat kuasa 1 Julai 2013 hingga 30 Disember 2015," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kelulusan sijil tersebut adalah bagi tempoh dua tahun sekali gus memudahkan pihak hotel berkenaan melaksanakan proses permohonan pada masa akan datang.

"Sebelum ini sijil halal hanya sah laku dalam tempoh setahun dan pihak pengurusan perlu membuat permohonan baharu. Justeru, saya menasihati pihak pengurusan hotel membuat permohonan melalui e-Halal yang lebih mudah," jelasnya.

Tambah Noridzuan, dengan pengiktirafan tersebut akan meyakinkan pelanggan di kalangan umat Islam menikmati hidangan dan menginap di hotel dengan lebih selesa.

Katanya, pemilik atau pihak pengurusan boleh memohon sijil halal secara talian melalui laman sesawang www.halal.gov.my.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved