Utusan Online - Jenayah |
Tiga termasuk ketua Geng 08 Vinod berjaya ditahan Posted: 13 Aug 2013 09:51 AM PDT KUALA LUMPUR 14 Ogos - Polis menahan tiga lelaki termasuk ketua kumpulan Geng 08 Vinod selepas mereka melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta peronda polis yang mengejar kenderaan dinaiki penjenayah itu di Jalan Ipoh di sini petang semalam. Kejadian pukul 1.40 petang itu berlaku setelah polis mendapat maklumat mengenai satu kes samun bersenjata yang dilakukan sekumpulan lelaki menaiki sebuah trak pikap Mitsubishi Triton dengan nombor pendaftaran BY 5 di Selayang. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan hebahan kejadian samun itu, polis berjaya mengesan kenderaan dinaiki kumpulan tersebut di Batu Caves. "Sebanyak tujuh buah kereta peronda polis telah mengejar kenderaan suspek sejauh kira-kira 30 kilometer sehingga ke kawasan Rawang dan berpatah balik ke Selayang. "Sebaik sahaja tiba di persimpangan Lebuh Raya Latar (Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor), suspek melepaskan satu das tembakan ke arah kereta peronda polis namun tersasar. "Polis terus mengejar suspek sehingga ke Jalan Ipoh dan trak penjenayah terbabit menghimpit sebuah kereta peronda sehingga terbabas dan kesemua suspek meloloskan diri," katanya ketika dihubungi malam tadi. Menurut Abdul Rahim, polis petang semalam menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Pinggiran Batu Caves dan menahan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 26 tahun. "Polis turut merampas trak pikap Mitsubishi Triton yang diletakkan di bawah pangsapuri tersebut," katanya. Katanya, polis masih memburu dua lagi suspek yang meloloskan diri dan tiga serbuan di rumah suspek gagal mengesan mereka. - UTUSAN ONLINE |
Peniaga nasi kukus maut ditembak Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA DUNGUN 13 Ogos - Seorang peniaga nasi kukus maut dengan dua kesan tembakan di dada dan bahu dalam satu kejadian samun di tempat letak kereta berhadapan premis perniagaannya di Jalan Besar Kampung Cacar, Paka di sini awal pagi ini. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika mangsa, Mohd. Lutfi Mansor, 50, baru menutup kedai dan bersiap untuk pergi ke bank bagi urusan penyimpanan wang hasil perniagaan yang menjadi rutin hariannya. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh adik iparnya, Mohd. Zulrophia Umar, 21, kira-kira tiga jam kemudian sebelum dia memaklumkannya kepada isteri mangsa, Norzuedawati Umar, 25. Peniaga itu dipercayai ditembak ketika menuju ke trak pikap jenis Toyota Hilux miliknya yang dilarikan penjenayah bersama beberapa barang dalam kenderaan termasuk beg tangan, kasut serta telefon bimbit. Bagaimanapun satu ikat wang kertas masih terdapat dalam poket baju lengan pendek yang dipakai mangsa. Mayat peniaga itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat. Norzuedawati ketika ditemui berkata, dia baru bangun dari tidur ketika dimaklumkan mengenai kejadian menimpa suaminya itu. "Arwah suami saya tidak mempunyai musuh selama ini. Dia sangat baik dengan semua orang dan suka menderma. "Apa pun saya anggap ini semua ini sebagai dugaan kepada keluarga kami," katanya. Selain Norzuedawati, mangsa turut meninggalkan dua orang anak yang masih kecil iaitu Mohammed Mansoruedin, 5, dan Nor Balqis Bazilla, tiga bulan. Dalam pada itu Norzuedawati berkata, jenazah suaminya mungkin akan dikebumikan di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, berhampiran kubur arwah bapanya. "Saya tak sangka kejadian ini boleh menimpa keluarga saya. Kedai kami baru dibuka beberapa hari lalu iaitu selepas hari raya kedua," katanya merujuk kepada Kedai Nasi Kukus Paka 3 milik suaminya itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan