Utusan Online - Keluarga |
Desa Murni Batik gagah di Gong Kapas Posted: 13 Aug 2013 12:15 AM PDT Suhaimi Embong bersama isteri dan lima orang cahaya mata mereka. BANGUNAN baru Desa Murni Batik tersergam megah, dari dinding kaca bangunan, mata dijamu dengan berpuluh mannequin yang dibalut dengan fabrik batik keluaran syarikat itu sendiri. Bagi pengunjung yang berada di luar, mungkin sudah berkira-kira corak mana yang mereka inginkan. Sementara itu, di tingkat atas yang menempatkan pakaian siap, turut kelihatan mannequin yang memakai pelbagai rekaan jubah. Di ruang sebelah pula ialah bahagian permaidani dan langsir dengan corak-corak terbaru yang mampu menarik pelanggan yang ingin mengubah hiasan rumah mereka pada hari raya ini. Melihat pemandangan ini dari seberang jalan, saya dan tiga orang lagi wakil media yang didatangkan dari Kuala Lumpur untuk majlis pembukaan bangunan baru Desa Murni Batik serta dua orang wakil syarikat tersebut melihat rempuhan orang ramai yang berpusu-pusu ingin masuk sebaik sahaja pintu dibuka. Bangunan baru Desa Murni Batik cawangan Gong Kapas yang berkeluasan 43,000 kaki persegi ini merupakan cawangan keenam Desa Murni Batik milik Suhaimi Embong, 44, yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya. Cawangan-cawangan lain juga terletak di Kuala Terengganu, iaitu di Batu 6 (dua buah), Pengadang Baru, Kuala Berang dan Kampung Pulau Rusa. Pada bulan Oktober ini, sebuah lagi cawangan akan dibuka di Dungun yang menjual batik dan tekstil untuk rumah. Suhaimi yang ditemui pada hari pembukaan rasmi bangunan Gong Kapas itu baru-baru ini berkata, cawangan baru ini merupakan lokasi strategik bagi Desa Murni Batik memandangkan persekitarannya yang ramai penduduk. ''Sasaran jualan Desa Murni Batik dalam tempoh setahun di Gong Kapas ini ialah sebanyak RM20 juta. ''Selain jualan utama, iaitu kain batik, turut terdapat ialah pakaian siap untuk dewasa dan kanak-kanak bagi persiapan raya, tudung, aksesori, langsir dan permaidani. ''Bagi menarik pelanggan untuk datang, kami mengadakan promosi istimewa hari pertama dengan menawarkan sebanyak 1,000 buah dulang pada harga lima sen. "Hari kedua ialah pelapik kaki dan hari ketiga, kuali yang kedua-duanya dijual juga dengan harga lima sen,'' katanya yang juga merupakan anak kepada seorang pembatik, Embong Su yang turut memberikan nama kepada Desa Murni Batik. Bercerita mengenai batik yang dikeluarkan oleh Desa Murni Batik yang ditubuhkan sejak tahun 1974, menurut Suhaimi, kilang batiknya menggunakan teknologi moden, iaitu teknologi daripada Itali bagi menghasilkan corak batik digital. Mesin yang digunakan bagi menghasilkan batik digital ini mampu mengeluarkan sebanyak 200 pasang batik sehari. Corak-corak batik seperti abstrak, floral, fauna dan sebagainya dibuat oleh lebih 30 orang pereka yang berkelulusan dalam bidang rekaan daripada universiti tempatan dan swasta. Corak yang paling popular ialah corak klasik sementara corak abstrak dijangka popular pada hari raya. Setiap rekaan corak akan bertukar tiga atau empat bulan sekali. Pada masa ini terdapat sebanyak 20 rekaan corak yang dicetak di atas fabrik sutera krep, sutera jacquard dan sutera satin yang diberi dengan pelbagai nama. Antaranya ialah Nabeela, Tania, Umairah, Isabela, Damiana, Vitalia, Sakura, Dyana, Tamara dan banyak lagi. Rekaan batik yang paling mahal ialah Umairah yang dijual pada harga RM480 sepasang manakala yang paling murah ialah Baihaqi berharga RM180 sepasang. ''Dahulu semasa saya bekerja dengan ayah, pembuatan batik agak lembap semasa bulan puasa tetapi sekarang setelah mempunyai syarikat sendiri, saya mahu menjadikan bulan puasa sama sibuk dengan bulan-bulan lain,'' ujar bapa kepada lima orang anak ini. Suhaimi yang mendapat banyak sokongan daripada isteri, Fatimah Fathiyyah Ismail, 39, yang turut membantu perniagaan batik ini, menambah, sejak mengeluarkan batik digital ini, tempahan yang diterima seluruh negara meningkat sebanyak 60 peratus dalam tempoh enam bulan berbanding sebelum itu yang hanya 15 hingga 20 peratus sahaja. Malah batik Desa Murni kini turut dieksport ke Brunei dan Singapura. Batik juga mendapat banyak tempahan daripada pihak kerajaan dan swasta. - MERAN ABU BAKAR |
Posted: 13 Aug 2013 12:15 AM PDT Oleh NURUL SHYAZWANIE MOHAMAD Seronok menjamu selera ketika menghadiri rumah terbuka menyebabkan berat badan yang berkurangan ketika Ramadan naik semula sepanjang Syawal. - Gambar hiasan SEPANJANG bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu, di samping melipat gandakan ibadah, ramai juga yang mengambil kesempatan menurunkan berat badan, sesuai dengan amalan pada bulan tersebut yang memerlukan umat Islam menahan lapar dan dahaga di siang hari. Namun jangan terkejut, sekiranya impian itu gagal dicapai sebaliknya berat badan kembali naik ketika Syawal menjelma ekoran tidak mampu menahan nafsu sewaktu memenuhi undangan majlis-majlis rumah terbuka. Siapa yang mampu menolak pelbagai juadah seperti lemang, ketupat dan rendang yang menyelerakan terhidang di atas meja dan hanya menunggu untuk dijamah. Segala usaha dan pengorbanan pada bulan Ramadan seakan-akan menjadi sia-sia. Lebih teruk apabila jumlah berat badan bertambah berkali ganda melebihi jumlah berat yang hilang semasa berpuasa. Pakar pemakanan dari Hospital KPJ Perdana Kelantan, Rose Hanizan Mat Hassan, berkata, bagi mengatasi masalah ini, orang ramai digalakkan memilih makanan mengikut piramid makanan iaitu makanan yang tinggi gula, lemak dan minyak perlu diambil dalam kuantiti yang sedikit walaupun semasa perayaan. "Jika boleh semasa menghadiri rumah terbuka, elakkan daripada mengambil makanan berkalori tinggi seperti sate, nasi tomato dan sebagainya. "Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam setiap hidangan yang diambil manakala makanan yang berkarbohidrat dan berprotein pula hanya diambil dalam kuantiti yang sederhana mengikut keperluan kalori sendiri. "Namun, tiada halangan bagi mereka yang ingin merasa hidangan kesukaan seperti soto, nasi minyak, nasi dagang dan lain-lain tetapi pastikan kuantiti hidangan yang diambil adalah sedikit dan terkawal," katanya. Rose Hanizan memberitahu, bagi mereka yang menghadiri majlis rumah terbuka pada sebelah malam atau makan makanan yang tinggi kalori pada waktu itu pula, pastikan waktu tidur selepas makan adalah jarak di antara empat hingga ke lima jam agar proses pencernaan dapat berjalan dengan baik serta mengelakkan penambahan berat badan. "Apa pun lebih digalakkan jika hanya mengambil snek ringan yang berkhasiat seperti biskut rendah lemak, tinggi fiber satu jam atau setengah jam sebelum tidur," katanya. Jelas Rose Hanizan, untuk mengekalkan berat badan semasa musim perayaan ini, orang ramai harus minum air putih (air masak) dengan lebih kerap berbanding minuman manis serta makan dalam keadaan yang tenang. "Orang ramai juga tidak digalakkan mengambil makanan dalam keadaan lapar kerana kerana boleh menyebabkan lebihan kuantiti atau saiz makanan," katanya. Rose Hanizan turut berpesan, selain makanan bergoreng dan berminyak, makanan berlemak juga tidak digalakkan kerana ia bukan sahaja memberikan kalori yang banyak kepada badan malah akan mempercepatkan penambahan berat badan hingga menjejaskan diet semasa musim perayaan ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan