Utusan Online - Kota |
- Keberkesanan MPB dipertikai
- Penduduk setinggan dalam dilema
- Sampah di Ampang Waterfront sudah dibersihkan
Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT PAPAN paparan MPB yang dipasang di salah sebuah hentian bas di Jalan Cheras, Kuala Lumpur tidak berfungsi seperti yang diharapkan pengguna. - BERNAMA KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pengguna bas RapidKL mahukan sistem paparan elektronik Maklumat Perkhidmatan Bas (MPB) yang diwujudkan pihak pengendali Syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana) diperbaiki supaya lebih memudahkan mereka. Dalam tinjauan Bernama di beberapa hab dan hentian bas RapidKL di sekitar ibu negara mendapati walaupun MPB dilaksana sejak April tahun ini, namun keberkesanannya boleh dipertikaikan kerana tidak semua kawasan yang dipasang sistem itu, seperti sekadar 'melepas batok di tangga'. Malah kalau dipasang pun, ia tidak berfungsi seperti yang diharapkan menyebabkan pengguna masih tidak mendapat manfaat daripadanya. Di hab Titiwangsa misalnya, tidak pula dipasang MPB sedangkan ia merupakan kawasan tumpuan penting pengguna yang turut menggunakan perkhidmatan monorel dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta menempatkan Hentian Bas Pekeliling. Junaidah Baharudin, 22, yang tiba dari Maran, Pahang berkata sistem MPB perlu dipasang supaya dapat memberi panduan kepadanya. "Saya datang ke Kuala Lumpur sekali-sekala. Sekiranya MPB diwujudkan di sini, saya mungkin tidak perlu lagi tertanya-tanya pukul berapa bas ke destinasi saya seterusnya akan tiba," katanya kepada Bernama. Situasi sebaliknya berlaku di hentian bas di KLCC yang walaupun paparan MPB telah dipasang sejak beberapa bulan lepas, tetapi tidak berfungsi langsung. Shahnizam Hair Johari, 30, yang menggunakan perkhidmatan RapidKL dari stesen LRT Bangsar ke Pantai Dalam berkata, ada masanya beliau tidak dapat bergantung kepada paparan sistem MPB kerana bas tidak selalunya tiba tepat seperti yang terpapar di MPB. Maka sebagai alternatif, beliau beralih menggunakan tren atau teksi yang tambangnya lebih mahal. Wong Pe Jin, 18, dari Rawang yang sering berkunjung ke Bukit Bintang berharap usaha dapat ditingkatkan supaya sistem pengangkutan awam bas lebih sistematik termasuk dari segi pelaksanaan MPB. Para pelancong turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan penggunaan MPB. Nikki Kooger, 22, dari Belanda juga tidak sanggup bersesak-sesak di dalam bas yang sentiasa terlebih muatan dan terpaksa menunggu bas yang tidak kunjung tiba tanpa sesiapa dapat memberitahunya waktu ketibaan sebenar bas. Namun menurut Pengurus Hal Ehwal Media Prasarana Azhar Ghazali, syarikat berkenaan sedang melaksanakan MPB secara berperingkat dengan 52 daripada 56 MPB telah dipasang di hab dan hentian bas pilihan. Beliau berkata, kerja-kerja pemasangan MPB adalah agak sukar kerana turut melibatkan mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan dan memperoleh bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad. Beliau juga berkata, bas mungkin terpaksa melakukan lencongan disebabkan kesesakan lalu lintas atau kerja-kerja membaiki jalan sehingga tidak dapat menepati masa yang telah dijadual. Kadang-kadang Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dipasang di bas mungkin tidak berfungsi kerana kegagalan sambungan Internet yang menyumbang kepada maklumat tidak tepat di MPB yang disambung ke GPS. - BERNAMA |
Penduduk setinggan dalam dilema Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT Ashari Awang duduk termenung setelah sebahagian daripada rumahnya dirobohkan dalam operasi PTGWP di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/NOORADZRENE MOHD NOOR KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sebanyak 14 keluarga setinggan berdekatan Jalan 1/48A, Bandar Baru Sentul berada dalam dilema kerana rumah yang diduduki mereka sejak lebih sepuluh tahun lalu bakal dirobohkan pihak berkuasa. Mereka juga mendakwa notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) hanya memberi masa dua hari untuk mereka mengosongkan tanah milik kerajaan itu. Wakil kumpulan penduduk terlibat, Norzambri Johari berkata, mereka menerima notis bertarikh 30 Julai lalu yang meminta rumah-rumah terlibat dikosongkan selewat-lewatnya pada 31 Julai sebelum operasi meroboh dijalankan sehari kemudian. "Pada 1 Ogos lalu, sebanyak tujuh buah rumah sudah dirobohkan dengan ada di antaranya tidak sempat mengeluarkan barangan kerana tempoh berpindah yang terlalu singkat serta tiada orang di rumah. "Tetapi penduduk yang ada ketika itu diminta menandatangani satu surat dan penguat kuasa memaklumkan akan datang kembali hari ini untuk meneruskan kerja-kerja meroboh," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Utusan Malaysia difahamkan operasi meroboh baki 14 buah rumah lagi di kawasan itu akan dilakukan hari ini selepas mendapat penangguhan. Dakwa Norzambri, mereka juga tidak pernah mendapat sebarang arahan atau notis lain sebelum 31 Julai lalu dan tiada perbincangan antara pihak berkuasa dengan penduduk. Tambahnya, surat sokongan turut dihantar kepada pejabat wakil rakyat dan UMNO Bahagian Batu baru-baru ini agar permohonan mereka dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya. "Namun tiada maklum balas daripada semua pihak diterima sehingga kini dan kami terpaksa mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga rumah diroboh," katanya. Seorang lagi penduduk, Ashari Awang, 75, berkata, mereka boleh mengosongkan tanah tersebut kerana sedar ia bukan milik mereka namun merayu agar penempatan baharu disediakan terlebih dahulu. "Malah, kami memohon sekiranya tindakan ini boleh ditangguh sehingga ada projek yang mahu dilakukan di kawasan ini kelak," ujarnya. Ashari yang sebahagian rumahnya sudah dirobohkan pihak berkuasa berasa sedih dan terkilan ekoran tindakan meroboh itu, yang disifatkannya dilakukan secara tergesa-gesa. "Saya tinggal di sini sejak 1992 selepas pencen dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan elaun bersara hanya RM820. Saya tiada lagi rumah lain untuk tinggal dan rumah anak-anak juga tidak sebesar mana untuk tumpang," katanya. Sementara itu, Khairil Husni, 22, berkata, penduduk turut terkejut apabila bekalan elektrik masih mengalir ketika operasi meroboh dilakukan 1 Ogos lalu. "Bekalan elektrik masih berjalan seperti biasa tanpa diputuskan terlebih dahulu...ini amat membimbangkan semua orang kerana boleh memberi risiko terhadap keselamatan. "Tetapi, kerja-kerja meroboh telah dilakukan, apa yang diharapkan agar kami diberikan kediaman ganti sama ada Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sebagainya," katanya. Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan maklum balas PTGWP gagal kerana pegawai berkenaan masih bercuti sempena hari raya. |
Sampah di Ampang Waterfront sudah dibersihkan Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT KUALA LUMPUR 12 Ogos - Ketiadaan pemandu lori sampah yang bercuti ekoran sambutan Hari Raya Aidilfitri menyebabkan sampah-sampah tidak dapat dikutip selama dua hari di kawasan perniagaan Ampang Water Front, dekat sini. Seorang pemandu lori salah sebuah syarikat kontraktor mengutip sampah, Marimuthu Krishnan, 50, berkata, pada hari ini dia terpaksa bertugas sejak pukul 2 pagi memandu lori sampah besar dan kecil secara bergilir-gilir tanpa henti untuk mengutip sampah-sampah dari pelbagai premis dan kawasan di sekitar Ampang. "Bukan kami sengaja tidak mengutip sampah-sampah itu tetapi kebetulan kebanyakan pemandu lori yang beragama Islam bercuti untuk menyambut hari raya menyebabkan kerja-kerja mengutip menjadi tertangguh. "Tetapi pada hari ini, hampir kesemua sampah telah kami kutip di kebanyakan kawasan di Ampang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Orang ramai terutama pemilik premis perniagaan di sekitar Ampang Water Front sebelum ini mengadu mengenai sampah-sampah yang tidak dikutip dan diangkut sejak beberapa hari lalu oleh pihak kontraktor sampah sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan