Khamis, 1 Ogos 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


46 tapak pasar Ramadan diperiksa

Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Ab. Rahaman Ab. Karim (kanan) menyerahkan beg berisi apron dan topi kepada salah seorang peniaga ketika mengadakan Pemantauan Keselamatan dan Kebersihan Makanan Sempena Ramadan di Pasar Ramadan Taman Sri Cempaka, Melaka, kelmarin.

MELAKA 31 Julai - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memantau sebanyak 1,720 premis makanan di 46 tapak pasar Ramadan di seluruh negeri ini sempena Operasi Ramadan (Ops Ramadan) tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, operasi yang bermula sejak 10 Julai lalu itu merangkumi pemantauan di 24 tapak pasar Ramadan di daerah Melaka Tengah melibatkan 1,000 premis, 15 tapak di Jasin (368 premis) serta tujuh tapak di Alor Gajah (352 premis).

"Daripada jumlah itu, hanya empat premis diarah tutup kerana didapati tidak mematuhi tahap keselamatan dan kebersihan yang memuaskan iaitu tiga di Alor Gajah dan satu di Jasin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Pemantauan Keselamatan dan Kebersihan Makanan Sempena Ramadan di Pasar Ramadan Taman Sri Cempaka, di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Teoh Siang Chin dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr. Ismail Ali dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Bahagian Kesihatan dan Kualiti Makanan), Mohd. Khaidir Abd. Hamid.

Dalam program itu, JKN turut menyampaikan beg cenderamata kepada semua peniaga di kawasan itu yang mengandungi apron, topi dan risalah mengenai keselamatan dan kesihatan makanan.

Menurut Ab. Rahaman, JKN akan terus meningkatkan pemantauan dalam usaha menjamin tahap keselamatan dan kebersihan makanan di pasar-pasar Ramadan sentiasa berada di tahap memuaskan.

"Ops Ramadan ini juga bertujuan memastikan makanan yang disediakan di pasar-pasar Ramadan selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Selain itu, operasi ini juga dilihat dapat memberi pendidikan kesihatan kepada orang ramai tentang kebersihan dan keselamatan makanan serta panduan memilih makanan selamat bagi mengelak keracunan," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Khaidir memberitahu, JKN turut memeriksa sebanyak tiga kilang ais dan 11 dapur hotel dengan mendapati kesemuanya berada dalam keadaan memuaskan.

"JKN menyeru semua pengendali makanan sentiasa mengamal dan mengutamakan keselamatan dan kebersihan makanan semasa menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang ramai agar tidak berlaku kejadian yang memudaratkan kesihatan akibat memakan makanan tidak bersih.

"Orang ramai juga boleh membuat aduan mengenai premis makanan yang kotor, hubungi JKN 06-2345959 atau terus ke Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan," katanya.

RM100,000 dikutip sempena Hari Pahlawan 2013

Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT

Sekumpulan belia terdiri daripada anak-anak tentera menunjukkan sekuntum bunga raya sebagai simbol ucapan terima kasih sempena Sambutan Rayuan Hari Pahlawan yang dirasmikan oleh Idris Haron di Ayer Keroh, semalam. - UTUSAN/ Azli Ahad

MELAKA 31 Julai - Kerajaan negeri terus membuktikan komitmen membantu bekas anggota keselamatan di negeri ini dengan menyalurkan sumbangan bernilai hampir RM100,000 kepada Tabung Hari Pahlawan hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, sebanyak RM50,000 disumbangkan oleh kerajaan negeri manakala selebihnya merupakan sumbangan beberapa agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, sumbangan bantuan kebajikan ini disalurkan setiap tahun dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan pembangunan sosioekonomi bekas anggota pasukan keselamatan di negeri ini.

"Sumbangan ini juga diharap dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih selesa melalui latihan dan penempatan kerjaya," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Pahlawan di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Pahlawan, Datuk Ghafaar Atan; Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad, Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye dan Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Adnan Abu Bakar .

Agensi kerajaan negeri yang turut menyumbang termasuklah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Menara Taming Sari Berhad, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Telekom Malaysia (TM) Melaka, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kumpulan Melaka Berhad.

Idris berkata, sumbangan itu merupakan tanda terima kasih seluruh anggota masyarakat kepada pahlawan-pahlawan yang banyak berkorban demi menjaga keamanan negara.

"Pengorbanan mereka dalam mempertahankan negara tanpa menghiraukan keselamatan diri hingga membolehkan negara kita pesat membangun pada sehingga hari ini perlu dihargai," ujarnya.

Remaja anjur majlis berbuka puasa bantu golongan kurang bernasib baik

Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT

TELOK KEMANG 31 Julai - Tidak ramai remaja seperti Nur Azwani Redzuan, 17, yang sanggup bersusah payah mencari dana untuk membantu golongan kurang bernasib baik, sedangkan dirinya sendiri bukanlah datang daripada keluarga yang hidup senang.

Inilah pengorbanan mulia yang dilakukan remaja dari Sekolah Menengah Kebangsaan Yam Tuan Radin, Lukut, Port Dickson dekat sini sehingga dapat menganjurkan majlis berbuka puasa di rumahnya di Kampung Sri Parit, Lukut serta menyampaikan pula bantuan kepada 11 orang insan yang memerlukannya.

"Saya sedar betapa ada insan yang masih hidup susah untuk menjalani kehidupan harian dan saya tampil untuk membantu, walaupun berhadapan kesukaran untuk mengumpulkan dana termasuklah menggunakan wang poket sendiri.

"Oleh kerana sumber kewangan yang terhad itu, saya meminta sumbangan daripada ahli keluarga dan saudara mara demi memastikan bantuan ini dapat diberikan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Sri Parit, Lukut dekat sini hari ini.

Nur Azwani berkata, antara yang menerima bantuan itu ialah ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

"Alhamdulillah dengan bantuan semua, dana dapat dikumpulkan dan saya aturkan majlis pada hari ini dengan membawa bersama kesemua penerimanya untuk berbuka puasa bersama. Barangan yang disumbangkan itu adalah keperluan dapur untuk mereka," katanya.

Nur Azwani berkata, biarpun nilainya kecil tetapi daripada riak muka penerima, nyata mereka bersyukur dengan pemberian tersebut dan diharap mereka dapat meraikan Aidilfitri dengan keceriaan.

Sehubungan itu katanya, bantuan yang diberikan kepada insan kurang bernasib baik itu sebenarnya boleh dilakukan oleh sesiapa dan tidak hanya tertumpu pada badan korporat atau mereka yang mempunyai sumber kewangan besar.

Sementara itu penerima bantuan, Siti Kamsiah Badur, 71, berkata, dia amat terharu kerana majlis yang dihadirinya itu sebenarnya diaturkan oleh seorang remaja.

"Nur Azwani bersungguh-sungguh mahu membantu kami meringankan beban menjelang hari lebaran dan inilah yang membuatkan hati kami berasa sayu," katanya.

Seorang lagi penerima bantuan, Asmi Yaakop, 40, berkata, kesemua yang menerima bantuan itu ialah golongan yang memang layak untuk menerimanya.

"Saya menghidap penyakit kencing manis, masalah buah pinggang dan penglihatan yang kurang jelas. Niat murni remaja ini amat kami hargai dan sepatutnya menjadi contoh kepada semua remaja dan belia," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved